Khamis, 15 April 2010

Ringkasan SHAIKH 'ABDUL AL-KHALIQ ALlGHUJDAWANI (Silsilah Ke 10)

Beliau yang merupakan anak kepada Shaikh 'Abdul Jamil q.s., adalah seorang tokoh ikutan dalam Tarekat Tasawwuf dan menjadi panduan bagi ahli haqiqat, di samping memiliki ilmu ma'rifat serta kefahaman yang mendalam tentang kerohanian.

Beliau dilahirkan di Ghujdawan, iaitu satu kawasan beberapa batu jauhnya daripada Bukhara. Beliau wafat pada tahun 575H di tempat kelahirannya. Bapa beliau adalah seorang ulama' terkenal di zamannya dan nasab keturunan beliau bersambung kepada Imam Malik r.a. Dilaporkan ayahanda beliau pernah bertemu dengan Khidir a.s. dan berguru dengannya sehingga pada suatu ketika isteri beliau sedang hamil, Khidir mengkhabarkan berita gembira bahawa beliau akan dikurniakan seorang anak soleh bernama Abdul Khaliq. 

Setelah kelahiran Abdul Khaliq, beliau dibesarkan dalam didikan yang sempurna sehingga dapat menguasai ilmu agama menerusi pembelajaran daripada beberapa ulama' sezaman beliau. Shaikh Abdul Khaliq kemudiannya dikurniakan bertemu Khidir a.s., lalu mengajarnya dhikr khafiy iaitu La Ilaha Illa Allah dalam hati dalam keadaan menahan nafasnya sebagaimana maklum dalam Tarekat Naqshabandiyyah. Bermula dari situ, beliau mula dididik oleh Khidir a.s. secara kerohanian dan dikurniakan ilmu ladduni sehingga mencapai peringkat yang tinggi mulia.

Kemudian beliau diarah Khidir a.s. berguru serta berkhidmat dengan Shaikh tarekat yang sezamannya iaitu Shaikh Yusuf al-Hamdani. Sewaktu berguru dengan Shaikh Yusuf, beliau disuruh meneruskan dhikir yang telah diajar oleh Khidir a.s. kepadanya. Begitulah beliau seterusnya melakukan khidmat sebaik-baiknya kepada gurunya hingga hari kewafatan guru beliau dan setelah itu beliau menyambung kerja dakwah sebagai menggantikan tugas gurunya.