Wednesday, January 20, 2010

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Pahlawan Datuk Bahaman pernah meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.


DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya' 'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

Tulisan ulama Melayu dalam kesusasteraan Arab

Tulisan ulama Melayu dalam kesusasteraan Arab

Koleksi tulisan Allahyarham WAN. MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PERBICARAAN kali ini, penulis cuba memperkenalkan keterlibatan ulama-ulama dunia Melayu dalam kesusasteraan Arab, baik yang dikenal di peringkat antarabangsa mahupun hanya bersifat lokal Asia Tenggara/Tanah Jawi sahaja. Perbicaraan ini juga meliputi sama ada ulama-ulama yang hanya menulis dalam sastera Arab dalam bahasa Arab, mahupun sastera Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau terlibat kedua-duanya.

Ulama-ulama silam dunia Melayu memang cukup terkenal dalam berbagai-bagai corak penulisan, namun perbicaraan yang khusus mengenai keterlibatan mereka dalam kesusasteraan Arab adalah kurang dibincangkan.

Sebahagian besar ahli akademik moden berpendapat bahawa ulama-ulama silam dunia Melayu hanyalah terlibat dalam tiga ilmu, iaitu fiqh, tauhid, dan tasauf saja.

Dalam bidang penulisan pula, mereka berpendapat bahawa karya-karya yang dihasilkan oleh ulama-ulama silam dunia Melayu hanyalah bersifat terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, hampir-hampir tiada karya yang bercorak kreatif.

Di antara mereka juga ada yang berpendapat bahawa ulama-ulama kita hanya mampu menghasilkan karya dalam bahasa Melayu saja, tidak mampu menghasilkan karya dalam bahasa asli Islam iaitu bahasa Arab.

Semua pandangan yang tersebut adalah tidak benar, kerana sekurang-kurangnya sejak abad ke-16-17 telah dijumpai karya-karya ulama silam kita ditulis dalam bahasa Arab. Di antaranya terdapat karya-karya Sheikh Yusuf Tajul Khalwati al- Mankatsi yang ditulis dalam bahasa Arab.

Namun, perbicaraan ini adalah mengkhususkan mengenai ilmu balaghah (retorika), maka keterlibatan ulama-ulama silam dunia Melayu di bidang lain tidak penulis bicarakan lagi.

Apabila kita membicarakan ilmu balaghah yang tertakluk dengan penggunaan kosa kata ataupun kalimat yang fasih dalam bahasa Arab, yang tidak terbatas hanya dalam bentuk prosa (kalam natsar), tetapi juga dalam bentuk puisi (kalam nazam/syair).

Maka di sini penulis tumpukan pada memperkenalkan puisi ulama-ulama kita. Apabila kita membicarakan nazam atau syair yang semestinya di bawah tajuk ilmu 'arudh dan qawafi, dibicarakan juga kerana mengingat seseorang ulama yang berkemampuan menggubah puisi yang indah tentunya terlebih dulu menguasai ilmu balaghah dan ilmu-ilmu lain yang tertakluk di bawahnya.

Senarai Nama Ulama/Tokoh Dunia Melayu yang telah ditemui puisi dalam Bahasa Arab dan keterangan-keterangan mengenainya.

Sebelum memperkenalkan corak dan gaya bahasa puisi ulama-ulama dunia Melayu yang ditulis dalam bahasa Arab, terlebih dulu penulis senaraikan sebahagian nama mereka yang ditemui puisinya dalam bahasa Arab, iaitu:

1. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani

Maklumat peninggalan puisi Arab yang digubah oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani hanya disebut oleh Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, yang dinamakan puisi itu dengan judul Puisi Kemenangan Kedah. Menurutnya bahawa ketika kemenangan Kedah berperang melawan Siam, pada ketika itulah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani menggubah puisi tersebut dalam bahasa Arab.

Puisi tersebut tersimpan di Muzium Negeri Kedah. Penulis telah melihat puisi tersebut di muzium itu yang ditulis di atas kain sutera dalam ukuran lebar dan memanjang dari atas ke bawah pada sekitar tahun 1992.

Setakat ini, karya-karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang telah dijumpai selain yang tersebut itu ditulis dalam bahasa Melayu bentuk prosa, tidak bentuk puisi.

2. Sheikh Nawawi al-Bantani

Ulama dunia Melayu yang digelar oleh Sheikh Ahmad al-Fatani dalam seuntai syair Arabnya dengan Imam Nawawi ats-Tsani ini memang banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab bentuk prosa, hanya beberapa tempat dalam karyanya terdapat gubahan puisinya.

Sebagai bukti bahawa Sheikh Nawawi al-Bantani termasuk seorang yang tabahhur dalam kesusasteraan Arab, terdapat beberapa buah karya beliau berupa syarah dari karya-karya genre sastera Arab yang terkenal. Di antaranya yang ada dalam koleksi penulis ialah:

i) Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumah as-Saiyid al-Barzanji Zainal 'Abidin fi Maulid Saiyidil Awwalin wal Akhirin, karya ini diselesaikan pada akhir Zuhur, Jumaat 13 Jamadilakhir 1284 H/1867 M. Berdasarkan pengakuan beliau bahawa empat bait nazam Bahar al-Kamil mengenai ibu susuan Nabi S.A.W, pada halaman 20 kitab tersebut adalah digubah oleh beliau sendiri.

ii) Bughyatul 'Awam fi Syarhi Maulid Saiyidil Anam, diselesaikan pada hari Sabtu, waktu Zuhur, tanggal 17 Safar 1294 H/1877 M. Pada muqaddimahnya, Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa sewaktu beliau menulis Syarah al-Maulid yang dibangsakan kepada Ibnu al-Jauzi, beliau telah mengumpulkan banyak naskhah mengenai itu.

Di antaranya dinyatakan bahawa Sheikh 'Abdul Wahhab al-'Arqasusi mempunyai beberapa kelebihan dan kelainan-kelainan yang ada dalam dirinya. Lalu beliau syarahkan pula, iaitulah yang diberi nama dengan judul karya tersebut.

iii). Al-Ibrizud Dani fi Maulidi Saiyidil Adnani yang diringkaskan dari karya Sheikh Ibnu Hajar al-'As-qalani.

Mengenai karya ini, Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi 12 bait, diangkatnya nama Sheikh Nawawi al-Bantani, selain Nawawi ats-Tsani disebutnya pula sebagai 'Imam Umat Tanah Jawa', pada pengertian yang sempit, atau 'Imam Tanah Jawi/Dunia Melayu' pada pengertiannya yang luas. Puisi lengkapnya dapat dirujuk buku penulis berjudul Al-'Allamah Syeikh Ahmad Al- Fathani' (1992) pada halaman 156-157.

3. Sheikh Abdul Haq bin Abdul Mannan al-Bantani

Beliau adalah cucu Sheikh Nawawi al-Bantani. Karya beliau yang telah dijumpai dua buah. Sebuah ditulis dalam bentuk puisi dengan judul Ar-Risalatul Manzhumatu fin Nahwi, 258 bait, yang dicetak di bahagian akhir karyanya mengenai ilmu ushul fiqh.

4. Sheikh Ahmad al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama yang terbanyak menghasilkan puisi jika dibandingkan dengan semua ulama yang terdapat dalam senarai. Mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dalam menghasilkan puisi ini pernah dibicarakan secara khusus dalam ruangan ini sebelumnya.

Walau bagaimanapun, di sini perlu penulis sentuh dengan ringkas perkembangan hasil dari Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu IV, pada 14-16 Ogos 1995. Dalam seminar tersebut, penulis menyentuh mengenai keterlibatan beliau dalam kesusasteraan dunia Melayu dengan agak panjang, tetapi hanya sedikit mengenai keterlibatan beliau dalam kesusasteraan Arab.

Salah satu penemuan baru tentang 'Teori Sastera Islam' yang dinamakan Teori Takmilah, pernah dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu III, pada 5-8 September 1993, telah menggunakan Hadiqatul Azhar karya Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai contoh. 'Teori Takmilah Shafie Abu Bakar' sebagai Teori Sastera Islam untuk Kesusasteraan Melayu-Islam nampaknya diterima oleh semua sarjana sastera Melayu.

Hal ini penulis dengar sendiri dari ucapan beberapa orang tokoh terkenal, di antaranya ialah Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, Prof. Madya Mana Sikana, dan lain-lain dalam perbahasan dalam seminar ke IV tersebut. Dengan demikian, ini bermakna semakin bertambah dalam memperkenalkan nama Sheikh Ahmad al-Fathani, dan secara tidak langsung mengangkat nama Shafie Abu Bakar sebagai pencipta Teori Takmilah yang perlu disokong.

5. Sheikh Abdul Hamid Kudus

Nama lengkap beliau adalah Sheikh Abdul Hamid bin Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Qadir al-Khatib. Beberapa lapis datuk neneknya adalah ulama-ulama yang berasal dari Kudus, Jawa. Beliau mengajar di Masjid al-Haram Mekah dan pada riwayat yang lain dikatakan pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafie di Masjid al-Haram tersebut.

Sheikh Abdul Hamid Kudus telah menghasilkan beberapa buah karya dalam bahasa Arab. Namun, hanya sebuah karya mengenai sastera Arab ialah Fathul Jalil al-Kafi bi Mutammimati Matnil Kafi fi 'Ilmiyil 'Arudh wal Qawafi, diselesaikan Rabiulawal 1325 H.

Kitab ini ditashih oleh Muhammad az-Zahri al-Ghamrawi. Kitab beliau mengenai ilmu 'Arudh dan Qawafi itu telah dipuji oleh beberapa orang gurunya. Di antaranya adalah ulama balaghah Mekah yang terkenal pada zamannya. Mereka ialah: Saiyid Ahmad al-Husaini asy-Syafie, Sheikh Muhammad Musa al-Bujairimi asy-Syafi'ie (Al-Azhar), Sheikh Muhammad Halaby asy-Syafie (Al-Azhar), Sheikh Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi (Al-Azhar) dan al-'Allamah an-Natsir an-Nazhim zul Fadhlir Ra'yi asy-Sheikh Qasim al-Azhari al-'Arabi.

6. Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba) al-Fatani

Maklumat mengenai tokoh ini pertama sekali penulis perkenalkan dalam majalah Dakwah, dan selanjutnya ditinjau dari segi makhthuthat (manuskrip) dan bentuk-bentuk syair-syair/nazam-nazam dalam bahasa Melayu yang meniru gaya syair/nazam Arab dimuat dalam Jurnal Filologi Melayu (jilid 2, 1993:42-60).

Selain kebolehan beliau dalam menggubah untaian genre syair/nazam dalam bahasa Melayu yang indah, Tok Kelaba juga berkebolehan menggubah puisi dalam bahasa Arab.

Asas mengenai ilmu tersebut dipelajarinya pertama sekali kepada Sheikh Abdul Qadir bin Musthafa al-Fathani di Pondok Bendang Daya, Patani. Kemudian mendalami pelbagai ilmu termasuk ilmu kesusasteraan Arab kepada anak saudara gurunya itu, iaitu Sheikh Ahmad al-Fathani.

Puisi-puisi Arabnya masih dalam bentuk makhthuthat ada dalam simpanan penulis. Pada halaman-halaman bahagian akhir dalam karyanya berjudul Hadaiqus Shalawat fil Khalawat wal Jalawat, beliau mengemukakan berbagai-bagai bentuk puisi Arab yang beliau sebut setiap contoh itu dengan nama baharnya sekali. Semua puisi Arab ditulis dalam bahasa Arab dan beliau terjemahkan dalam bahasa Melayu dengan gaya bahasa Melayu klasik yang balaghah dan fashahah.

Puisi-puisi Arab yang digubah oleh pemuisi/penyair Arab yang terkenal beliau salin, juga beberapa buah puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani terdapat dalam karyanya itu.

7. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani

Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani adalah antara ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Haram (Mekah), Madrasah Shaulatiyah (Mekah), Madrasah Tahtul Yaman, Jambi, dan Sheikh al-Islam Selangor ini memang terkenal ketabahhurannya dalam ilmu- ilmu Arabiyah, baik di kalangan ulama dunia Melayu mahupun ulama Mekah pada zamannya. Beliau berkebolehan menggubah puisi Arab dan sekaligus juga mengarang kitab tentang perbahasan ilmu itu dalam bahasa Arab.

Salah sebuah karya Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani mengenai ilmu isti'arah adalah merupakan syarah karya gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani. Karya Tengku Mahmud Zuhdi itu ialah diberi judul Syarh Tadrijis Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan pada hari Jumaat, 1332 H/1913 M. Pada cetakan kitab ini terdapat puji-pujian guru beliau, Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi.

Di antara gubahan puisi (10 bait) Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang telah ditemui termaktub pada bahagian akhir karya beliau berjudul Tsimarul Khuthub al-Mahbarah al-Minbariyah.

Penutup

Masih terdapat beberapa ulama yang tidak dapat untuk dibicarakan sekaligus dalam ruangan yang terbatas ini, iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, Haji Abdullah Fahim, Sheikh Wan Ibrahim (Pak Cu Him) al-Fathani al-Qadhi dan Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani.

Oleh itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan seterusnya dengan diperkenalkan juga tokoh-tokoh kesusasteraan Arab dalam dunia Melayu Moden.

Syeikh Ismail al-Minankabawi - Penyebar al-Khalidiyah pertama

Syeikh Ismail al-Minankabawi - Penyebar al-Khalidiyah pertama
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


KEDATANGAN Syeikh Ismail al-Minankabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, Tuhfatun Nafis. Masih dalam penyelidikan awal, pada tahun 1985 saya menyusun sebuah buku berjudul, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi Penyiar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah, cetakan pertama C.V Ramadhani, Solo, Mac 1985. Buku tersebut dirujuk dan dipetik oleh ramai penulis. Tulisan saya yang sekarang merupakan hasil penelitian yang terkini, setelah menemui pelbagai karya Syeikh Ismail al-Minankabawi. Beberapa kekeliruan pada penyelidikan awal diperbetulkan dalam artikel ini. Sebelum tulisan ini saya teruskan, terlebih dulu saya perlu menyatakan bahawa saya tidak sependapat dengan tahun andaian atau tahun dugaan kewafatan Syeikh Ismail al-Minankabawi yang termaktub dalam Ensiklopedi Islam, 2 Indeks, cetakan pertama, 1994, hlm. 55-56.

Menurut Ensiklopedi Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Sanggahan saya adalah sebagai berikut, bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi jauh lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (gurunya). Kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani ada yang menyebut tahun 1133 Hijrah/ 1720 Masihi, 1153 Hijrah/1740 Masihi dan 1183 Hijrah/1769 Masihi. Yang pasti pula, sewaktu masih kanak-kanak Syeikh Ismail al-Minankabawi dibawa oleh ayahnya berpindah ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi. Ulama ini hidup dalam tahun 1196 Hijrah/1781-2 Masihi - 1265 Hijrah/ 1848 Masihi. Oleh sebab Syeikh Ismail al-Minankabawi adalah murid Syeikh Utsman ad-Dimyathi, maka tahun kelahirannya dapat kita bandingkan dengan tahun kelahiran beberapa orang murid Syeikh Utsman ad-Dimyathi yang lain, seumpama Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang lahir tahun 1232 Hijrah/1816 Masihi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, lahir tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi, dan lain-lain. Jadi jelaslah bahawa tahun 1125 Hijrah/1713 Masihi yang dinyatakan tahun kelahiran Syeikh Ismail al-Minankabawi itu adalah ditolak berdasarkan fakta sejarah. Daripada semua karya Syeikh Ismail al-Minankabawi yang ditemui, ternyata yang tercatat tahun selesai penulisan hanya sebuah saja, iaitu Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah yang diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Ini sudah cukup untuk menyanggah kenyataan bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi wafat pada tahun 1160 Hijrah/1747 Masihi itu, bahkan beliau masih hidup hingga tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Menurut tulisan Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair dalam Nasyrun Naur waz Zahar, bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi wafat melangkaui tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi.

Pendidikan

Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair meriwayatkan bahawa Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi al-Khalidi asy-Syafi'ie lahir di Minangkabau (tanpa menyebut tahun). Sejak kecil beliau mengikut ayahnya pindah ke Mekah al-Musyarrafah. Beliau belajar pelbagai ilmu kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi. Setelah ulama besar itu wafat, Syeikh Ismail Minangkabau belajar pula kepada Syeikh Ahmad ad-Dimyathi. Selain kedua-dua ulama itu, Syeikh Ismail Minangkabau juga belajar kepada ulama-ulama lain dalam Masjidil-Haram, Mekah, dan Syeikh Ismail Minangkabau sempat belajar kepada Mufti Mazhab Syafie ketika itu, iaitu Syeikh Muhammad Sa'id bin Ali asy-Syafi'ie al-Makki al-Qudsi (wafat 1260 Hijrah/1844-5 Masihi). Ulama dunia Melayu yang menjadi gurunya, yang dapat diketahui secara pasti hanyalah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Mengenai Thariqat Naqasyabandiyah al-Khalidiyah, Syeikh Ismail al-Minankabawi menerima baiah dan tawajjuh daripada Sayid Abi Abdillah bin Abdullah Afandi al-Khalidi, murid Syeikh Khalid al-'Utsmani al- Kurdi. Pada waktu yang lain, Syeikh Ismail al-Minankabawi juga menerima baiah dan tawajjuh secara langsung daripada Syeikh Khalid al-'Utsmani al-Kurdi. Dari mula nama inilah terdapat istilah al-Khalidiyah dalam Thariqat Naqasyabandi kerana Syeikh Khalid al-'Utsmani al-Kurdi adalah seorang Mujaddid (pembaharu) dalam tarekat yang sangat terkenal itu.

Tercatat dalam sejarah bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi adalah seorang ulama yang sangat kuat melakukan ibadah, selain aktif beramal dengan Thariqat Naqasyabandiyah Khalidiyah dan Thariqat Syaziliyah, beliau aktif mengajar, mengarang, tilawah al-Quran, pelbagai wirid dan zikir sama ada siang mahu pun malam sehinggalah beliau wafat di Mekah tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi. Tidak tercatat sesuatu pekerjaan yang dilakukannya sepanjang siang dan malam selain yang tersebut itu.

Penulisan

Karya Syeikh Ismail al-Minankabawi berupa kitab mahu pun

risalah, yang ditemui adalah sebagai berikut:

1. Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah, diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf, khusus mengenai rabithah secara mendalam. Kitab ini merupakan terjemahan sebuah karya murid beliau sendiri, seorang Arab yang bernama Syeikh Husein bin Ahmad ad-Dausari yang meninggal dunia dalam tahun 1242 Hijrah dalam usia hanya 39 tahun. Daripada terjemahan kitab ini, kita banyak memperoleh informasi tentang diri Syeikh Ismail al-Minankabawi. Di antara petikan kalimatnya, ``Dan adalah demikian itu, dengan mengerjakan yang dia yang amat hina Ismail ibni Abdullah, yang Syafie mazhabnya, al-Asy'ari akidahnya, yang Syazili thariqatnya, kemudian lagi Naqsyabandi al-Khalidi thariqatnya juga, yang menumpang ia atas ahli ilmi di dalam tanah haram yang Makki, yang maha mulia ia. Barang ditobatkan (oleh) Allah juga atasnya dan maaf daripada-Nya oleh Tuhannya yang amat murah, lagi amat penyayang. Dan adalah demikian itu di dalam Kampung Teluk Belanga dengan pertolongan Syah Amir yang dibesarkan dan ikutan yang dimuliakan ialah Amir Ibrahim bin al-Marhum Amir Abdur Rahman at-Tamanqum Seri Maharaja.'' Yang dimaksudkan dengan perkataan `at-Tamanqum' ialah Temenggung. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, akhir Jamadilawal 1325 Hijrah, diusahakan oleh Syeikh Abdullah al-Baz.

2. Risalah Muqaranah Sembahyang, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan niat sembahyang. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah al-Mashriyah, 1309 Hijrah. Dicetak atas zimmah Umar bin Khathib Abdus Shamad al-Jawi, Jiyad. Selanjutnya ada cetakan pertama yang dikombinasi cetak dengan Bulughul Maram karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1310 Hijrah.

3. Kifayatul Ghulam fi Bayani Arkanil Islam wa Syurutihi, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan fikah bahagian rubu' ibadat. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1340 Hijrah. Kitab ini ditashih oleh beberapa orang di antaranya, Haji Abdullah bin Ibrahim al-Qadhi (Kedah).

4. Al-Muqaddimatul Kubra allati Tafarra'at minhan Nuskhatus Shughra, tanpa tarikh. Hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305 Hijrah di Mekah oleh `Abdus Shamad Kelantan. Kandungannya membahas ilmu akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara mendalam. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Amiriyah, Bulaq, Mesir, tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah, dan di halaman akhir dinyatakan Rabiulakhir 1310 Hijrah. Di bahagian tepi dicetak kitab berjudul Muqaddimatul Mubtadin oleh pengarang yang sama. Pada halaman akhir dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah. Kitab ini ditashih Syeikh Ahmad al-Fathani.

5. Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 30 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu akidah secara mendalam. Dicetak di bahagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra.

6. Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Milaq. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan terjemahan dan syarah Qashidah al-'Arif Billah al-Qadhi Nashiruddin ibni Bintil Milaq asy-Syazili. Sebahagian besar kandungannya membicarakan Thariqat Syaziliyah. Kitab ini

termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab. Saya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah.

Kesimpulan

Sewaktu Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi wafat, beliau meninggalkan dua orang anak yang menjadi ulama, iaitu Syeikh Azhari (wafat 1303 Hijrah/1886 Masihi) dan Syeikh Muhammad Nur (1313 Hijrah/ 1895-6 Masihi). Syeikh Azhari bin Syeikh Ismail al-Minankabawi ketika wafat meninggalkan dua orang anak; Salim dan Ismail. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi pula memperoleh dua anak perempuan. Salah seorang daripadanya menjadi isteri kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari, tokoh tajdid yang sangat terkenal itu.

Kedua-dua anak Syeikh Ismail al-Minankabawi yang tersebut meneruskan aktiviti beliau, di rumah pusaka beliau yang dinamakan Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah, menjadi tumpuan atau tempat berkumpul orang-orang yang berasal dari dunia Melayu, terutama Ikhwanut Thariqah dan Kerabat Diraja Riau-Lingga. Bahawa Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah itu dibina, dimulai oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi sendiri, dan sewaktu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji ke Mekah pada tahun 1243 Hijrah/1828 Masihi, beliau menghulurkan dana wakaf yang banyak kepada Syeikh Ismail al-Minankabawi. Dana wakaf tersebut kemudian diteruskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau-Lingga, para murid beliau.

Murid Syeikh Ismail al-Minankabawi daripada golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahu pun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain.

Kesimpulan dari seluruh perbincangan bahawa Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah di dunia Melayu, dimulai oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi di Mekah, kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Upih di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.

Kiai Muhammad Ali Qaribun ulama Selangor berjiwa besar

Kiai Muhammad Ali Qaribun ulama Selangor berjiwa besar

Ulama Nusantara
(BAHAGIAN 2)

TOKOH ulama Selangor yang dibicarakan ini adalah lanjutan daripada ruangan minggu lalu iaitu mengenai Kiai Muhammad Ali Qaribun. Beliau adalah ulama yang dikenali sebagai pelopor institusi pendidikan pondok di negeri Selangor. Perbicaraan mengenai tokoh ini adalah hasil kajian Ustaz Ahmad Shukri Ghazali, yang dibentangkan pada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 22 November yang lalu, dengan judul Kiai Muhammad Ali Qaribun: Pengasas Awal Pondok di Selangor.

Pada ruangan yang lepas dibicarakan mengenai latar belakang keluarga, pendidikan dan beberapa sejarah kehidupan mengenai tokoh ini. Kesinambungan daripada itu, perkara yang akan difokuskan kali ini pula membicarakan sejarah pendirian pondok di Sijangkang serta kitab-kitab pengajian yang diajar, keperibadian dan kewafatan beliau.

Mendirikan pondok di Sijangkang

Setelah berada di Sijangkang sekitar 1917 atau sebelum dari itu, Kiai Muhammad Ali diberikan sebidang tanah untuk membangunkan pondok pesantren dengan bergotong-royong. Bermula dengan pengajian di masjid, akhirnya murid Kiai Muhammad Ali bertambah ramai di antaranya dari Batu Pahat, Johor yang mengikutinya semasa berhijrah ke Klang, kemudian dari Perak, Melaka, Selangor termasuk Sabak Bernam, Sungai Air Tawar dan seorang dari Kelantan sehingga dianggarkan kira-kira 100 orang dari seluruh Tanah Melayu.

Apabila murid beliau bertambah ramai sekitar 400 orang, pondok-pondok kecil mula didirikan sekitar kawasan masjid secara bergotong-royong. Sementara adiknya Kiai Abbas (Abdullah Kahfi) sebagai pembantu. Bermula dengan tertubuhnya pondok Kiai Haji Muhammad Ali, maka muncullah pondok-pondok lain disekitar Klang. Antaranya pondok Masyhudi di Sungai Pinang, Pondok Kiai Haji Muhammad Khalil al-Jawi (1940), Pondok Kiai Hairawi (1960) dan banyak lagi. Pondok yang terawal di Selangor ialah Pondok Kiai Haji Muhammad Ali di Sijangkang dan pondok Kiai Mashudi di Sungai Pinang, Klang.

Sejak pesantren tersebut didirikan, penuntut Kiai Haji Muhammad Ali semakin bertambah. Kebanyakan mereka tertarik dengan kewibawaan dan ketinggian ilmu Kiai Haji Muhammad Ali yang mengajar tanpa menggunakan kitab. Di antara kitab yang digunakan semasa mengajar ialah Safinatun Naja, Fathul Mu'in, Matan al-Jurumiyah, Ihya 'Ulumuddin, Khazinah al-Asrar yang diperoleh dari Singapura dan Pulau Pinang. Kebanyakan murid lama dan berpengalaman pula akan mempelajari Tafsir al-Munir karya Imam Nawawi al-Bantani dan Tafsir Jalalain pada setiap hari Jumaat pukul 10 pagi.

Di antara murid Kiai Muhammad Ali yang mahir Awamil Jurjani ialah Kiai Basri, Sijangkang, manakala di antara murid yang menghafal Matan Alfiyah adalah Kiai Yunus dan Kiai Parjo.

Murid-murid yang layak untuk mengajar biasanya akan disemak oleh Kiai Haji Muhammad Ali, setelah itu barulah dibenarkan mengajar. Beliau juga mengajar beberapa kitab lain seperti Tafsir Yasin dan ilmu hikmah seperti Mujarobat dan sebagainya.

Di antara pembantu-pembantu beliau pula ialah Kiai Bukhari dari Sungai Simon Perak, Kiai Rubai', Kiai Mansor dan Kiai Tahir. Salah seorang murid Kiai Haji Muhammad Ali yang bijak ialah Kiai Ghafur dari Temoh, Perak, merupakan seorang murid yang mahir berbahasa Inggeris. Semasa tinggal di pondok, beliau memberi tunjuk ajar kepada murid yang kurang mahir berbahasa Inggeris.

Murid-murid Kiai Muhammad Ali diberi kebebasan dalam berpakaian. Hal ini berbeza dengan pondok Kiai Hussin bin Kiai Abbas, yang tegas dan melarang murid-muridnya memakai topi dan seluar kerana menurutnya menyerupai orang-orang Barat.

Pernah terjadi satu ketika Kiai Hussin menyarankan agar Kiai Muhammad Ali mendisiplinkan murid-muridnya untuk berpakaian, akan tetapi beliau enggan memaksa. Katanya: "Asalkan menutup aurat sudah dan orang muda jangan dipaksa."

Oleh itu, dalam berpakaian Kiai Haji Muhammad Ali memberi kebebasan untuk berpakaian, sama ada hendak memakai seluar, kain atau jubah. Keterbukaan beliau untuk berpakaian menarik ramai muda-mudi untuk mengaji agama di pondok pesantrennya.

Keperibadian Kiai Muhammad Ali

Pada kebiasaannya setiap lepas solat, beliau akan masuk ke bilik suluk untuk berzikir di sebelah rumahnya dengan berjalan kaki di petak-petak batu yang berjumlah 83 biji. Jikalau ada yang mengekorinya, beliau akan berhenti dan duduk bertanya.

Pada Subuh hari Jumaat beliau sentiasa membaca surah As-Sajadah dan surah Al-Insan, meskipun usianya sudah menjangkau hampir 100 tahun. Beliau menyatakan siapa yang baca dengan ikhlas pahalanya seperti mendapat malam Lailatul Qadar.

Selepas itu beliau akan mengadakan syarahan agama berbahasa Jawa dan menasihati muridnya agar mendirikan solat, menuntut ilmu dengan ikhlas dan beramal. Apabila masuk waktu Subuh, Kiai Haji Muhammad Ali akan memukul tin-tin kecil mengelilingi pondok untuk mengejutkan muridnya.

Begitulah rutin harian yang dilalui oleh seorang tokoh ulama yang tidak pernah merasa jemu. Setelah itu beliau akan menunggu muridnya di pintu masuk dan mendenda murid-murid yang lambat solat Subuh.

Kiai Haji Muhammad Ali adalah seorang yang mahir ilmu falak. Semasa beliau berhijrah dari Tanah Jawa ke Tanah Melayu, beliau akan berpandukan ilmu falak untuk menentukan arah kiblat dan waktu solat, begitu juga semasa di dalam hutan dan pelayaran.

Setiap kali beliau melangkah masuk ke dalam masjid, pasti tepat dengan laungan azan. Beliau pernah berpuasa terlebih dahulu daripada orang lain. Pernah satu ketika Pejabat Agama Islam Selangor mengunjungi beliau dan bertanya: "Mengapa berpuasa terlebih dahulu?" Lalu beliau menjawab: "Ini mengikut kiraan hisab, dan beliau juga berkata pada waktu sekian, jam sekian, di tempat sekian, sila lihat anak bulan Syawal. Akhirnya firasat beliau benar sehingga dicalonkan sebagai mufti, tetapi beliau menolaknya.

Keperibadian beliau pula adalah seorang yang sentiasa berjubah, bertongkat dan berserban. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan agak sedikit gempal dan kelihatan sihat. Meskipun sudah terlalu tua tetapi giginya masih elok dan matanya masih terang.

Beliau banyak bermujahadah, bersuluk, berzikir, bertahajud, berpuasa mutih (berbuka dan bersahur hanya dengan sekepal nasi putih dan secawan air putih). Apabila beliau membuang air besar, najisnya sangat kecil seumpama sebutir kurma lalu dibersihkan oleh anak muridnya.

Begitulah penghormatan yang diberikan oleh murid-muridnya sebagai seorang yang tinggi darjatnya, bertaraf wali Allah. Hal-hal yang sedemikian menyebabkan ramai murid beliau tidak berpindah guru lain sehinggalah pemergian beliau.

Kiai Haji Muhammad Ali mengajar hampir 50 kitab dan senarai kitab tersebut diperoleh daripada murid beliau Kiai Haji Muhammad Dahlan, berdasarkan dhabit dan catatan. Ada sebahagian kitab diajar secara berkumpulan atau beramai-ramai yang disebut orang Jawa sebagai bandungan, iaitu guru membacakan dan menjelaskan isi kitab yang dikaji manakala murid mendengarkannya.

Terdapat juga sebahagian kitab hanya didengar oleh Kiai Haji Muhammad Ali melalui pembacaan muridnya. Kitab-kitab yang tertinggi hanya dikhususkan untuk murid-murid yang mahir sahaja. Pengajian asas akan diajar secara berkumpulan sehingga khatam, sementara pengajian khusus untuk murid yang ingin mendalami ilmu dengan lebih meluas.

Kewafatan

Setelah hampir 40 tahun menabur bakti di negeri Selangor, Kiai Muhammad Ali ditakdirkan kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, bertarikh 28 Januari 1955 bersamaan 5 Jamadilakhir 1374H sebagaimana yang tercatat pada batu nisannya.

Sebelum wafatnya, beliau berwasiat agar dimakamkan bersebelahan mimbar Masjid Sijangkang bersama isterinya.

Murid-murid beliau juga memohon agar jenazahnya dimakamkan di tempat yang sama. Maka permintaan tersebut diperkenankan oleh Sultan Selangor sebagai mengenang jasanya yang gigih mendirikan pondok pesantren. Kewafatan beliau disiarkan di corong radio sebagai mengenang seorang ulama yang sangat gigih berjuang dalam agama dan mendidik anak bangsa.

PETIKAN PENTING KITAB "AL-AJWIBAH AL-MARDHIAH LI RADD 'ALA FITNAH AL-LISANIYYAH"

WASIAT LISAN AL-MARHUM TUAN GURU IMAM ISHAK UNTUK AL-MARHUM IMAM HAJI SANI DI AKHIR TAHUN 1990.

Adalah nyata salahnya sesiapa juga yang beranggapan bahawa keizinan atau kebenaran yang diberikan oleh al-Marhum Tuan Guru Imam Haji Ishak kepada khalifahnya untuk membawa suluk hanya menerusi SURAT WASIAT yang telah dipaparkan di atas sahaja. Sebabnya di samping surat wasiat tersebut, adanya WASIAT SECARA LISAN telah dibuat oleh al-marhum Tuan Guru Imam Haji Ishak. AM seharusnya mengambil perhatian berat dan janganlah beliau mengabaikan perkara tersebut demi kebenaran ilmiah dan kebenaran ilmu serta amalan tarekat.

Rata-rata para khalifah dan murid al-marhum Tuan Guru Imam Hj. Ishak tidak tahu adanya WASIAT LISAN (Ini termasuk AM lebih-lebih lagi), sebab WASIAT LISAN didengar hanya oleh beberapa orang khalifah atau murid sahaja. Biasanya WASIAT LISAN tidak dihebahkan secara terbuka oleh al-marhum Tuan Guru Imam Ishak. Mereka yang mendengar pun tidak akan gatal mulut untuk bercakap mengenainya, walaupun tidak ada larangan untuk berbuat demikian. Bagaimanapun kadang-kadang ,pada masa-masa yang sesuai mereka akan bercakap mengenainya.

Al-marhum Tuan Guru Imam Ishak pada akhir tahun 1990 telah membuat WASIAT LISAN yang membenarkan atau mengizinkan al-marhum Imam Haji Sani untuk membawa suluk sendiri. Antara lain al-marhum Tuan Guru berkata:

"....Imam Sani, mulai sekarang buatlah suluk. Saya izinkan awak buat suluk. Buat lah rumah suluk di mana-mana tempat yang awak suka...."
WASIAT LISAN tersebut dibuat oleh al-marhum Tuan Guru ketika makan tengahari dalam masa bersuluk yang diadakan pada akhir tahun 1990. Hari dan tarikh tepatnya penulis sendiri sudah lupa. Wasiat tersebuat didengar sendiri oleh al-marhum Tengku Mustafa, al-marhum Nan, penulis serta seorang dua yang lain yang penulis tidak ingat nama mereka.

Bagaimanakah sikap dan pandangan Tengku Mustafa terhadap al-marhum Imam Haji Sani? Bagaimana pula pandangan beliau terhadap WASIAT LISAN tersebut?

Jawapannya,al-marhum Tengku Mustafa sangat menyanjungi dan menghormati al-marhum Imam Haji Sani kerana telah menerima wasiat yang sangat berharga dan bermakna tersebut. Wasiat tersebut juga tetap menjadi pegangan al-marhum Tengku Mustafa walaupun setelah kewafatan al-marhum Tuan Guru Imam Haji Ishak.

Malahan, pegangan dan pandangan al-marhum Tengku Mustafa terus kukuh dan tidak berubah, setelah beliau dapati nama al-marhum Imam Haji Sani diletakkan dalam senarai khalifah yang perlu dilatih-latih untuk membawa suluk seperti yang terpapar dalam surat wasiat tersebut . Ini menunjukkan bahawa al-marhum Tengku Mustafa dapat memahami dan menilai kedua-dua wasiat dalam SURAT WASIAT dan WASIAT LISAN.

Jelas sekali al-marhum Tengku Mustafa berpegang kepada ilmu dan kefahamannya yang benar bahawa WASIAT LISAN yang dibuat ada akhir tahun 1990 itu yang berkuat kuasa dan menggantikan apa yang terdapat dalam SURAT WASIAT yang bertarikh 18 April 1988. Dengan itu, kedudukan Imam Haji Sani telah bertukar dari khalifah yang mesti dilatih-latih untuk membawa suluk kepada khalifah yang layak membawa suluk. Sebab keizinan telah diberikan secara lisan oleh al-Marhum Tuan Guru Imam Haji Ishak.


WASIAT LISAN AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HAJI ISHAK YANG PERTAMA UNTUK PENULIS PADA 15 MAC 1991

Keizinan yang dibuat oleh al-marhumTuan Guru Imam Haji Ishak untuk penulis membawa amalan suluk atau khalwat berlaku dua kali. Kedua-dua kali menerusi Wasiat Lisan. Kedua-dua wasiat lisan tersebut tidak pernah terlintas apatah lagi terbayang dalam cermin dan ingatan AM.

Wasiat lisan kali pertama berlaku pada 15 Mac 1991 iaitu semasa perasmian Madrasah Babul Khayrat, Jalan Suka , Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru. (Tarikh tersebut penulis dapati secara pasti kerana tercetak di dalam gambar yang diambil pada masa pembukaan madrasah tersebut).

Wasiat lisan kali pertama , diluahkan oleh al-marhum Tuan Guru secara khusus kepada Tuan Haji Rosdi ,selaku pewaris lelaki kepada keluarga al-marhum Tuan Haji Abdul Kadir yang mewakafkan tanah dan madrasah yang dibina. Antara lain al-marhum Tuan Guru berkata:

"Rosdi andaikata saya sudah tiada , maka saya berpesan kepada awak angkatlah salah seorang daripada murid saya yang berasal dari Batu Pahat untuk memimpin dan menjalankan suluk di surau ini, kerana guru saya juga berasal dari Batu Pahat. Saya kira awak faham siapa yang saya maksudkan...."

Bagi tujuan menerangkan WASIAT LISAN tersebut sejelas-jelasnya dan untuk mengabadikan perjalanan, warna dan corak sejarah Madrasah Babul Khayrat yang juga mengabadikan jalinan sejarah hidup al-marhum Tuan Guru, maka sangat eloklah jika kita catitkan sedikit latar belakang perasmiannya. Madrasah Babul Khayrat telah siap dibina pada akhir tahun 1990. Perasmian pembukaannya telah ditangguhkan disebabkan kesihatan al-marhum Tuan Guru tidak mengizinkan. Pada awal bulan Mac 1991, keadaan kesihatan al-marhum Tuan Guru beransur pulih dan Tuan Guru boleh bergerak dan berjalan dengan cergas kerana itu, al-marhum menetapkan tarkh perasmian Madrasah Babul Khayrat iaitu pada 15 Mac 1991.

Untuk menjaga kesihatan al-marhum Tuan Guru, maka al-marhum menaiki kapal terbang MAS dari terminal 3 Subang ke Lapangan Terbang Senai Johor Bahru dengan ditemani oleh al-marhum Nan. Majlis perasmian dibuat pada waktu malam selepas solat maghrib . Majlis diisi dengan program syarahan yang dibuat oleh al-marhum Tuan Guru diikuti syarahan yang dibuat oleh penulis sendiri. Selepas itu, sembahyang Isya' dan bertawajuh seperti biasa . Selepas tawajjuh semua jamaah keluar daripada madrasah untuk menikmati jamuan makan di rumah keluarga Tuan Haji Rasdi yang terletak bersebelahan dengan madrasah. Para hadirin lelaki dan perempuan kira-kira 70 hingga 80 orang.

Tuan Haji Rasdi telah memimpin Tuan Guru Imam Ishak berjalan menuju ke rumah tersebut. Semasa berjalan menuju ke rumah tersebut ketika itulah Tuan Guru Imam Ishak melafazkan wasiatnya untuk penulis yang sangat penting itu. Di sini eloklah kita sebutkan sekali lagi wasiat yang telah disebutkan di atas:

"Rosdi andaikata saya sudah tiada , maka saya berpesan kepada awak angkatlah salah seorang daripada murid saya yang berasal dari Batu Pahat untuk memimpin dan menjalankan suluk di surau ini, kerana guru saya juga berasal dari Batu Pahat. Saya kira awak faham siapa yang saya maksudkan...."

Selepas jamuan selesai dan setelah siap dikemaskan dan dibersihkan pinggan mangkuk dibasuh, Tuan Haji Rasdi segera menceritakan wasiat al-marhum Tuan Guru tersebut kepada anggota keluarganya, terutama kepada ibu dan kakaknya. Tujuan Tuan Haji Rasdi berbuat demikian adalah supaya wasiat tersebut diambil perhatian oleh pihak keluarganya.

PELANTIKAN SECARA RASMI PENULIS SEBAGAI PENGERUSI MADRASAH BABUL KHAYRAT OLEH AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HAJI ISHAK

Beberapa minggu selepas perasmian Madrasah Babul Khayrat berlaku sedikit kekecohan dan masalah di Madrasah Babul Khayrat .Antara masalah kecil tetapi tidak dapat diselesaikan oleh Pengerusi sementara madrasah tersebut ialah masalah yang berkaitan dengan bekalan air. Bekalan air tidak dapat dibuat oleh Jabatan Bekalan Air Johor Bahru disebabkan status bangunan tersebut tidak jelas. Berikutan dengan masalah tersebut akhirnya al-marhumTuan Guru Imam Ishak melantik penulis sebagai Pengerusi Tetap walaupun pada masa itu penulis tinggal di Kuala Lumpur.

Setelah dilantik menjadi pengerusi , maka penulis telah menemui kadi daerah Johor Bahru iaitu Ustaz Haji Murshid untuk mendapatkan nasihat berhubung Madrasah Babul Khayrat . Dipendekkan cerita akhirnya beliau menasihatkan supaya bangunan tersebut didaftarkan atas nama madrasah dan bukannya surau. Tujuannya ialah supaya tidak terikat dengan Enekmen Masjid dan Surau Negeri Johor. Sesudah berjaya didaftarkan atas nama Madrasah dan diterima surat pendaftaran daripada kadi tersebut penulis mendapati barulah bekalan air dimasukkan dengan mudah.

Pelantikan penulis secara rasmi sebagai Pengerusi Madrasah Babul Khayrat oleh Tuan Guru dapat meyakinkan Tuan Haji Rasdi dan keluarganya bahawa muridnya yang diwasiatkan untuk menerima Madrasah Babul Khayrat ialah penulis dan bukannya muridnya yang lain. Pelantikan tersebut seolah-olah satu langkah di hadapan untuk merealisasikan kedudukan penulis sebagai orang yang bakal membawa amalan suluk di Babul Khayrat . Perlu diingatkan di sini pelantikan tersebut disambut baik dan sangat-sangat dialukan oleh semua jawatankuasa kecuali pengerusi sementara yang kurang senang hati . Alasannya penulis di Kuala Lumpur dan bukannya di Johor Bahru.

WASIAT LISAN AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HAJI ISHAK YANG KEDUA UNTUK PENULIS DI AKHIR BULAN OKTOBER 1991

KEIZINAN kali kedua yang dibuat oleh Tuan Guru Imam Haji Ishak untuk penulis membawa amalan suluk atau khalwat berlaku ketika bersuluk yang diadakan pada pertengahan bulan Oktober 1991. Dalam masa suluk tersebut, selepas makan malam al-marhum Tuan Guru Imam Ishak telah menyebutkan dengan katanya:

"Suluk kali pertama di Johor , biarlah Ustaz Jahid yang membawa suluk dan yang lain-lain itu membantunya...."

Wasiat Imam Ishak tersebut didengari oleh beberapa orang khalifah antara yang pentingnya ialah al-marhum Tengku Mustafa ,al-marhum Nan dan penulis sendiri. Bila penulis mendengar wasiat al-marhum Tuan Guru tersebut penulis merasa serba tidak kena kerana memikirkan ramai lagi khalifah-khalifah kanan. Oleh sebab itu maka beberapa kali penulis berbincang dengan al-marhum Tengku Mustafa dan al-marhum Nan. Dalam perbincangan beberapa kali kedua-dua Tengku Mustafa dan Nan menegaskan dengan kata mereka:

"Ustaz, arahan itu kalam guru kita, ustaz tak usahlah bimbang buat sahajalah arahan guru...."

Begitulah kata-kata galakan daripada al-marhum Tengku Mustafa dan al-marhum Nan.

Suluk yang pertama di Madrasah Babul Khayrat diadakan pada bulan Disember 1991. Sehari sebelum suluk dijalankan di Johor Bahru penulis pergi ke surau Ihya' Al-Qulub Jeram Bangkin untuk membawa suluk dan bersuluk. pada masa itu, Tuan Guru Haji Imam Ishak sedang sakit. Bagaimanapun beliau masih boleh duduk dan bercakap dengan baik. Dalam pertemuan penulis dengan Tuan Guru, Tuan Guru telah membuat perubahan pada wasiatnya. Tuan Guru antara lain menyatakan:

"Suluk kali yang pertama ini biarlah yang tua (Tengku Mustafa) membawa suluk dan ustaz menjadi imam sembahyang dari awal hingga akhir suluk . Suluk yang kedua nanti dan seterusnya ustazlah yang membawa suluk...."

Apabila penulis sampai di Madrasah Babul Khayrat Johor Bahru al-marhum Tengku Mustafa dan al-marhum Nan segera memanggil penulis masuk ke bilik .Kedua-duanya segera menyatakan perubahan wasiat telah dibuat oleh al-marhum Tuan Guru. Al-marhum Tengku Mustafa antara lain berkata:

"Ustaz,ini ada satu perubahan. Hari itu Tuan Guru menyuruh ustaz membawa suluk, tetapi sebelum kami bertolak ke mari , Tuan Guru berpesan supaya suluk kali pertama ini ,biarlah yang tua iaitu saya membawa suluk dan ustaz menjadi imam dari awal hingga akhir .....nanti suluk kedua dan seterusnya Tuan Guru kata ustazlah yang bawa suluk....."

Setelah penulis mendengar kata-kata Tengku Mustafa tersebut penulis segera berkata:

"Saya pun telah dapat tahu sebab semalam saya telah menemui Tuan Guru dan Tuan Guru menyebutkan perkara yang sama alhamdulillah......"

Dengan wasiat al-marhum Tuan Guru maka suluk yang pertama penulis menjadi imam dari awal hingga akhir seperti yang dikehendaki dan al-marhum Tengku Mustafa membawa suluk . Perlu diingatkan di sini bahwa kedua-dua al-marhum Tengku Mustafa dan al-marhum Nan mengucapkan tahniah kepada penulis terhadap wasiat tersebut dalam suasana harmoni dan sukacita.

Peringatan Penting: Wasiat lisan kali kedua ini hanya diketahui oleh Penulis, al-marhum Tengku Mustafa dan al-marhum Nan dan beberapa orang khalifah sahaja. Kira-kira 3 bulan selepas wasiat tersebut, Tuan Guru meninggal dunia. Faktor masa yang singkat antara wasiat dan kewafatan Tuan Guru Imam Hj. Ishak inilah yang menyebabkan wasiat ini belum tersebar luas.

KEYAKINAN DAN KETEGUHAN PENULIS DALAM MENJAGA BERBAGAI SYARIAT DAN ADAB DI DALAM TAREKAT

Bila penulis mengenangkan perbuatan fitnah AM yang tidak ada penghujungnya , walaupun sudah beberapa tahun dilakukannya, maka penulis teringat mungkin AM dan sesiapa sahaja sealiran dengannya meyangka bahawa penulis adalah jahil mengenai syarat dan adab dalam tarekat. Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan kepada penulis ilmu dan kefahaman mengenai berbagai syarat dan adab dalam tarekat .Berpuluh-puluh kitab penulis telah baca dan fahami. Tidakkah penulis yang menjadi penyelia AM sehingga dia berjaya meraih ijazah tersebut? Kalau penulis jahil tentang syarat dan adab tarekat, Bagaimana AM boleh berjaya menulis thesisnya yang berkait dengan adab salik dalam Tarekat Naqsyabandi al-Khalidi . Tidak tahulah kalau dia menganggap gurunya ini jahil , tidak tahu apa-apa dan thesis itu disusun dengan bijak pandainya sendiri. Tegasnya, penulis seolah-olah penyelia tidur (sleeping supervisor)

Thesis PhD penulis yang berjudul "Syeikh Dalam Tarekat" adalah satu bukti lain penulis tidak jahil mengenai berbagai syarat dan adab dalam tarekat. Penulis tahu syarat-syarat seorang menjadi syeikh . Dalam thesis penulis, ada senarai dengan berbagai syarat dan adab seorang syeikh .Malahan penulis ada diterangkan cara-cara atau kaedah seorang Syeikh itu dilantik.

Salah satu syarat penting bagi seseorang menjadi syeikh ialah mesti ada keizinanan daripada syeikhnya

"Syarat ketujuh ,syeikh itu mestilah mendapatkan izin dari syeikhnya untuk menyebarkan, mengajarkan, membai'ahkan , mentarbiah ilmu tarekat kepada orang lain" (lihat Sheikh Dalam Tarekat H.115)

Oleh yang demikian, jika keizinan membawa amalan suluk daripada al-marhum Tuan Guru Imam Ishak kepada mana-mana khalifahnya selepas kewafatannya hanya terdapat dalam surat wasiat yang dipaparkan di atas sahaja maka sudah tentu penulis tidak berani membawa amalan suluk tersebut,. Soalan; Mengapa penulis berani membawa suluk selama berbelas tahun yang meliputi 40 kali suluk? Ini jika dikira dengan suluk yang terakhir telah dilakukan pada 3-13 September 2009. Adakah AM beranggapan penulis buat suluk tanpa izin Tuan Guru Imam Ishak? Betul anggapan AM itu dan boleh dipuji, tapi sayangnya AM hanya berpegang kepada surat wasiat , jahil tentang wasiat Tuan Guru Imam Ishak seperti yang telah dipaparkan.

Kesimpulannya, penulis membawa suluk berbelas tahun kerana telah mendapat keizinan lisan al-marhum Tuan Guru Imam Ishak . Penulis ingatkan AM ingat-ingatlah selalu ayat Surah al-Hujurat :

"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita ,maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini . Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan".


AL-MARHUM TENGKU MUSTAFA MENDENGAR DAN MENGAKUI WASIAT LISAN AL-MARHUM TUAN GURU IMAM ISHAK

Al-marhum Tengku Mustafa sememangnya tahu kedua-dua wasiat lisan al-marhum Imam Ishak yang telah dipaparkan di atas. Beliau sebagaimana khalifah dan murid yang lain tahu dengan jelas penulis telah dilantik secara rasmi oleh al-marhum Tuan Guru Imam Ishak sebagai Pengerusi Madrasah Babul Khayrat adalah langkah permulaan yang dibuat oleh al-marhum Tuan Guru yang mengandungi isyarat bahawa madrasah tersebut bakal diserahkan kepada penulis.

Isyarat yang jelas tesebut menjelma dalam ibarat kata-kata Al-Marhum Tuan Guru kepada Tuan Haji Rasdi pada 15 Mac 1991 ketika perasmian pembukaan madrasah Babul Khayrat . Kata-kata al-marhum Tuan Guru telahpun disebutkan di atas. Antara lain al-marhum Tuan Guru berkata:

"Rosdi andaikata saya sudah tiada , maka saya berpesan kepada awak angkatlah salah seorang daripada murid saya yang berasal dari Batu Pahat untuk memimpin dan menjalankan suluk di surau ini, kerana guru saya juga berasal dari Batu Pahat. Saya kira awak faham siapa yang saya maksudkan...."

Di atas tadi telah diterangkan bahawa al-marhum Tengku Mustafa adalah antara khalifah kanan yang mendengar dengan jelas wasiat lisan kedua yang telah dibuat oleh al-marhum Tuan Guru Haji Imam Ishak . Wasiat lisan kedua adalah mengenai suluk pertama yang yang diadakan pada akhir tahun 1991 . Di sini penulis mengulangi sekali lagi kata-kata al-marhum Tuan Guru haji Imam Ishak dalam wasiatnya itu. Al-marhum menyebutkan:

"......suluk yang pertama akan datang ini Ustaz Jahidlah yang membawa suluk......"

Al-marhum Tengku Mustafa adalah khalifah yang memberikan dorongan semangat kepada penulis ketika itu, apabila penulis meluahkan berbagai kekurangan dan kelemahan diri untuk memikul tugas yang berat dan tidak pernah penulis memikulnya. Al-Marhum Tengku Mustafa antara lain berkata:

".....itu semua kalam guru ,ustaz, buat sajalah apa yang Tuan Guru kita suruh. Jangan bimbang jangan ragu....."
Suluk pertama diadakan pada akhir tahun 1991 iaitu dalam bulan Disember. Pada masa itu al-marhum Tuan Guru masih hidup tetapi kesihatannya bertambah merosot. Oleh kerana itulah al-marhum Tuan Guru Imam Ishak memerintahkan penulis supaya membawa suluk sebagai wakil kepada al-marhum . Oleh kerana perintah itu begitu jelas maka penulis berazam untuk membawa suluk sebagaimana yang diperintahkan. Walaubagaimanapun tiba-tiba satu perubahan yag dibuat oleh Tuan Guru.

Pada waktu sebelah pagi di hari suluk bermula, penulis menemui al-marhum Tengku Mustafa di biliknya. Bila penulis membuka itu, penulis mendapati al-marhum Nan ada dalam bilik Tengku Mustafa. Sesudah penulis duduk al-marhum Tengku Mustafa berkata:

" ....Ustaz, ini ada sedikit perubahan. Hari itu Tuan Guru suruh ustaz bawa suluk. Sebelum kami bertolak ke Johor Bahru, Tuan Guru kita buat arahan baru yang merubah sediki arahannya yang lepas . Tuan Guru arahkan supaya saya yang membawa suluk dan ustaz menjadi imam dari awal hingga akhir suluk. Selepas suluk pertama ini, dan seterusya maka ustazlah yang membawa suluk".

Jadi, al-marhum Tengku Mustafa memang mendengar, memang tahu dan memang faham arahan Tuan Guru yang tersebut. Dalam hubungan arahan di atas, al-marhum Tengku Mustafa ada membuat sedikit ulasan yang diucapkan di hadapan penulis. Antara lain beliau berkata:

"...Ustaz, arahan Tuan Guru ini saya fikir untuk menambahkan keyakinan kepada Ustaz. Jadi Imam, Ustaz memang dah biasa, tidak ada masalah. Jadi Imam dalam masa bersuluk sama saja dengan jadi imam di luar suluk. Ustaz jadi imam kali ini saya fikir ada keistimewaannya sedikit. Saya fikir Ustaz jadi imam ini adalah sebagai anak tangga untuk ustaz bawa suluk nanti. Sebab, suluk kedua nanti di surau ini Ustaz yang membawanya..."

MASALAH TASAWWUF DAN AHLI SUFI

Disadur daripada:
Kitab Masalah Agama Siri 3
Karangan Kiyai Haji Sirajuddin Abbas


Ilmu Tasawwuf adalah salah satu cabang dari ilmu-ilmu Islam yang utama, iaitu Ilmu Tauhid (Usuluddin), Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawwuf.

Ilmu Tauhid bertugas membahas soal-soal I'tiqad, seperti I'tiqad mengenai ketuhanan, kerasulan, hari akhirat dan lain-lain lagi.

Ilmu Feqah bertugas membahas soal-soal ibadat lahir, seperti sembahyang, puasa, zakat, naik haji dan lain-lain.

Ilmu Tasawwuf bertugas membahas soal-soal yangbertalian dengan akhlak dan budi pekerti, bertalian dengan hati, iaitu cara-cara Ikhlas, khusyuk, tawadduk, muraqabah, mujahadah, sabar, redha, tawakkal dan lain-lain yang bertalian dengan hati.

Ringkasnya: Tauhid takluk kepada i'tiqad, Feqah takluk kepada amal ibadah, dan Tasawwuf takluk kepada akhlak, iaitu amalan hati.

Kepada setiap orang Islam dianjurkan supaya beri'tiqad sebagaimana yang diatur dalam Ilmu Tauhid, supaya beribadat sebagaimana diatur dalam Ilmu Feqah, dan supaya berakhlak sesuai dengan Ilmu Tasawwuf.

Sepanjang sejarah, dalam Ilmu Tauhid (Usuluddin) telah muncul ulama'-ulama' besar, seperti:

  1. Shaikh Abu Hassan al-Asyaari (wafat 324 H)
  2. Shaikh Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H)
  3. Shaikh al-Baqalani (wafat 403 H)
  4. Shaikh al-Asfarini (wafat 406 H)
  5. Shaikh al-Qusyairi (wafat 465 H)
  6. Shaikh al-Juwaini (Imam al-Haramain, wafat 460 H)
    Dan lain-lain

Dalam Ilmu Feqah telah muncul ulama'-ulama' besar, seperti:

  1. Imam Hanafi (wafat 150 H)
  2. Imam Maliki (wafat 179 H)
  3. Imam Syafie (wafat 205 H)
  4. Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 H)
  5. Imam al-Juwaini (wafat 460 H)
  6. Imam Nawawi (wafat 676 H)
  7. Imam al-Ramli (wafat 1004 H)
  8. Imam Ibnu Hajar al-Haitimi (wafat 974 H)
  9. Imam Khatib Syarbini (wafat 977 H)
  10. Syeikh Zakaria al-Ansori (wafat 926 H)
    Dan lain-lain.

Dalam Ilmu Tasawwuf telah muncul ulama'-ulama' besar, seperti:

  1. Shaikh Hassan Basri (wafat 110 H)
  2. Shaikhah Rabiatul Adawiah (wafat 135 H)
  3. Shaikh Sufian al-Thauri (wafat 161 H)
  4. Shaikh Ibrahim bin Adham (wafat 161 H)
  5. Shaikh Shaqiq al-Balkhi (wafat 195 H)
  6. Shaikh Maaruf al-Kharkhi (wafat 200 H)
  7. Shaikh al-Sirri al-Siqti (wafat 257 H)
  8. Shaikh Dzun al-Nun al-Misri (wafat 245 H)
  9. Shaikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H)
  10. Shaikh Abu Yazid al-Bustami (wafat H)
  11. Shaikh Abu Talib al-Makki (wafat 386 H)
  12. Shaikh al-Qusyairi (wafat 465 H)
  13. Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (wafat 505 H)
    Dan lain-lain.

Mereka inilah di antaranya ulama'-ulama' yang mengodak, merumuskan, dan langsung membukukan ilmu-ilmu dalam babnya masing-masing, iaitu dalam Usuluddin, Feqah dan Tasawwuf, sehingga kita sekarang dapat menikmati usaha mereka itu dengan membaca kitab-kitabnya dan mempelajari pendapat-pendapatnya dalam pelbagai kitab yang terbit kemudian.

Sesudah masa abad mereka ini, muncullah berpuluh-puluh dan bahkan sampai beratus-ratus ulama' Islam yang mengikuti jejak mereka itu dengan mengarang buku-buku dan kitab-kitab yang bertalian dengan ilmu Usuluddin, Feqah dan Tasawwuf yang sampai waktu sekarang kita pelajari dan kita nikmati serta kita ikuti.

Sebagai yang kami huraikan di atas bahawa sasaran ajaran Tasawwuf ialah akhlak dan budi pekerti yang baik berdasarkan kasih cinta kepada Tuhan.

Kerana itu ajaran tasawwuf terdapat dalam hampir setiap agama, seperti dalam agama Buddha, agama Yahudi, agama Kristian dan lain-lain agama kerana tujuan dari agama-agama itu mulanya adalah akhlak yang baik, budi pekerti yang luhur berdasarkan cinta kasih kepada Tuhan.

Oleh kerana itu andaikata terdapat persamaan ajaran antara Buddha atau Kristian dalam soal tasawwuf dengan Islam, maka janganlah cepat-cepat diambil kesimpulan bahawa tasawwuf itu diambil dari agama Buddha atau Kristian.

Seorang ulama' wanita ahli tasawwuf yang besar, Rabiatul Adawiyyah (wafat 135 H) mendasarkan tasawwuf pada "KASIH" dan "CINTA" berdasarkan "HUBB". Tetapi beliau bukan mengambil kasih dan cinta itu daripada ajaran agama Kristian, sebab menurut sejarah Islam Rabiatul Adawiyah tidak dikenal pernah belajar kepada orang-orang Kristian.

HUBB atau CINTAnya Rabiatul Adawiyah berdasarkan Islam, bersumberkan Quran dan Hadith, dan "HUBB" yang ada di dalam ajaran Kristian tentu berdasarkan ajaran-ajaran al-Masih.

Sama juga hal keadaannya dalam Ilmu Tauhid dan Feqah, maka di dalam Ilmu Tasawwuf terdapat kitab-kitab yang menerangkan secara gembeling akan Ilmu Tasawwuf itu dan sangkut pautnya dengan al-Quran dan Hadith, dengan ama-amal sahabat nabi, tabien dan tabi at-tabien.

Kitab-kitab itu tersiar luas di seluruh pelusuk dunia Islam, di antaranya:

  1. Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali
  2. Mau'zah al-Mukminin Muhtasar Ihya' Ulumuddin karangan al-Qasimi
  3. Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin (Terjemahan Mau'zah al-Mukminin), Bahasa Indonesia - huruf latin, terjemahan Muhammad Abdul al-Rathmi
  4. Risalah al-Qusyairiah karangan al-Qusyairi
  5. Tazkirah al-Qurtubi karangan al-Sya'arani
  6. al-Hikam karangan Ibnu 'Ata'illah
  7. Kitab al-Arbain karangan al-Ghazali
  8. Mikraj as-Salikin karangan al-Ghazali
  9. Minhaj al-'Arifin karangan al-Ghazali
  10. Minhaj al-'Abidin karangan al-Ghazali
    Dan lain-lain.

Kitab-kitab ini menghuraikan dan menggali Ilmu Tasawwuf sedalam-dalamnya dari al-Quran dan Hadith sehingga Ilmu itu menjadi terang benderang, dapat dijadikan seluruh dan pedoman dalam menggamalkan tasawwuf dengan cara yang benar.
Oleh kerana itu sekelian umat Islam yang berfaham Ahli Sunnah wal Jamaah dalam i'tiqad dan menganut mazhab yang empat dalam syariat dan ibadat, mengamalkan ajaran tasawwuf dan berpegang teguh kepada pengajian-pengajiannya.

Dan untuk melengkapi pengajian-pengajian tasawwuf, ahli-ahli sufi mengadakan istilah-istilah yang terkenal dalam Ilmu Tasawwuf, sama juga halnya dengan ulama'-ulama' Feqah mengadakan istilah-istilah yang bertalian dengan Ilmu Feqah. memang, setiap ilmu mempunyai istilah-istilah yang sendiri.

Alhamdulillah, setahu kita Umat Islam di seluruh dunia terutamanya di nusantara ini (Indonesia dan Malaysia), ulama'-ulama'nya mengamalkan sebaik-baiknya ajaran tasawwuf itu. Mereka khusyuk dan tawadduk kepada tuhan, Mujahadah dan Muraqabah, Sabar dan Tawakkal, mereka menjauhi urusan duniawi yang berlebih-lebihan, mereka tidak mengejar ketingggian pangkat duniawi, mereka baik dan jujur, dan lain-lain sifat yang baik yang diajarkan dalam Ilmu Tasawwuf.

Ensiklopedia Nusantara: Ma’arij al-Lahfan hujah Tarikat Naqsyabandiyah

Ensiklopedia Nusantara: Ma’arij al-Lahfan hujah Tarikat Naqsyabandiyah
Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah


PERKEMBANGAN Islam di dunia Melayu dicatatkan dimulai pengikut sufi. Ilmu tasawuf dinamakan ilmu batin penulisan awalnya pada peringkat dunia Melayu dimulai zaman kebesaran kerajaan Aceh oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri.

Padam zaman itu, berkembang pula pelbagai ilmu Islam. Ilmu lain diistilahkan sebagai ilmu bercorak zahir.

Ketika Syeikh Hamzah al-Fansuri meninggal dunia, muncul sanggahan oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri terhadap penulisan Syeikh Hamzah al-Fansuri. Sejak zaman itu hingga sekarang, muncul perbahasan ulama dunia Melayu terhadap tulisan kedua-dua ulama di Aceh itu.

Antara ulama dunia Melayu dari Terengganu yang membahas persoalan pemikiran zahir dan batin ialah Saiyid Abdur Rahman Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali panggilan Tok Ku Paloh.

Beliau adalah guru dan penasihat Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III. Karangan beliau yang membahas persoalan zahir dan batin menurut pemikiran dan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah diberi judul agak panjang, ‘Ma'arij al-Lahfan li at-Taraqqi ila Haqaiq al-'Irfan’.

Judul terjemah bahasa Melayu menurut Tok ku Paloh sendiri ialah ‘Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Naik Kepada Martabat Kepada Haqiqat Ma'rifat’. Kitab khazanah Melayu bernilai tinggi ini saya peroleh daripada Muhammad Zaidi Abdullah berasal daripada Datuk Abdul Aziz @ Ambak Ismail dari Terengganu. Kitab Ma'arij al-Lahfan itu tidak lengkap, dapat disemak mulai halaman kulit, halaman satu hingga 100, halaman 200 hingga 317. Bererti halaman 101 hingga 199 hilang.

Halaman akhir juga tidak ada. Saya tidak pasti sama ada Ma'arij al-Lahfan sempat diselesaikan Tok Ku Paloh atau tidak. Pada halaman kulit, tercatat bahasa Arab maksudnya memperkenalkan judul, tahun penulisan iaitu 1300 Hijrah dan nama Saiyid Abdur Rahman Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus.

Di antara kesimpulan perkataan hikmah daripada mukadimah antaranya: “Manusia elok kejadiannya, kemuliannya terletak pada tauhidnya.” Saya berkesimpulan manusia walau bagaimana kebesaran, kekayaan dan kemuliaannya, selagi mereka tidak bertauhid kepada Allah, tidak beerti apa-apa.

Menurut Tok Ku Paloh, pada zamannya kebanyakan manusia jahil mendapat petunjuk sebenar. Petunjuk sebenar itu ialah mengikut al-Quran dan hadis serta tafsiran jumhur ulama muktabar.

Dalam konteks al-Quran dan hadis, banyak beliau sebut lafaz Arab, beliau terjemah ke bahasa Melayu dan beliau tafsirkan. Penafsiran mulai cara biasa termasuklah penafsiran menurut ulama sufi.

Banyak perkara yang beliau bahas, tetapi saya perkenalkan di sini pemikirannya mengenai tarikat yang saya fokuskan Tarikat Naqsyabandiyah kerana amalan beliau dan lebih panjang beliau bahas daripada yang lainnya. Tok Ku Paloh menyebut tarikat yang muktabar berasal daripada dua sahabat Nabi Muhammad iaitu Saiyidina Abi Bakar Siddiq dan Saiyidina Ali bin Abi Thalib.

Mengenai kelebihan Saiyidina Abi Bakar Siddiq, Tok Ku Paloh ada warid daripada Nabi, maksud sabdanya, “Tiada menuangi oleh Allah pada dadaku akan suatu melainkan aku penuhilah akan dia pada dada Abi Bakar.”

Sabdanya lagi, “Tiada melebihi akan kamu oleh Abu Bakar dengan banyak puasa dan sembahyang, kerana segala amal zahir itu seperti amal kamu juga. Tetapi melebihi akan kamu dengan rahsia yang tetap ia pada hati yang dilimpahi akan dia daripada batin Nabi SAW.”

Selepas itu, Tok Ku Paloh menyenaraikan 40 tarikat muktabar di kalangan ulama tasawuf. Beliau letakkan yang paling atas Tarikat Naqsyabandiyah dan yang paling akhir, Tarikat Dasuqiyah.

Walaupun Tok Ku Paloh membahas Tarikat Naqsyabandiyah dan dalam beberapa kalimatnya beliau lebih memandang tinggi tarikat itu, beliau menasihatkan, “... permulaan Tarikat Naqsyabandiyah itulah kesudahan segala tarikat melainkan orang yang ada al-hububiyah (golongan yang dikasihi Allah) dan amuradiyah (golongan yang dikehendaki Allah) seperti setengah Auliya’ yang terdahulu futuh (dibukakan oleh Allah segala rahsia Rabbani) mereka itu atas suluk. Tetapi segala saudara janganlah kamu sangka terlebih Tarikat Naqsyabandi daripada segala tarikat lain ...” (halaman 312).

Tok Ku Paloh menutup senarai kata beliau, “Dan tafshil segala tarikat itu telah masyhur ia pada sisi segala ulama maka kita serahkan akan pengetahuannya kepada mereka itu ...” (halaman 310 - 311).

Berita Harian, Selasa, 9, April. 2007