Khamis, 15 April 2010

SHAIKH 'ALI AL-RAMITANI (Silsilah Ke 13)

Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Ramitain terletak kira-kira 2 batu berjauhan dari Bukhara. Beliau dibesarkan serta mendapat pendidikan agama di sana sehingga beliau dikatakan mahir dalam bidang Pengajian Islam. Kemudiannya beliau berguru dengan Shaikh Mahmud Injir Faghnawi sampai ke peringkat beliau mencapai pelbagai tingkatan iman dan yakin yang dengannya dapat membimbing manusia ke jalan reda Allah SWT.

Kecemerlangan yang dimiliki beliau tersebut menjadikannya masyhur dengan panggilan al'Azizan. Antara nasihat beliau ialah; beramallah kamu semua, jangan hanya banyak mengira-ngira (kebaikan) bahkan hendaklah kamu sentiasa mengiktiraf terhadap kekurangan serta kecuaian kamu. Antaranya lagi beliau berkata; hendaklah kamu bersungguh-sungguh mengekali hudur (mengingati Allah) terutamanya sewaktu makan dan ketika bercakap. Beliau wafat pada hari Isnin 18hb Zulkaedah 721H ketika berumur 130 tahun.