Rabu, 21 Oktober 2009

Tariqah Naqshabandiyyah Di Malaysia

Kertas Kerja Bertajuk: "Al-Tariqah Al-Naqshabandiyyah Fi Malayziya" oleh: Dr Hj Jahid bin Hj Sidek (Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya) dan Dr Hj Mohd Bukhari Lubis (Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Malaya) Bersempena: "Multaqa at-Tasawwuf al-Islami al-'Alami", Anjuran: Kerajaan Negara Libya Tarikh: 22-24hb Rabiul Akhir, 1424H bersamaan 16-18hb September, 1995, Tempat: Tripoli, Libya.



Dinisbahkan Tariqah Naqshabandiyyah kepada Shaikh Baha'uddin Muhammad Bin Muhammad al-Husaini al-Uwaysi (717 - 791 Hijrah bersamaan 1317 - 1388 Masehi). Diambil tariqah ini daripada Rasulullah S.A.W. yang mengajarkannya kepada Khalifah yang pertama Saidina Abu Bakar as-Sidiq R.A. dan dengan sebab itu zaman tersebut dikenali tariqah ini dengan nama Tariqah Siddiqiah. Dan apabila sampai zaman Shaikh Abi Yazid Bistami Q.S. dikenali pula dengan nama Tariqah Taifuriah. Dan ketika sampai ke zaman Khawajah 'Abdul Khaliq Gujdwani QS berubah namanya kepada Tariqah Khawajakaniah. Dan akhirnya di zaman Shaikh Baha'uddin al-Naqshabandiy QS berubah namanya sebagai Tariqah Naqshabandiyyah.
Dan dibahagikan Tariqah Naqshabandiah itu kepada beberapa cabang yang penting:
  1. al-Naqshabandiyyah al-Ahrariyyah yang dinisbahkan kepada Shaikh Nasiruddin 'Abdullah al-Ahrar QS (Wafat 1890H/1470M)
  2. al-Naqshabandiyyah al-Mujaddidiyyah yang dinisbahkan kepada Shaikh Ahmad Faruqi as-Sirhindi yang digelarkan dengan Mujadidi alf thani QS (Wafat 1034H/1619M)
  3. al-Naqshabandiyyah al-Mazhariyyah yang dinisbahkan kepada Shaikh Shamsuddin Habibullah Jan Janan Mazhar al-'Alawiy QS (Dilahirkan 1113H/1698M)
  4. al-Naqshabandiyyah al-Khalidiyyah yang dinisbahkan kepada Shaikh al-Khalid al-'Uthmani QS (Wafat 1242H/1827M)
Sesungguhnya telah berkembang Tariqah Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memberi kesan ke atas kaum muslimin terutamanya di Indonesia dan Malaysia sekarang. Dan telah berkembang juga Tariqah Naqshabandiyyah Mujaddidiyyah ke utara iaitu di Negeri Kedah Darul Aman. Akan tetapi kesan Tariqah tersebut tidak dapat dilihat lagi sekarang disebabkan ketiadaan pemimpin yang benar-benar menjalankan dan mengamalkan tariqah tersebut.
Umumnya diberikan penekanan oleh Tariqah Naqshabandiyyah Khalidiyyah ke atas amalan zikir yang asas seperti berikut:
  1. Zikir Ismu Zat, Allah... Allah... Allah... secara khafi yang dihantar terus ke (1) Latifah Qalbi, dan (2) Latifah Ruh, dan (3) Latifah Sirr, dan (4) Latifah Khafi, dan (5) Latifah Akhfa' dan (6) Latifah Nafs, dan (7) Latifah Kuli Jasad. Kemudian disambung dengan zikir Nafi Isbat dan Muraqabah seperti Muraqabah Ahadiah dan Muraqabah Ma'iyah dan yang seumpanya.
  2. Zikir Tahlil Lisan (La Ilaha Illa Allah)
  3. Khatam Khawajakan. Dan di dalamnya dibacakan ayat suci al-Quran Surah al-Fatihah kemudian Selawat ke atas Nabi SAW kemudian dibacakan Surah al-Insyirah, dan Surah al-Ikhlas dan surah-surah yang lain.
  4. I'tikaf/Khalwah/Suluk dalam tempoh 10 hari atau 20 hari atau 30 hari atau 40 hari.
Tariqah Naqshabandiyyah Di Malaysia
Wujud di Malaysia beberapa tariqah pada masa sekarang dan sebahagiannya Tariqah Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan Shatariyyah dan Dharqawiyyah dan Qadariyyah dan Samaniyyah dan Ahmadiyyah dan sebagainya. Daripada jumlah yang banyak tersebar 3 tariqah iaitu Tariqah Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan Ahmadiyyah (Idrisiyyah) dan Qadariyyah.
Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, sesungguhnya Tariqah Naqshabandiyyah telah sampai ke Malaysia daripada Indonesia seperti Shaikh Ismail Minangkabawi dan Shaikh 'Abdul Wahab Babussalam. Selain itu terdapat juga dua penyebar yang berpengaruh bagi Tariqah Naqshabandiyyah daripada pendakwah di Sumatera dan kedua mereka ialah Dr Shaikh Jalaluddin (Wafat 1975M) dan Profesor Qadiran Yahya (Wafat ?). Kedua-dua mereka berpengaruh besar dalam berkembangnya Tariqah Naqshabandiyyah di Malaysia.

Rabu, 14 Oktober 2009

BIOGRAFI SHAIKH DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI

PROFIL TUAN GURU DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI


Yang dikasihi Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi dilahirkan pada 11 Februari, 1940 di Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan dan Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Johor (1957). Kemudian beliau meneruskan pengajian ke Sekolah Arab Kluang Johor dan Kolej Islam Klang. Pada Tahun 1972 beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Seterusnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana MA dalam bidang Usul Fekah (1975) dan Ijazah Kedoktoran Ph.D daripada Universiti yang sama (1992) dalam bidang Usuluddin (Tasawwuf).

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Guru Agama Sekolah antara tahun 1964 – 1969 dan pernah pula dilantik sebagai Guru Penolong Kanan selepas mendapat ijazah pertama. Pada awal tahun 1974 beliau dilantik menjadi Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya dan telah dilantik menjadi Profesor Madya tahun 1992 dan beliau telah bersara pada akhir tahun 1995, sebagai Pensyarah di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Kuala Lumpur.

Beliau telah bergiat aktif dalam masyarakat sebagai pemimpin Islam setempat dengan usaha membangunkan hal ehwal agama Islam seperti surau, masjid dan sekolah agama. Beliau telah dilantik sebagai Nazir Masjid Nurul Yaqin Kg Melayu Sri Kundang 1988 – 2006 dan Pengerusi Sekolah Rendah Agama 1988. Usaha dan kegigihan beliau dalam pengislahan masyarakat direalisasikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) yang telah mengembangkan sayap bergerak di seluruh Malaysia dengan sokongan ahli persatuan yang aktif dalam pelbagai aktiviti berbentuk dakwah, pendidikan dan kemasyarakatan.

Minatnya tentang tarekat dan tasawwuf yang cukup mendalam hingga mendorongnya untuk mengkaji, mempelajari dan mengamalkan tiga tarekat, iaitu Ahmadiyyah, Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah yang berpengaruh dan mempunyai murid yang ramai di seluruh dunia.

Dengan kefahaman, kepakaran dan pengamalan berhubung hal ehwal tarekat dan tasawwuf, beliau telah diberikan kepercayaan dan diamanahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai Ahli Majlis Tariqah-Tariqah Sufiyah (Jalsah Turuq Sufiyah) di bawah Enakmen Tarekat Tasawwuf Negeri Sembilan pada Mac 2007. Yang antara lainnya bertujuan menasihati, memantau dan mengembalikan kedudukan dan perjalanan Tarekat dan Tasawwuf mengikut Al-Quran dan Sunnah.

Beliau mengambil bai'ah Tariqah Naqshabandiah Khalidiah dan bersuluk di bawah pimpinan al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi (Silsilah 36) dan merupakan salah seorang KHALIFAH dan PENGGANTI kepada al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi, Surau Ihya' al-Qulub, Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang Darul Makmur.

Beliau telah mendapat keizinan menjalankan apa-apa kerja tarekat dan suluk melalui wasiat lisan al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi yang disaksikan beberapa orang khalifah lain tahun 1991 dan diwasiatkan juga menjaga Surau Suluk milik al-marhum tuan gurunya iaitu Madrasah Babul Khayrat, Jalan Suka, Kg Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor Darul Takzim. (Keterangan Lengkap boleh didapati daripada Kitab yang akan diterbitkan akhir Awal Januari, 2010 nanti, iaitu "al-Ajwibah al-Mardhiah Li Raddi 'Ala Fitnah al-Lisaniah"- Jawapan Luhur Terhadap Fitnah Lidah Terlanjur)

Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek satu-satunya khalifah dan pengganti al-marhum tuan guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi yang mendapat gelaran "AL-KHALIDI" melalui Syair 14 rangkap hasil karya al-marhum tuan guru sendiri sempena penerbitan buku terjemahan "Tanwirul Qulub" Karangan Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi yang diterjemahkan oleh Shaikh Dr Hj Jahid yang diberikan tajuk "Dhia'ul Iman Fi Tariqi Ar-Rahman".

Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek juga sentiasa diperintahkan oleh al-marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi memberikan ceramah dan kuliah di merata-rata tempat sewaktu hayat al-marhum.

Sebagai Shaikh dalam Tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah kini beliau memimpin amalan Khalwah/Uzlah/bersuluk (sebanyak 37 kali) sehingga kini di 2 buah Surau Suluk Madrasah Babul-Khayrat, Jalan Suka, Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru dan di Madrasah Manaratil 'Ilmi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan, Pahang, dan memimpin majlis dzikrullah@tawajjuh di beberapa tempat di seluruh Malaysia, Sebahagian lokasinya seperti berikut:

  1. Rumah Tuan Guru, Kg Melayu Sri Kundang, Rawang, Selangor Darul Ehsan (Jumaat)
  2. Surau Suluk - Madrasah Babul Khayrat, Jalan Suka, Kg Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor Darul Takzim (Sabtu)
  3. Surau Suluk - Madrasah Manaratil 'Ilmi di Jalan Pekan-Kuantan, Pahang Darul Makmur (Ahad)
  4. Zawiyah Naqshabandiah, Kg Aur, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman (Sabtu)
  5. Madrasah Ustaz Suhaimi, Dungun, Terengganu Darul Iman (Sabtu)
  6. Rumah Hj Abdul Aziz, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman (Sabtu)
  7. Rumah al-marhum Hj Osman, Kg Sg Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor D. E. (Ahad)
  8. Rumah Hj Rahman, Presint 18C Wilayah Persekutuan Putrajaya (Selasa)
  9. Rumah Hj Ikhwan, Masjid Sg Chincin, Gombak, Selangor Darul Ehsan (Rabu)
Dalam bidang Rawatan @ Perubatan Secara Islam beliau telah berpengalaman selama 20 tahun dengan memperkenalkan kaedah rawatan menggunakan KAEDAH REFLEKSOLOGI ISLAM (menggunakan ketukan ranting pokok nona dan asas-asasnya yang tersusun), dzikrullah dan doa kepada pelbagai penyakit yang dialami pesakit. Kesungguhan beliau dalam membantu masyarakat terbukti dengan penubuhan Pusat Rawatan Islam MANARAH di Lorong Beringin, Kuang, Selangor Darul Ehsan. (Buku Kaedah Refleksologi Islam sedang dalam karangan dan penyusunan dan akan diterbitkan insyallah tahun 2012)

Penubuhan Pusat Perlindungan Dan Rawatan ISTANA BUDI yang ditubuhkan pada 23hb Julai, 2009 (Khamis) dan disiapkan pertengahan bulan Ogos 2009 telah dicetuskan ilhamnya oleh Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek. Ia bertujuan melindungi, merawat dan memelihara aqidah pesakit-pesakit HIV Islam yang dipindahkan daripada Pusat Perlindungan HIV di Gereja, Batu Arang. Kegigihan dan kesungguhan beliau dalam pemulihan pesakit HIV, penagih dadah dan masalah gejala sosial lain, beliau telah dianugerahkan Tokoh Pemulihan Ar-Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi tahun 2010 sempena Hari Aids Sedunia di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Dengan pengalaman yang diperolehi, beliau juga sebagai tempat rujukan orang ramai kerana ditemui pelbagai lapisan masyarakat bagi nasihat, tunjuk ajar serta bimbingan dalam pelbagai masalah yang dihadapi. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang Perubatan Secara Islam telah dimanfaatkan dengan menulis artikel, kertas kerja, dakwah dan membimbing orang ramai melalui media masa, seminar, ceramah dan kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ialah Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada Perspektif Islam, Tokoh-tokoh dan Peristiwa Penting Sejarah Islam, Strategi Menjawab Sejarah Islam, Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman (Terjemahan Kitab), Shaikh dalam Ilmu Tariqah, Kedudukan Qiyas Dalam Perundangan Islam, Membentuk Jiwa Sufi dan lain-lain. Beliau telah membentangkan lebih 50 kertas kerja untuk pelbagai seminar di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan lain-lain, mengarang artikel ilmiah bagi ruangan akhbar “Perubatan Alternatif” dan lain-lain majalah.

Beliau dalam proses menyiapkan beberapa buah kitab ilmiah, antaranya "al-Ajwibah al-Mardhiah Li Raddi 'Ala Fitnah al-Lisaniah" (Jawapan Luhur Terhadap Fitnah Lidah Terlanjur) dan Kaedah Rawatan Refleksologi Islam - Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi.

Beliau sering diundang ke majlis-majlis Forum, Ceramah Umum, kuliah Subuh, Maghrib dan Kuliah Tengahari sehingga hampir setiap hari beliau memberikan kuliah/ceramah agama di Pejabat-pejabat kerajaan, swasta, masjid atau surau di seluruh Malaysia. Beliau boleh dihubungi di talian 019-3845666.

KERTAS KERJA DALAM BIDANG TASAWWUF

DI ANTARA TAJUK KERTAS KERJA DALAM BIDANG TASAWWUF

1. Perhimpunan Tarekat-Tarekat Seluruh Dunia, Tajuk: “PERKEMBANGAN TAREKAT NAQSYABANDIAH DI MALAYSIA” (Bahasa Arab), Anjuran: Kerajaan Libya, Tempat: Tripoli,

2. Seminar Perubatan Islam & Pemurnian Tasawwuf, Tajuk: “KEPENTINGAN TASAWWUF DALAM PENINGKATAN ILMU DAN AMAL” Anjuran: Persatuan Pelajar Mahasiswa Pahang Dewan Abbasiah Kaherah, Dengan Kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah Mesir. Tarikh: Mac 2007
3. Dalam Seminar Tasawwuf 2007, Tajuk: “PENYAKIT-PENYAKIT HATI: PUNCA DAN KAEDAH RAWATANNYA MENURUT PRINSIP TASAWWUF”, Anjuran: Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Tarikh: 22 Disember, 2007.
4. Seminar Tasawwuf Kebangsaan, Tajuk: “DHIKRULLAH: ANTARA SUNNAH DAN BID’AH”, Anjuaran Jabatan Mufti Negeri Sembilan dengan Kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tarikh: 9-10 Ogos, 2003.
5. Seminar Dakwah Tariqah Tasawwuf Antarabangsa, Tajuk: “SALAH FAHAM TERHADAP SHAIKH DAN MURID DALAM TAREKAT TASAWWUF”, Anjuran Bersama: Universiti Kebangsaan Malaysia Dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Tarikh: 17 – 19 Ogos 2002.
6. Simposium Peradaban Ilmu Dan Ketamadunan Islam (SPIKE '04). Tajuk: “HUBUNGAN TASAWWUF DENGAN SUNNAH, KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN TOKOH-TOKOH SUFI DALAM PEMBINAAN TAMADUN” , Anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) Dengan Kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) ALUMNI UTM, Masjid Sultan Islam (MSI) Tarikh: 10 – 11hb. Januari, 2004.
7. Seminar Kefahaman Tasawwuf Dan Penghayatannya, Tajuk: “KEDUDUKAN DAN KEPENTINGAN TAREKAT DALAM ISLAM”, Anjuran: Anugerah HRM Consultant Sdn Bhd, Tarikh: 25 Mac, 2005.
8. Seminar Kefahaman Tasawwuf, Tajuk: “KEDUDUKAN TAREKAT DALAM ISLAM”, Anjuran Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Tarikh: 25 Mac, 2006
9. Seminar Tasawwuf, Tajuk: “TAREKAT DAN TASAWWUF: MEHNAH DAN TRIBULASI” Anjuran: Persatuan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.
10. Seminar Kefahaman Tasawwuf Islam, Tajuk: “KEPIMPINAN TAREKAT/TASAWWUF SATU PENJELASAN” Anjuran: Universiti Putra Malaysia (UPM)
11. Muzakarah Ulama’, Tajuk: “ILHAM, KASYAF DAN ILMU LADUNI MENURUT PANDANGAN AHLI TASAWWUF”, Anjuran: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hotel Marriot Putrajaya.
12. Seminar Kefahaman Islam, Tajuk: “PERANAN MANHAJ SUFIYYAH KE ARAH TAZKIYAH AN-NAFS”, Anjuran: Sekretariat, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)
13. Seminar Solat, Tajuk: “SEMBAHYANG YANG KHUSYUK”, Anjuran: Masjid al-Falah USJ 9 Subang Jaya
14. Seminar Kepimpinan UM, Tajuk: “KEPENTINGAN AKHLAK ISLAMIAH DALAM KEPIMPINAN ISLAM”, Anjuran: Kolej Kediaman Kelima UM.
15. “AMALAN SULUK/KHALWAT DALAM TASAWWUF”
16. Dan lain-lain.

KERTAS KERJA DALAM BIDANG PERUBATAN ISLAM

DI ANTARA TAJUK KERTAS KERJA DALAM BIDANG RAWATAN @ PERUBATAN ISLAM

1. Seminar Perubatan Islam & Pemurnian Tasawwuf, Tajuk: “JIN/SYAITAN: HUBUNGANNYA DENGAN PELBAGAI GANGGUAN KESIHATAN MANUSIA” Anjuran: Persatuan Pelajar Mahasiswa Pahang Dewan Abbasiah Kaherah, Dengan Kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah Mesir. Tarikh: Mac 2007.
2. Seminar Alam Misteri Dalam Budaya, Tajuk: “MENURUN: KEBENARANNYA MENURUT ISLAM” Anjuran Pejabat Muzium Etnologi Dunia Melayu, Jabatan Muzium & Antikuiti. Tarikh: 4 Julai 2002
3. Seminar Perubatan Tradisional Menurut Islam, Tajuk: “METODOLOGI PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM” Anjuran: Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Sg Lang Sabak Bernam.
4. Seminar Mengubati Manusia Dan Alam Dengan Pendekatan Metafizik Islam. Tajuk: “KOMBINASI PUKULAN, DHIKRULLAH DAN DOA SATU KAEDAH PERUBATAN ISLAM YANG PENTING”, Anjuran: Persatuan Kebajikan Saviour Insan Selangor (PERKESAN), Tarikh: 25 Disember 2005
5. Seminar Rawatan Islam, Tajuk: “SAKA: KESAN DAN CARA MERAWATNYA”, Anjuran: IQ Insan Training & Consultancy Dengan Kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Tarikh: 2 Februari 2008
6. Seminar Rawatan Sihir Menggunakan Al-Quran, Tajuk: “SIHIR: CIRI-CIRINYA, KAEDAH RAWATAN DAN AMALAN PENDINDING”, Anjuran IQ Insan Training & Consultancy Dengan Kerjasama Masjid Negara Kuala Lumpur. Tarikh: 5 Januari 2008.
7. 10 Siri Seminar Perubatan Islam, Kaedah TG Dr Hj Jahid Hj Sidek, Pusat Rawatan Islam MANARAH, Anjuran: Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) dengan kerjasama Pelbagai pihak dan agensi. Pengisian adalah berkisar tajuk dan soaljawab berkaitan masalah perubatan Islam.
8. Dan lain-lain.

BIOGRAFI AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI

BIOGRAFI SHAIKH IMAM ISHAK BIN MUHAMAD ARIF AL-JAWI


NAMA LENGKAP
Nama lengkap tuan guru Imam Hj Ishaq ialah Ishaq bin Muhammad Arif bin Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut bin Merah Mas. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Hj. Ishaq.Tuan Hj. Ishaq dilahirkan pada tahun 1908 di kampung Rawa, Cemur, Perak. Beliau adalah anak bongsu daripada enam orang adik beradik yang terdiri dari tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan.

Datuk dan nenek beliau di sebelah ayahanda beliau adalah dari keturunan keluarga Kesultanan Rawa, Sumatera, Indonesia. Datuk lelaki beliau yang bernama Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut itu telah meninggalkan tanah Rawa, Sumatera, berhijrah ke Malaysia dan terus ke Pahang di sekitar tahun 1830-an iaitu lebih kurang 170 tahun yang lalu. Selain beliau, kedapatan ramai juga dari kalangan adik-beradik dan saudara mara beliau yang lain yang turut sama berhijrah ke Semenanjung Malaysia yang pada masa itu disebut Tanah Melayu. Antara mereka ialah Fakih Khalifah Saka yang bergelar Sutan Segentar Alam iaitu abang kandung beliau, Khatib Abdullah iaitu saudara sepupu beliau dan Dato’ Pertemuan iaitu bapa saudara beliau dari sebelah ibu.

Tidak lama sesudah berada di Pahang, maka datuk beliau itu telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Siti Umai, anak perempuan Dato' Paduka iaitu hasil perkahwinan beliau dengan Halimah. Dato' Paduka adalah seorang bangsawan yang berasal dari Kampar, Sumatera.Dato' Paduka inilah yang telah datang ke Pahang dan membuka kampung Temau, Dong, Raub yang mana pada masa dahulu ia dikenali sebagai kampung Lata Limau. Perkahwinan Sutan Tujuan Saka dengan Siti Umai tersebut, telah melahirkan enam orang anak iaitu Soman, Muhammad Arif, Mahida, Muhammad Amin, Ahmad dan Muhammad Diah. Sutan Tujuan dan bapa mertuanya iaitu Dato' Paduka, telah meninggal dunia di Temau dan jenazah kedua-duanya itu dimakamkan di tanah perkuburan Bukit Kepayang, Temau.

AYAHANDA
Ayahanda Tuan Hj. Ishaq iaitu Muhammad Arif ialah seorang yang lama berkhidmat di bawah pemerintahan kesultanan Pahang iaitu pada zaman pemerintahan al-Marhum Sultan Ahmad. Beliau masih dapat mewarisi sifat-sifat kepahlawanan dotok-nenek beliau. Beliau pernah menjadi salah seorang panglima tentera Pahang dan dikenali di zaman beliau itu sebagai Panglima Perang Muhammad Arif. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan seperjuangan beliau seperti Imam Perang Yusuf bin Tan Ibrahim dan Panglima Alam, pernah beberapa kali mengetui tentera Pahang di dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti peperangan yang dikenali sebagai Perang Tengku Wan Aman.

Muhammad Arif juga telah turut memimpin tentera Pahang di dalam peperangan yang berlaku di negeri Selangor seperti Perang Sayyid al-Masyhur yang dikenali juga oleh orang-orang Pahang sebagai Perang Sayyid Suhur dan peperangan saudara antara Tengku Kudin dengan Raja Mahdi. Dalam peperangan yang berlaku di antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi tersebut, beliau memihak dan membantu Tengku Kudin. Muhammad Arif juga selalu bersama-sama dengan Dato’ Gajah iaitu panglima Pahang dan juga dengan anak beliau iaitu Dato’ Mat Kilau.

Muhammad Arif pada mulanya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Zulihan. Ayahanda Zulihan berasal dari Selangor dan ibunya pula berasal dari kampung Dong, Raub, Pahang. Beliau kemudiannya telah menceraikan Zulihan dan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Shamsiah. Ibu Shamsiah bernama Zuyah iaitu anak kepada Fakih Tan Fakih Ali. Hasil perkahwinan beliau dengan Zuyah tersebut, beliau telah dikurniakan seorang anak bernama Itam. Beliau kemudiannya menceraikan Shamsiah dan terus mengembara ke Perak dan menetap di Gopeng. Di Gopeng, Muhammad Arif mengahwini seorang lagi perempuan yang bernama Qamariah yang berketurunan Rawa. Namun kemudiannya beliau menceraikan Qamariah tersebut dan kembali ke Pahang. Di Pahang, beliau telah mengahwini Hindun atau Nujumah binti Tengku Nahmad iaitu bonda kepada Tuan Hj. Ishaq.

BONDA
Bonda Tuan Hj. Ishaq berasal dari keturunan orang kenamaan di Selangor. Tengku Nahmad yang asalnya berketurunan Siak, Sumatera, telah mengembara dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia dan menetap di kampung Kuantan, Klang, Selangor. Di sana beliau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Ubah. Setelah beberapa lama tinggal di kampung Kuantan tersebut, Tengku Nahmad telah mengahwini seorang perempuan yang bernama Maryam yang berasal dari kampung Teluk Pulai, Kelang iaitu anak saudara kepada Dato’ Buang. Hasil perkongsian hidup dengan Maryam tersebut, Tengku Nahmad telah dikurniakan dua orang anak iaitu Maryam dan Hindun. Tengku Nahmad kemudiannya telah meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di daerah Kajang (Hulu Langat).

Apabila berlakunya peperangan di Selangor yang dikenali dengan nama perang Raja Mahdi, maka Maryam telah meninggalkan kampung Teluk Pulai kerana melarikan diri dari huru-hara peperangan tersebut dengan membawa bersama kedua-dua orang anaknya itu. Hindun pada masa itu masih kecil lagi iaitu berumur kurang dari tiga tahun. Selepas itu Maryam terus melarikan diri sehingga sampai ke Bidur, Perak dan di sana anaknya yang bernama Kalthom telah meninggal dunia. Maryam kemudiannya meninggalkan Bidur dan menuju pula ke Pahang iaitu ke kampung Gali, Dong.
Di Dong, Maryam dan anaknya itu tinggal di rumah Hajjah Syarifah, anak kepada Fakih Khalifah Saka (Sutan Segentar Alam) iaitu abang kepada Sutan Tujuan Saka. Hindun telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Hajjah Syarifah kerana beliau sendiri secara kebetulannya tidak mempunyai anak. Nama Hindun kemudiannya telah ditukarkan kepada Nujumah. Setelah dewasa, Nujumah dikahwinkan dengan Muhammad Arif, ayahanda Tuan Hj. Ishaq, iaitu saudara sepupu dengan Hajjah Syarifah tersebut. Kemudian, Muhammad Arif telah membawa isteri dan mertuanya itu berpindah ke Perak dan menetap di sebuah perkampungan yang bernama Pelong iaitu satu tempat yang terletak di antara Cemur dan Sungai Siput. Di Pelong itulah bonda Nujumah meninggal dunia dan dimakamkan di perkuburan kampung tersebut.

Sewaktu menetap di Pelong, Muhammad Arif pernah berkerja mengambil upah menebang hutan untuk membina jalan keretapi di antara Ipoh dan Kuala Kangsar yang mana pada waktu itu masih belum ada perhubungan jalan keretapi di antara kedua-dua bandar tersebut. Ketika berada di Pelong, beliau telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Manan, Sa`diah dan kemudian Khadijah. Setelah lama berada di Pelong, beliau telah didatangi oleh seorang yang bernama Qasim iaitu saudara sepupu beliau lalu mengajak beliau berpindah ke Cemur, Perak, kerana di Cemur itu, menurutnya, terdapat ramai kaum kerabat Sutan Tujuan Saka. Memandangkan ramai orang Melayu yang telah berpindah ke tempat lain sehingga yang tinggal di Pelong itu hanya beberapa buah sahaja rumah yang didiami oleh orang-orang Melayu di samping yang ramai tinggal di situ adalah terdiri dari orang-orang Cina yang kebanyakan mereka berkerja sebagai pemotong papan, maka beliau pun akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Cemur.

Ketika menetap di Cemur inilah Tuan Hj. Ishaq dilahirkan, begitu juga dengan abang kandung beliau, Ayub. Walau bagaimanapun, di Cemur ini jugalah berlakunya perkara yang sangat mendukacitakan. Bonda Tuan Hj. Ishaq, Nujumah (Hindun), telah meninggal dunia pada tahun 1914 di kampung Rawa, Cemur. Pada masa itu Tuan Hj. Ishaq masih kanak-kanak lagi iaitu berumur lebih kurang enam tahun. Setelah kewafatan bonda Tuan Hj. Ishaq, kaum keluarga beliau di Pahang, khasnya di daerah Raub, meminta serta mendesak supaya ayahanda beliau, Muhammad Arif, berpindah ke Pahang. Pada tahun 1915, keluarga beliau telah berpindah ke Pahang dan terus menetap di Kampung Pasir Bayam, Dong, Raub. Setelah lebih kurang lapan tahun berada di Pahang, maka pada tahun 1923, ayahanda Tuan Hj. Ishaq pula meninggal dunia, ketika berusia 75 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kuala Gali. Tuan Hj Ishaq pada masa itu masih remaja iaitu berumur lebih kurang 15 tahun.

Kematian ayahanda beliau itu menjadikan beliau yatim piatu. Walau bagaimanapun beliau kemudiannya telah dipelihara pula oleh saudara sepupu beliau yang bernama Muhammad Tahir bin Osman bin Sutan Tujuan yang tinggal di Kampung Pasir Bayam, Dong. Dua tahun setelah kematian ayahanda beliau iaitu dalam tahun 1925, beliau pun mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan yang bernama Rubiah binti Awaludin yang berasal dari kampung Bukit Kemuning, Dong. Usia beliau pada waktu itu agak muda iaitu lebih kurang 17 tahun. Dalam tahun yang sama beliau telah berpindah ke kampung Bukit Kemuning bagi menjalani hidup berkeluarga.

Tuan Hj. Ishaq menyara hidup keluarga beliau dengan berkebun dan bersawah padi. Beliau juga pandai bertukang dan beliau adalah merupakan salah seorang tukang rumah yang agak mahir. Beliau juga ada membuka kelas pengajian al-Qur’an, fardu ain dan qasidah di rumah beliau di kampung Bukit Kemuning dengan dibantu oleh isteri beliau, Rubiah. Tidak hairanlah kalau rumah beliau itu sentiasa saja dipenuhi dengan murid-murid beliau yang datang untuk belajar ilmu-ilmu agama.

Tuan Hj. Ishaq adalah merupakan seorang imam dan amil masjid yang bertauliah yang agak lama berkhidmat memegang jawatan beliau itu, iaitu semenjak awal tahun 1930-an sehinggalah pertengahan tahun 1960-an. Beliau dengan sebulat suara telah dilantik sebagai imam serta amil masjid di kampung Lecar, mukim Dong pada tahun 1931. Ketika itu beliau telah berusia 23 tahun. Pada mulanya beliau ditauliahkan sebagai imam masjid tersebut oleh Hj. Zayadi iaitu qadi yang ketiga di daerah Raub yang juga merupakan seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin suluk serta murid Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Pada tahun 1951, beliau ditauliahkan pula oleh al-Marhum Sultan Abu Bakar ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. Jawatan imam dan amil masjid kampung Lecar ini disandang oleh Tuan Hj. Ishaq hingga tahun 1965 iaitu selama lebih kurang 34 tahun. Di samping itu beliau juga merupakan seorang guru agama sukarela yang telah diberikan kebenaran mengajar agama di Masjid Bukit Pampong, Dong, Raub bermula tahun 1977/1978.

Tahun 1976 adalah merupakan tahun kesedihan bagi Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana isteri beliau yang bernama Rubiah binti Awwaluddin meninggal dunia pada tahun tersebut dan jenazahnya dimakamkan di tanah perkuburan kampung Bukit Kemuning. Sepanjang tempoh perkongsian hidup Tuan Hj. Ishaq dengan Rubiah selama lebih kurang 51 tahun, beliau tidak dikurniakan sebarang cahaya-mata. Tidak lama setelah kematian isteri beliau itu, Tuan Hj. Ishaq berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Hajjah Fatimah binti Mat Yasin yang berasal dari kampung Ulu Gali, Raub. Perkahwinan beliau yang kedua itu terjadi pada tahun 1977. Perkahwinan tersebut juga tidak melahirkan sebarang zuriat.

Pada tahun 1982, Tuan Hj. Ishaq telah pergi ke Mekah bagi tujuan menunaikan fardu haji bersama-sama dengan isteri beliau, Hajjah Fatimah, dengan diikuti oleh beberapa orang murid beliau. Sepanjang hidup beliau itu, hanya sekali sahaja beliau pergi menunaikan fardu haji ke Mekah. Tuan Hj. Ishaq telah meninggal dunia pada 21 hb. Febuari, tahun 1992 di kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang, kerana sakit tua. Usia beliau ketika itu adalah lebih kurang 84 tahun. Jenazah beliau kemudiannya telah dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Dari segi latar-belakang pendidikan khususnya pendidikan keagamaan, Tuan Hj. Ishaq tidak seperti tokoh-tokoh lain yang mendapat pendidikan keagamaan secara formal di pusat-pusat pengajian sama ada di dalam atau di luar negeri. Ini mungkin kerana kehidupan beliau yang agak susah lantaran kematian bonda dan ayahanda beliau itu. Sekalipun begitu, namun beliau tetap berusaha secara sendirian bagi mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu keislaman menerusi pengajian tidak rasmi iaitu pengajian yang dilakukan di masjid-masjid dan juga surau-surau.

Walau bagaimanapun Tuan Hj. Ishaq juga pernah mengecapi alam persekolahan ala moden iaitu sewaktu beliau masih kanak-kanak. Beliau mula mengenali alam persekolahan tersebut ketika keluarga beliau mula menetap di kampung Pasir Bayam, Dong, Raub, setelah dua tahun berpindah dari Cemur, Perak iaitu setelah kematian bonda beliau, Nujumah (Hindun). Beliau mula bersekolah dalam tahun 1917 di Sekolah Melayu Dong ketika berusia sembilan tahun. Guru besar sekolah tersebut pada waktu itu bernama Muhammad Jabar bin Hj. Abdul Qadir dan penolong beliau ialah anak beliau sendiri iaitu Abdul Majid bin Muhammad Jabar.

Muhammad Jabar bukanlah orang lain, beliau adalah merupakan saudara dua pupu dengan Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana ayahanda Muhammad Jabar, Hj. Abdul Qadir adalah merupakan anak kepada Raja Parmainan yang bergelar Dato’ Raja Ninda. Raja Parmainan itu pula adalah merupakan anak kepada Sutan Limbang Laut Selingkar Alam. Dengan itu Raja Parmainan adalah saudara kandung kepada Sutan Tujuan Saka iaitu datuk kepada Tuan Hj. Ishaq. Muhammad Jabar ini merupakan orang yang pertama dari kalangan orang-orang Melayu yang menjadi guru besar Sekolah Melayu di kampung Dong, Raub. Sekolah tersebut kemudiannya dinamakan Sekolah Menengah Muhammad Jabar, sempena nama guru besar pertamanya.

Tuan Hj. Ishaq berjaya menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Dong. Pada tahun 1922 beliau telah berhenti dari sekolah tersebut kerana telah tamat darjah lima yang merupakan darjah tertinggi di sekolah tersebut pada waktu itu. Beliau termasuk salah seorang pelajar yang agak pintar dan berjaya di sekolah itu. Kerana itu beliau bersama dengan seorang pelajar lain yang bernama Dakhili telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris,Tanjung Malim, Perak yang merupakan tempat mendidik para pelajar untuk menjadi guru. Tawaran tersebut dibuat oleh nazir sekolah yang pada waktu itu disandang oleh Muhammad Idrus, pada tahun 1922, iaitu setelah Tuan Hj. Ishaq tamat pengajian di sekolah itu.

Rakan beliau, Dakhili menerima tawaran tersebut dan terus menyambung pelajarannya di sana sehingga beliau berjaya menjadi seorang pendidik. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi guru besar dan terus berkhidmat sehinggalah beliau bersara. Tuan Hj. Ishaq pula menolak tawaran tersebut kerana beliau melihat ayahanda beliau sudah terlalu tua dan uzur sehingga beliau tidak sanggup untuk meninggalkannya. Tuan Hj. Ishaq adalah seorang yang berminat dan mempunyai kemahuan yang agak tinggi untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Ini dapat dilihat pada usaha dan kesungguhan beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dan bahasa Arab dari guru-guru tempatan setelah beliau menamatkan persekolahan beliau.

Setelah tamat pengajian di Sekolah Melayu Dong, Tuan Hj. Ishaq mula giat belajar ilmu-ilmu agama dengan guru-guru tempatan. Umur beliau pada masa itu adalah lebih kurang 15 tahun. Pada peringkat permulaannya beliau belajar membaca al-Qur’an sehingga khatam dengan guru beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Muhammad Saman. Beliau berjaya menamatkan pengajian al-Qur’an tersebut setelah hampir setahun belajar dengan guru beliau itu. Di samping itu beliau juga mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu usuluddin dan fiqh dan seterusnya beliau belajar pula ilmu tajwid, qasidah dan lagu-lagu dengan seorang guru beliau yang lain yang bernama Tuan Guru Lebai Muhammad Din bin Imam Sani yang berasal dari Kg. Semantan Hilir, Temerloh, Pahang.

Dalam tahun 1927 iaitu ketika Tuan Hj. Ishaq berumur lebih kurang 19 tahun, beliau pergi belajar pula, bagi tujuan mendalami lagi ilmu fiqh dan tasawuf, dengan guru beliau yang bernama Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang sebelum itu merupakan seorang guru agama di Tanjung Malim, Perak. Ketika belajar dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib inilah beliau mula diperkenalkan dengan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang kemudiannya beliau menyambung pengajian tarekat tersebut dengan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad yang juga merupakan guru kepada Hj. Muhammad Khatib.

Tuan Hj. Ishaq juga ada mempelajari bahasa Arab dari beberapa orang guru. Antara guru beliau yang mengajarkan beliau ilmu bahasa Arab itu ialah Tuan Guru Hj. Abdul Razak iaitu kadi yang keenam di daerah Raub, Pahang. Bagi tujuan mendalami lagi pengetahuan tentang bahasa Arab tersebut, Tuan Hj. Ishaq belajar pula dengan Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar bin Hanafiah iaitu seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan juga menantu kepada Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar ini berasal dari Banjar Masin, Kalimantan Barat, Indonesia.

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh Tuan Hj. Ishaq sejak dari zaman remaja beliau itu telah dikembangkan sedikit demi sedikit menerusi pengkajian dan pembacaan kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab. Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan utama Tuan Hj. Ishaq ialah Kitab Bahr al-Madhi, Furu` al-Masail, Tanwir al-Qulub, Qut al-Qulub, Hidayah al-Salikin, Siyar al-Salikin, Kashf al-Mahjub, Tafsir al-Baidawi, Tafsir Ibn `Abbas, Tafsir al-Jalalain dan Sahih al-Bukhari.

Sekalipun Tuan Hj. Ishaq mempunyai latar belakang pendidikan keagamaan yang agak sederhana, tidak seperti tokoh-tokoh agama lain, namun beliau didapati agak aktif menulis dan menghasilkan buku-buku agama terutamanya tentang ajaran tasawuf dan tarekat dan juga sejarah perkembangannya di Raub, Pahang. Antara karya-karya beliau yang telah dihasilkan ialah Majmu` al-Masa'il, Tanbih al-Muridin, Majmu` al-Mau`izah, Cara-Cara Menjalani Amalan Dalam Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah Untuk Mencapai Kepada Tasawuf, Asal-Usul Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah di Daerah Raub, Pahang, dan Sejarah Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang Dar al-Ma`mur, di samping tulisan-tulisan dan risalah-risalah lain yang tidak dibukukan.

PENGLIBATAN DALAM KEGIATAN
TAREKAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH

Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah sudah lama bertapak dan berkembang di daerah Raub, Pahang. Sejarah awal kemasukan dan perkembangan tarekat ini di Raub adalah dipelopori oleh golongan pentadbir agama dan penguasa tempatan. Kadi-kadi dan beberapa orang penghulu terawal di beberapa mukim di Raub didapati terlibat dengan pengamalan dan penyebaran Tarekat Naqshabandiyyah ini. Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan yang menetap di kampung Kuala Gali, Raub, adalah kadi pertama di daerah Raub sebelum zaman penjajahan Inggeris. Hj. Salim adalah orang pertama yang mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah di daerah tersebut. Beliau telah belajar dan menerima asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah tersebut dari seorang yang berasal dari Sumatera yang bernama Shaikh Muhammad Salih.

Kadi yang kedua di Raub ialah Tuan Hj. Muhammad Arif. Beliau berasal dari Minangkabau, Sumatera dan kemudian telah berpindah ke Raub dan menetap di Sana. Beliau adalah menantu kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Di samping sebagai seorang kadi, beliau juga pengamal dan pengembang Tarekat Naqshabandiyyah. Beliau telah menerima tarekat itu dari seorang shaikh di Jabal Hindi, Mekah. Manakala kadi yang ketiga di daerah Raub pula ialah Tuan Hj. Ziyadi iaitu anak kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Beliau juga seorang pengamal dan juga pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Raub. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi adalah guru yang telah mengijazahkan kepada beliau tarekat tersebut.

Di kalangan penguasa tempatan pula, didapati penghulu-penghulu terawal di mukim Gali, Raub terlibat dengan kegiatan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Lima orang penghulu pertama di situ adalah pengamal tarekat ini. Mereka ialah Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda, Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin dan Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad bin Tengku Abdul Majid. Penghulu pertama di mukim Gali iaitu Tengku Abdul Samad, menerima dan mempelajari Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Tuan Hj. Muhammad Arif, kadi kedua di Raub, pada tahun 1914 di kampung Durian Sebatang, mukim Gali, Raub, Pahang. Begitu juga dengan penghulu yang kedua iaitu Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, di mana beliau juga mengambil tarekat tersebut dari Tuan Hj. Muhammad Arif pada tahun yang sama.

Manakala penghulu ketiga iaitu Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, telah mengambil Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Hj. Umar bin Muhammad. Penghulu keempat pula iaitu Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin, telah menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Sidiq bin Hj. Salim, iaitu salah seorang murid dan khalifah Shaikh Hj. Umar. Penghulu kelima iaitu Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim, juga merupakan salah seorang murid dan khalifah kepada Shaikh Hj. Umar.

Tuan Hj. Ishaq mula mengenali Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah ketika beliau belajar ilmu tasawuf dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang mana pada ketika itu beliau berumur 19 tahun. Beliau telah mengambil talqin zikir dan bai`ah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari guru beliau, Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib, pada tahun 1927.Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib berasal dari kampung Rokan Kanan, Langkat, Sumatera, iaitu sekampung dengan Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi al-Naqshabandi yang telah membuka pusat Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di kampung Babussalam, Langkat, Sumatera.

Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib adalah antara anak murid Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi dan khalifah beliau yang paling tua. Sebelum beliau berpindah ke Raub, Pahang, beliau adalah merupakan seorang guru agama serta pemimpim suluk di kampung Bertam, Tanjung Malim, Perak dan mempunyai ramai murid di sana. Setelah Tuan Hj. Ishaq menerima bai`ah tarekat dari guru beliau itu, maka pada penghujung tahun 1927 iaitu pada tahun yang sama, beliau mula menjalani suluk di bawah pimpinan Tuan Guru Shaikh Hj. Umar ibn Muhammad di Surau Suluk Kubu di kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Shaikh Hj. Umar adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan,Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.

Tuan Hj. Ishaq kemudiannya telah memimpin suluk di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, mukim Gali, Raub, Pahang. Suluk pertama kali di surau tersebut berlaku pada bulan oktober tahun 1965. Pada ketika itu beliau telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai imam dan amil masjid kampung Lecar yang disandang oleh beliau selama lebih kurang 34 tahun. Dengan terbinanya surau tersebut, ramailah orang yang datang untuk belajar, menerima dan seterusnya mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di bawah pimpinan beliau itu. Mereka datang dari seluruh pelusuk tanah air dan juga dari Singapura, Thailand dan Sumatera. Murid-murid Tuan Hj. Ishaq dianggarkan melebihi 5000 orang yang terdiri dari laki-laki dan juga perempuan. Murid-murid yang diangkat menjadi khalifah beliau sahaja melebihi dua ratus lima puluh orang.

Murid-murid Tuan Hj. Ishaq itu adalah dari latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berbeza. Di samping orang-orang kampung yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak rendah, ada di antara murid-murid Tuan Hj. Ishaq yang terdiri dari ahli akademik bidang keagamaan yang sebahagiannya merupakan lulusan universiti di timur tengah dan juga universiti tempatan. Antara mereka ialah seperti Ustaz Mukhtar bin Yaqub yang merupakan seorang graduan Universiti al-Azhar yang memiliki ijazah sarjana dan juga bekas timbalan Shaikh al-Arqam, Prof. Madya Ustaz Hj. Jahid bin Sidek iaitu pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Ustaz Muhammad bin Long iaitu guru agama Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, Temerloh, Ustaz Hj. Husain bin Abdul Latif iaitu guru agama Balai Muzakarah, Pauh Sembilan, Bacok, Kelantan dan Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad guru agama di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.

Di kalangan murid-murid Tuan Hj. Ishaq ada juga yang menjadi wakil rakyat iaitu Yang Berhormat Tengku Mustafa bin Tengku Hj. Seti yang kemudiannya menjadi salah seorang kahlifah yang menggantikan beliau. Ramai juga di kalangan murid-murid beliau itu yang terdiri dari golongan profesional seperti Hj. Hafas bin Idin iaitu seorang peguam di Kuantan, Pahang, Abdul Rahim bin Muhammad iaitu seorang pegawai Bank Nasional di Kuala Lumpur, Wan Abdul Rasyid bin Wan Abu Bakar iaitu seorang hakim di Mahkamah Tengah, Kuantan dan Hj. Aman Syah iaitu penyelia sekolah-sekolah di Raub, Pahang.

Sepanjang 18 tahun menjadi khadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah; beliau telah menganjurkan 120 amalan bersuluk di Surau Ehyaul Qulub, Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang; di samping menghasilkan banyak tulisan yang berkaitan dengan amalan tareqat. Khalifah yang diangkat di zaman hayatnya ialah seramai 350 orang.

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 21 Februari 1992 bersamaan 18 Sya’ban 1412 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di Kg Bukit Kemuning, Dong, Raub, Pahang.
PENGGANTI PEMIMPIN TARIQAH DAN SULUK
Al-marhum Tuan Guru Imam Hj. Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi telah meninggalkan beberapa orang pengganti yang dibenarkan memimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Antara mereka ialah al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Hasan bin Wan Abdullah yang memimpin tarekat tersebut di surau suluk kampung Pulau Rumput, Pekan, Pahang. Al-Marhum Ustaz Mukhtar bin Yaqub, Pekan, Pahang, juga adalah antara khalifah beliau yang dibenarkan memimpin tarekat ini, namun beliau terlebih dahulu meninggal dunia sebelum guru beliau. Al-Marhum Imam Haji Sani, Raub Pahang juga dizinkan untuk memimpin suluk dan tarekat. Salah seorang khalifah dan pengganti beliau yang sangat giat menyebarkan ajaran tarekat guru beliau ialah TUAN GURU DR HAJI JAHID BIN SIDEK AL-KHALIDI yang sehingga sekarang masih memimpin suluk dan pengamalan tarekat ini melalui 2 surau suluknya di SURAU SULUK BABUL KHAYRAT, KAMPUNG MELAYU MAJDI, JOHOR BHARU, JOHOR dan MADRASAH MANARATIL 'ILMI, PEKAN PAHANG. Manakala al-Marhum Tengku Mustafa bin Tengku Seti pula adalah merupakan khalifah beliau yang menggantikan tempat beliau sebagai pemimpin tarekat di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub sehingga sekarang. Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad juga merupakan salah seorang kahlifah Tuan Hj. Ishaq yang dibenarkan memimpin tarekat namun beliau diberitakan tidak begitu aktif mengembangkan tarekat tersebut.

BIOGRAFI SHAIKH UMAR BIN MUHAMMAD BATU PAHAT


Shaikh Hj. Umar bin Muhammad adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan,Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.

BIOGRAFI SHAIKH ABDUL WAHAB ROKAN PERINTIS TARIKAT DI LANGKAT

Syeikh Abdul Wahhab Rokan - Mursyid tarekat yang berwibawa

Syeikh W.Md Saghir

BABUSSALAM, Langkat, Sumatera Timur adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura.

Namanya ketika kecil "Abul Qasim'', digelar juga dengan "Faqih Muhammad''. Nama lengkap Syeikh Abdul Wahhab bin Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Lahir 10 Rabiulakhir 1242 H/11 November 1826 M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada hari Jumaat, 21 Jamadilawal 1345 H/26 Disember 1926 M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya.

PENDIDIKAN

Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahhab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya (Malaysia Barat) ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854 M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Pelajaran tasawuf khusus mengenai Thariqat Naqsyabandiyah Abdul Wahhab dididik oleh seorang ulama besar yang cukup terkenal, beliau ialah Syeikh Sulaiman Zuhdi di Jabal Abi Qubis, Mekah.

PULANG DAN AKTIVITI

Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854 M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Di Babussalamlah dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, tarbiyah ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t.

Sungguh pun demikian Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan tidak mengabaikan perjuangan duniawi kerana beliau bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin, Sultan Kerajaan Rokan dan Haji Abdul Muthallib, Mufti Kerajaan Rokan pernah mengasaskan "Persatuan Rokan''. "Persatuan Rokan'' bertujuan secara umumnya adalah untuk kemaslahatan dan kebajikan Rokan. Walau bagaimana pun tujuan utamanya adalah perjuangan kemerdekaan untuk melepaskan Kerajaan Rokan dari penjajahan Belanda. Pembahagian kerja "Persatuan Rokan'' ialah Sultan Zainal Abidin sebagai pelaksana segala urusan luar negeri. Haji Abdul Muthallib menjalankan pekerjaan-pekerjaan dalam negeri dan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab sebagai menerapkan pendidikan memberi semangat pada masyarakat.

PERKAMPUNGAN BABUSSALAM

Dalam tarikh 12 Syawal 1300 H/12 Ogos 1883 M Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan bersama 160 orang pengikutnya dengan menggunakan 13 buah perahu memudiki Sungai Serangan menuju perkampungan peribadatan dengan undang-undang atau peraturannya tersendiri yang dinamakan Babussalam. Pendidikan mengenai keislaman diterapkan setiap hari dan malam, sembahyang berjemaah tidak sekali-kali diabaikan. Tilawah al-Quran, selawat, zikir, terutama zikir menurut kaedah Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dan lain-lain sejenisnya semuanya dikerjakan dengan teratur di bawah bimbingan "Syeikh Mursyid'' dan "khalifah-khalifah''nya. "Syeikh Mursyid'' adalah Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sendiri. "Khalifah'' ada beberapa orang, pada satu ketika di antara "khalifah'' terdapat salah seorang yang berasal dari Kelantan. Beliau ialah khalifah Haji Abdul Hamid, yang masih ada kaitan kekeluargaan dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Pada tahun 1342 H/1923 M Asisten Residen Belanda bersama Sultan Langkat menyematkan "Bintang Emas'' untuk Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Wakil pemerintah Belanda menyampaikan pidatonya pada upacara penyematan bintang itu, "Adalah Tuan Syeikh seorang yang banyak jasa mengajar agama Islam dan mempunyai murid yang banyak di Sumatera dan Semenanjung dan lainnya, dari itu kerajaan Belanda menghadiahkan sebuah "Bintang Emas'' kepada Tuan Syeikh. Seorang sufi sebagai Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan penyematan bintang seperti itu bukanlah merupakan kebanggaan baginya, mungkin sebaliknya bahawa bisa saja ada maksud-maksud tertentu daripada pihak penjajah Belanda untuk memperalatkan beliau untuk kepentingan kaum penjajah yang sangat licik itu. Oleh itu, dengan tegas Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan berkata ketika itu juga, "Jika saya dipandang seorang yang banyak jasa, maka sampaikanlah pesan (amanah) saya kepada Raja Belanda supaya ia masuk Islam.''

KARYA

Tidak banyak diketahui hasil penulisan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Setakat ini yang dapat dikesan ialah:

1. Munajat, merupakan kumpulan puji-pujian dan pelbagai doa.

2. Syair Burung Garuda, merupakan pendidikan dan bimbingan remaja .

3. Wasiat, merupakan pelajaran adab murid terhadap guru, akhlak, dan 41 jenis wasiat.
"...........semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak .............. orang-orang ................ akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden....."
Petikan 41 wasiat yang dimaksudkan beliau antaranya; Wasiat yang pertama, "Hendaklah kamu sekalian masyghul dengan menuntut ilmu Quran dan kitab kepada guru-guru yang mursyid. Dan hinakan diri kamu kepada guru kamu dan perbuat apa-apa yang disuruhnya. Jangan bertangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan seolah-olah diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucu, kemudian kepada orang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu, tetapi minta upah dan gaji itu kepada Tuhan Esa lagi Kaya Murah, iaitu Allah Ta'ala.''

Wasiat yang kedua, "Apabila kamu sudah baligh hendaklah menerima Thariqat Syaziliyah atau Thariqat Naqsyabandiyah supaya sejalan kamu dengan aku. "Wasiat yang kedua ini jelas bahawa Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat menekankan amalan tarekat. Mengenai ini juga ada hujah-hujah yang kuat di kalangan penganut-penganut sufi, walau pun ada golongan yang tidak sependapat dengan yang demikian itu. Pada pandangan saya mempertikaikannya adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia, kerana bermujadalah adalah termasuk salah satu sifat mazmumah (dicela) oleh syarak Islam.

Wasiat yang ketiga, "Jangan kamu berniaga - maksudnya jika terdapat penipuan atau pun riba. Jika hendak mencari nafkah hendaklah dengan tulang empat kerat seperti berhuma dan berladang dan menjadi amil (orang yang bekerja, pen:). Dan di dalam mencari nafkah itu hendaklah bersedekah tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh, maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus, sedekahkan sepuluh dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira empat puluh hari maka boleh mencari.''

Wasiat yang keempat, "Maka hendaklah kamu berbanyak-banyak sedekah sebilang hari istimewa pada malam Jumaat dan harinya. Dan sekurang-kurang sedekah itu empat puluh duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.''

Wasiat yang kelima, "Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang alim-alim dan ulama-ulama dan salih-salih.''

Wasiat yang keenam, "Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya seperti hendak menjadi kadi, imam dan lain-lainnya istimewa pula hendak jadi penghulu-penghulu dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang halus.''

Wasiat yang ketujuh, "Jangan kamu menuntut ilmu sihir seperti kuat, dan kebal dan pemanis serta lainnya kerana sekalian ilmu telah ada di dalam al-Quran dan kitab.''

Wasiat yang kelapan, "Hendaklah kamu kuat menghinakan diri kepada orang Islam, dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syarak.''

Demikianlah 8 wasiat yang dipetik dari 41 wasiat Syeikh Abdul Wahhab Rokan, semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak ditafsirkan kemungkinan orang-orang yang berada di luar lingkungan sufi akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden. Sebelum anda sempat mengikuti pentafsirannya, saya berpendapat bahawa jalan menuju takwa kepada Allah sekali-kali adalah tidak menghalang kemajuan dunia moden jika kemajuan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

MURID

Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah Thariqat Naqsyabandiyah Jalan Ma'rifah, cetakan pertama tahun 1976 di Malaysia, diterbitkan oleh pengarangnya sendiri.

Artikel Almarhoum Syeikh W.Md Saghir 04/04/2005 (Mari kita hadiahkan fatihah buat al-marhum)

SILSILAH AMALAN TARIQAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH

DI BAWAH PIMPINAN SHAIKH DR HAJI JAHID BIN SIDEK AL-KHALIDI AL- NAQSHABANDI

  1. Sayyidina wa Mawlana Muhammad Salla-Llahu ‘alayhi wa sallam
  2. Sayyidina Abu Bakr as-Siddiq Radiyallahu Anhu
  3. Sayyidina Salman al-Farisi Radiyallahu Anhu
  4. Sayyidina Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr as-Siddiq Radiyallahu Anhu
  5. al-Imam Ja’far as Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir
  6. Shaikh Abu Yazid Tayfur bin 'Isa bin Adam bin Surushan al-Bistami Sultanu-‘Arifin (Q.S.)
  7. Shaikh Abu-l Hasan ‘Ali al-Kharqani (Q.S.)
  8. Shaikh Abu ‘Ali Ahmad bin Muhammad al-Farmadi at-Tusi ar-Rudzbari (Q.S.)
  9. Shaikh Abu Ya’qub Yusuf al-Hamadani (Q.S.)
  10. Shaikh ‘Abdu-l Khaliq bin ‘Abdu-l Jamil al-Ghujdawani Imamu-l Khatmi-l Khwajagan (Q.S.)
  11. Shaikh ‘Arif Riwgari (Q.S.)
  12. Shaikh Khwajah Mahmoud Anjir al-Faghnawi (Q.S.)
  13. Shaikh ‘Azizan ‘Ali ar-Ramitani (Q.S.)
  14. Shaikh Muhammad Baba as Sammasi (Q.S.)
  15. Shaikh Sayyid Amir al-Kulali al-Bukhari (Q.S.)
  16. Imamu-t-Tariqah wa Ghawthu-l-Khaliqah Khwaja Baha’u-d Din an-Naqshbandi Muhammad al-Uwaisi al-Bukhari (Q.S.)
  17. Shaikh ‘Ala’u-d-Din ‘Attar al- Bukhari (Q.S.)
  18. Shaikh Ya’qub Charkhi (Q.S.)
  19. Shaikh Hadrat-i Ishan Nasiru-d-Din ‘Ubaydu-Llah bin Khwajah Mahmoud bin Shaykh Shihabu-d-Din Khwaja Ahrar (Q.S.)
  20. Shaikh Muhammad az-Zahid al-Bukhari (Q.S.)
  21. Shaikh Darwish Muhammad (Q.S.)
  22. Shaikh Khwajaki Amkinaki Mawlana Ahmad bin Jalalu-d- Din al-Samarqandi (Q.S.)
  23. Shaikh Muhammad al-Baqi bi-Llah Berang Simaqi bin Qadi ‘Abdu-s Salam Khalji al-Samarqandi (Q.S.)
  24. Imam Rabbani Ahmad al-Faruqi Sirhindi Mujaddid-i Alf-i Thani (Q.S.)
  25. Shaikh Khwaja Muhammad Ma’sum bin Ahmad al-Faruqi (Q.S.)
  26. Shaikh Khwaja Sayfu-d Din ‘Arif bin Muhammad Ma’soum (Q.S.)
  27. Shaikh Sayyid Nur Muhammad Mazhari Bada’uni (Q.S.)
  28. Shaikh Mirza Shamsu’d- Din Habibu-Llah Mazhari Jan-i Jan’an (Q.S.)
  29. Shaikh Shah Ghulam ‘Ali ‘Abdu-Llah al-Dihlawi (Q.S.)
  30. Shaikh Diya’u-d Din Khalid as- Shahrazuri al-Kurdi al-Baghdadi (Q.S.)
  31. Shaikh Abdullah al-Arzinjani al-Makki (Q.S.)
  32. Shaikh Sulaiman al-Qirimi (Q.S.)
  33. Shaikh Sulaiman Zuhdi (Q.S.)
  34. Shaikh Abdu’l-Wahab Babu’s-Salam (Q.S.)
  35. Shaikh Umar Bin Muhammad Batu Pahat (Q.S.)
  36. Shaikh Imam Hj Ishaq Bin Muhammad ‘Arif al-Rawi (Q.S.)
  37. Shaikh Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi


Sebahagian Kitab-Kitab Yang Dijadikan Bahan Rujukan: 
  1. Kitab Tanwirul Qulub Fi Mu’amalatil a’laamil Ghuyub (تنوير القلوب في معاملة علام الغيوب ) karangan Syeikh Muhammad Amin Al- Kurdi Al-Irbili as- Syafi’e an-Naqshabandi al- Khalidi.
  2. Kitab Al-Bahjatus Saniyyah Fii Adaabit Toriqatil a’liyyah al-Khalidiyyah an-Naqshabandiyyah( البهجة السنية في آداب الطريقة العلية الخالدية النقشبندية ) karangan Syeikh Imam u’lama al-A’milin Muhammad bin A’bdullah al-Khani al-Khalidi an-Naqshabandi.
  3. Kitab Jami’ul Usuli Fii Auliya’( جامع الأصول في الأولياء ) karangan Syeikh Ahmad al-Kamashkhanawi an-Naqshabandi al-Mujaddidi al-Khalidi.
  4. Kitab Ar-Rahmatul Haabitoh Fii Zikris Miz Zaat Warrabitoh ( الرحمة الهابطة في ذكر اسم الذات والرابطة) karangan al-A’lamah Syeikh Husain bin Ahmad al- Khalidi as-Shafi’e.
  5. Kitab Al-Hadaiqul Wardiyyah ( حدائق الوردية في حقائق أجلاء النقشبندية) karangan Syeikh Abdul Majid bin Muhammad al-Khani
  6. Kitab Irgham al-Murid (إِرْغَامُ اْلمُرِيْدِ فِي شَرْحِ النُّظُمِ اْلعَتِيْدِ لِتَوَسُّلِ اْلمُرِيْدِ بِرِجَاْلِ اْلطَّرِيْقَةِ اْلنَّقْشَبَنْدِيَّةِ اْلخَالِدِيَّةِ اْلضِّيَائِيَّةِ.) karangan Syeikh Muhammad Zahid bin Syeikh Hassan al- Duzjawi.
  7. Kitab Haqaiq an At-Tasawwuf (حقائق عن التصوف) Karangan Syeikh A’bdul Qadir 'Isa.
  8. Kitab Ar-Risalah Al-Qusyairiah Fi 'Ilmu At-Tasawwuf (الرسالة القشيرية في علم التصوف ) Karangan al-A’llamah al-A’rif billah Abi Qasim A’bdul Karim bin Hawazan al-Qushairi al-Naisaburi.
  9. Kitab Tabaqat As-Sufiyyah ( طبقات الصوفية) Karangan al- imam Abi A’bdil Rahman as-Sulami.
  10. Kitab Tabaqat al-Kubro (الطبقات الكبرى المسماة بلواقح الأنوار في طبقات الأخيار ) karangan Abi Mawahib A’bdul Wahhab bin A’li al-Ansori al-Ma’ruf bi as-Sha’raani.
  11. دراسات في الفكر العربي الاسلامي: ابحاث في العلم الكلام والتصوف والاستشراق والحركات الهدامة  karangan Dr ‘Irfan ‘Abdul Hamid Fattah


SYAIR AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD ARIF AR-RAWI


Berikut adalah merupakan Syair 14 rangkap yang dicipta oleh al-Marhum Tuan Guru Imam Hj Ishaq bin Muhammad Arif ar-Rawi bersempena penerbitan Buku yang diterjemahkan daripada kitab arab berjudul "Tanwirul Qulub" karya Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi. Terjemahan oleh Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi tersebut diberikan Judul "Dhia'ul Iman Fi Tariqi Rahman" atau "Membentuk Jiwa Sufi" (Cetakan terbaru).

Syair ini menyatakan sejarah bagaimana gelaran al-Khalidi yang dianugerahkan oleh al-Marhum Tuan Guru kepada Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi. Marilah bersama-sama kita renungi intipati dan kandungan penting daripada syair seperti di bawah ini:


SYAIR AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD ARIF AR-RAWI

Bacalah Kitab Dhia’ul Iman
Jalan Makrifah Kepada Ar-Rahman
Dijadikan Dia Sebagai Pedoman
Di Situlah Tempat Mengambil Fahaman

Suatu Tarekat Di Dalam Islam
Ajaran Nabi ‘Alaihissalam
Amalkan Dia Siang Dan Malam
Supaya Bercahaya Hati Yang Kelam

Amalan Tarekat Amalan Nabi
Amalan Yang Disuruh Oleh Ilahi
Amalkan Dia Sepanjang Hari
Jangan Dibantah Jangan Diingkari

Tarekat Ini Amalan Yang Suci
Amalan Untuk Menjaga Hati
Amalan Yang Diamalkan Oleh Nabi
Amalkan Dia Sepanjang Hari

Amalkanlah Berzikrullah
Supaya Ingat Kepada Allah
Kerjakan Suruh Jauhkan Tegah
Hukuman Tuhan Jangan Disanggah

Kepada Allah Bila Dah Lupa
Pekerjaan Yang Jahat Disangka Tak Apa
Syaitan Pun Segera Datang Menerpa
Masuk Ke Dalam Jantung Dan Limpa

Wahai Saudara Wahai Saudari
Amalkan Zikrullah Setiap Hari
Kerjakan Dengan Qasad Yang Suci
Kerana Menuntut Keredhaan Ilahi

Wahai Saudara Taulan Sebaya
Baik Miskin Ataupun Kaya
Amalan Tarekat Amalan Yang Mulia
Mengukuhkan Iman Menguatkan Percaya

Wahai Adik, Kakak Dan Saudara
Amalan Tarekat Sangat Berharga
Jangan Saudara Menjahatkan Sangka
Mengatakan Amalan Yang Direka-Reka

Amalan Tarekat Disuruh Ilahi
Amalan Yang Dibawa Oleh Nabi
Amalkan Dia Petang Dan Pagi
Supaya Jangan Mendapat Rugi

Barangsiapa Meringankannya
Tidak Percaya Akan Amalannya
Sangatlah Buruk Akibat Padahnya
Di Hari Akhirat Sangatlah Ruginya

Saya Bersyukur Kepada Allah
Amalan Tarekat Telah Nyatalah
Amalan Yang Dibawa Oleh Rasulullah
Jangan Sekali Diingkar Disalah

Tanwirul Qulub Kitab Terpuji
Susunan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi
Diterjemahkan Kepada Bahasa Jawi
Oleh USTAZ JAHID AL-KHALIDI

Tamatlah Syair Tamatlah Kalam
Dengan Kehendak Khaliqul-Alam
Berkat Nabi Alaihi Salam
Buat Peringatan Siang Dan Malam

SAHIBUS SAMAHAH PROF DR ALI JUMUAH, MUFTI KERAJAAN NEGARA MESIR, AL-BAYAN LIMA YASHQHOLU AL-AZHAN


Terjemahan bebas daripada teks asal jawapan Sahibul Samahah Prof. Dr. Ali Jumuah, Mufti Kerajaan Negara Mesir yang dinaqalkan daripada Al-Bayan Lima Yashqholu Al-Azhan, cet. Al-Muqattam, Kaherah, hlm. 328-331:

Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ

Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara.

Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ، فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا


Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ


Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.

Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza. Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah!. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya! Jawab Rasulullah SAW : "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.

Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".

Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.

Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan. Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan. Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.

Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".

Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.

Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.

Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).

Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ


Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]

Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama kita.

(Tamat terjemahan teks asal berbahasa Arab)


Teks ini dikutip daripada halaman http://ustazazhar.com/v1/tasawwuf/aliran-tarekat.html