Tuesday, April 27, 2010

Sheikh Daud Al-Fathoni Tokoh Ulama Tarikat Syathoriah

Sheikh Daud Al-Fathoni Tokoh Ulama Tarikat Syathoriah
Ditulis dalam Sejarah Islam Nusantara, Tasauf, Tarbiah dan Akhlak, Ulama Ahli Sunnah, Wirid, Hizib dan Doa

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang fiqh diperakui oleh semua ulama di Asia Tenggara yang memahami dan mengkaji sejarah Islam di rantau ini.

Demikian juga ketokohannya dalam bidang usuluddin, tauhid dan ilmu kalam yang kiranya tidak perlu dijelaskan lagi.

Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh penulis sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasauf (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tarekat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang Sheikh Mursyid Kamil Mukammilnya.

Setahu penulis bahawa di Asia Tenggara tercatat dua orang sahaja ulama tokoh besar orde tarekat ini yang terkenal. Mereka ialah Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Murid Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri bernama Sheikh Burhanuddin Ulakan menyebarkan Tarekat Syathariyah itu ke Pariaman, Minangkabau.

Bahawa pada suatu masa dahulu tarekat ini pernah memegang peranan yang terpenting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tarekat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.

Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cerebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Sheikh Abdur Rahman al-Fansuri.

Di mana sahaja Tarekat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke 18 hingga ke abad ini, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.

Salah seorang muridnya mengenai Tarekat ini seumpama Sheikh Zainuddin Sumbawa. Nama sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tarekat Syathariyah di negeri-negeri di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Campa dan Burma. Salasilah tarekat ini di Asia Tenggara ini banyak bersambung dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fahthani.

Daripada Sheikh Daud al-Fathani dikenal pula ulama besar yang berasal dari Patani sebagai khalifah-khalifah Mursyid Tarekat Syathariyah seperti Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.

Tata cara berzikir pula yang disalin dari naskhah tulisan tangan Sheikh Daud al-Fathani adalah sebagai berikut:

“Duduk bersila menghadap ke arah kiblat. Kedua tangan diletakkan di atas kedua lutut. Mata dipejamkan. Setelah itu diawali dengan lafaz ‘Laa’ dari bawah susu sebelah kiri, yang terletak hati ‘sanubari’, qasadnya ialah menarikkan pada hati sanubari daripada ‘aghyar dan maa siwallaahi Taala’.

Ditarik terus hingga memanjang bunyi lafaz ‘Laa’ hingga sampai ke bahu sebelah kanan, terus dilemparkan dengan lafaz ‘ilaaha’ dengan meniatkan bahawa melemparkan sekelian yang tersebut ke belakang.

Sesudah itu lalu lafaz ‘illa’ di atas bahunya yang kanan. Terakhir sekali memukulkan lafaz ‘Allah’ dengan sekeras-kerasnya ke dalam hati. Demikianlah zikir pada setiap kalinya, bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dengan memuji kepada Allah telah talkinkan zikir Syathariyah ini serta dengan baiahnya dan ‘Labsul Khirqati’ dan kaedah yang tersebut itu oleh faqir ilallahi Taala Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani……”.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fatani berpendapat bahawa pimpinan seorang sheikh Mursyid sangat penting, beliau menulis sebagai berikut :

“Ketahuilah! Kadang-kadang seorang Salik yang belajar itu melihat bahawa tiada sesuatu jalan untuk sampai kepada Allah, dia ragu dengan bermacam-macam amalan yang sangat banyak. Kadang-kadang dia tercengang dengan banyak ilmu pengetahuan yang telah dikuasainya. Apabila murid yang Salik itu mempunyai sheikh yang Arif Billah (Ahlil Hakikat), maka hendaklah dia kembali kepada sheikhnya dan berpegang teguh atas petunjuknya”.

Dalam bahagian lain beliau menulis: “Dan dengan benar orang yang berzikir iaitu benar murid serta sheikhnya sampai ia pada Martabat Siddiqiyah, hendaklah ia mengemukakan apa-apa yang terlintas di hatinya dari perkara yang jahat dan yang baik.

Berkata sebahagian orang yang arif: “Tiada syarat sheikh itu mengetahui dan melihat atas batin murid, tetapi sebahagian dari syarat murid ialah bahawa memberitahu kepada sheikhnya sekelian yang terlintas pada hatinya…”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis selanjutnya: “Bahawa dia (sheikh) adalah penolongnya dari pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. Selamanya berhadap ke hadrat Tuhannya, apabila dikerjakan maka limpah pertolongan Ilahiyah daripada Allah pada hati penghulu kita dan dari hati penghulu kita – Nabi Muhammad s.a.w -kepada sekelian hati pada sheikh (Masyaikh), dari satu kepada satu sampai kepada hati yang melakukan zikir. Bahawa yang demikian itu menjadi pertolongan dan pemberian Allah”.

Perlu diketahui oleh setiap penganut tarekat, terutama Tarekat Syathariyah adalah mengenai adabnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani mengatakan bahawa adab zikir itu terbahagi kepada tiga iaitu:

a. Adab sebelum melakukan zikir.

b. Adab ketika berzikir.

c. Adab setelah berzikir.

Keterangan Sheikh Daud yang diringkaskan oleh penulis daripada kitab Dyiaa’ul Murid mengenai adab-adab berzikir adalah sebagai berikut:

a. Adab sebelum melakukan zikir

1. Taubat nasuha, iaitu taubat daripada sesuatu yang tidak memberi faedah kepada agama yang tersalah dari perkataan, perbuatan dan kehendak yang tidak muafakat dengan syarak.

2. Suci badan daripada hadas-hadas besar dan hadas kecil dan kekotoran pada tubuh dan pakaian. Hendaklah mandi dan mengambil air sembahyang serta membersihkan pakaiannya.

3. Mengharumkan pakaian dengan bau-bauan dan menyucikan mulut dengan bersugi (siwak).

4. Dengan niat menegakkan perintah Allah bukan kerana lainnya kerana mengambil faedah dunia dan keinginan hawa nafsu.

5. Membesarkan Allah. Ketika menyebut Allah terasa benar akan kebesaran dan kehebatan-Nya.

b. Adab ketika berzikir

Adapun adab yang dituntut ketika berzikir itu lima belas perkara, iaitu :

1) Hendaklah dia duduk di tempat yang suci seperti duduk dalam sembahyang bagi orang yang mubtadi, duduk bersila bagi orang yang muntahi.

2) Meletakkan kedua telapak tangan di atas kedua lutut.

3) Menghadap ke kiblat kalau dia berzikir seorang diri, jika berjemaah hendaklah membuat lingkaran keliling.

4) Memakai wangi-wangian di tempat duduknya kerana tempat berzikir adalah tidak sunyi daripada Malaikat dan jin yang beriman.

5) Berkekalan ikhlas iaitu semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana lainnya.

6) Benar zikirnya pada zahir dan batin hingga bersamaan antara keduanya. Juga benar hati terhadap sheikhnya pada zahir dan batin.

7) Sedapat-dapatnya hendaklah sekelian yang dimakan dan yang dipakai adalah halal.

Duduk di tempat yang kelam iaitu antara terang dan gelap.

9) Memejamkan mata.

10) Menghadirkan makna zikirnya setiap kali mengucapkannya.

11) Dinafikan tiap-tiap yang maujud pada hatinya selain daripada Allah.

12) Diucapkan dengan nyaring (jahar).

13) Dengan kuat yang sempurna. Iaitu ditarikkan dari tengah kepala hingga ke anak jarinya.

14) Terkenang kepada sheikhnya.

15) Menjauhkan lafaz yang lahan yang mengubahkan maknanya.

c. Adab selepas berzikir

Adapun adab kemudian daripada zikir itu lima perkara:

1) Menahan nafas beberapa kali kerana yang demikian itu lebih cepat menerangkan hati dan membukakan hijab (dinding), dan memutuskan khuatir nafas dan syaitan.

2) Jangan meminum air selepas dari berzikir hingga berselang beberapa saat, kerana zikir itu bersifat panas, rindu dan menaikkan kegemaran kepada yang diingat (Allah) inilah tujuan zikir, sedangkan minum itu memadamkan yang demikian itu. Juga kalau minum adalah bertentangan dengan ilmu kedoktoran kerana boleh mengakibatkan penyakit muntah.

3) Diam beberapa ketika sesudah berzikir serta dengan khusyuknya. Perkara ini ulama membahagikannya kepada tiga adab iaitu :

a. Seakan-akan dia berhadap dengan Tuhannya, bahawa Tuhannya melihat kepadanya.

b. Mengheningkan cipta (menumpukan fikiran) seakan-akan sehelai roma pun tidak bergerak seumpama kucing tatkala mengintai tikus.

c. Menafikan sekalian khuatir dan melaksanakan zikir itu di dalam hati.

4)Meniatkan bagi wirid zikir. Mudah-mudahan menghidupkan hati sehingga tercapai cahaya makrifatullah sehingga diperolehinya sekalian sifat kamalat (kesempurnaan) seumpama zuhud dan lain-lain.

5) Mensyukuri akan nikmat-nikmat Allah. Bahawa Allah telah memudahkannya melakukan suruhan-Nya dengan mengucap istighfar daripada taqsir yang hasil daripadanya tiga kali, seperti katanya: “Aku memohon pengampunan dari Allah dari segala taqsirku pada ibadatku sebilang-bilang nafasku”.

Nama-nama kalimah nafi dan isbat

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tokoh sufi Tarekat Syathatiyah. Salah satu karya tulisan beliau tentang tersebut dapat dilihat melalui kitab Dhiyaa’ul Murid.

Bahagian terakhir karyanya itu beliau tulis nama-nama kalimah Laa ilahaa illallah. Dalam kitab Jawi yang lain dari kitab Dhiyaa’ul Murid tidak membicarakan hal ini. Oleh itu, penulis salin seringkasnya mudah-mudahan menambah keghairahan memperbanyak bacaan zikir Laa ilaaha illallah (nafi dan isbat) yang sangat dianjurkan oleh ahli warak dan Salihin.

Menurut Sheikh Daud al-Fathani kalimah Laa ilaaha illallah itu mempunyai banyak nama yang disebut dalam kitab suci al-Quran, sebahagiannya penulis nyatakan seperti berikut :

1.Kalimah takwa, dalam surah al-Fath ayat 26. Maksudnya: Dan biasakanlah mereka itu dengan takwa. Takwa tersebut adalah La ilaaha illallah.

2.Kalimah Thaiyibah dalam surah Ibrahim ayat 24. Maksudnya: Allah telah membanding seumpama kalimat yang baik iaitu La ilaaha illallah seperti pohon kayu yang baik asalnya terhunjam pada bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit.

3.Kalimah Sabit dalam surah Ibrahim ayat 27. Maksudnya: Allah telah menetapkan sekalian orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap dalam hidup di dunia dan akhirat iaitu perkataan Laa ilaaha illallah.

Banyak lagi yang ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani dalam tulisannya yang tidak dapat disenaraikan semuanya. Antara lain-lain yang secara ringkasnya adalah berikut :

4.Kalimatul ‘Ulya dalam surah at-Taubah ayat 40.

5.Kalimah Stabat dalam surah Muhammad ayat 19.

6.Kalimah Husna dalam surah Yunus ayat 26.

7.Kalimah ‘Adli dalam surah an-Nahl ayat 90.

8.Kalimah Istiqamah dalam surah Fussilat ayat 30.

9.Kalimah ‘Ahdi dalam surah Maryam ayat 87.

10.Kalimah Maqalid dalam surah Zumar ayat 63.

11.Kalimah Tasydid dalam surah al-Ahzab ayat 70.

12.Kalimah Haq dalam surah az-Zukhruf ayat 86.

13.Kalimah Shiratal Mustaqim dalam surah al-An’am ayat 15.

14.Kalimah Sidqi dalam surah az-Zumar ayat 33.

15.Kalimah Iman dinamakan juga Kalimatul Khulud fi Jannah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud: Barangsiapa yang adalah pada penghabisan perkataannya Laa ilaaha illallah hal keadaannya suci hatinya lagi jernih daripada hatinya, masuk syurga itu bersama-sama orang-orang yang mendapat kemenangan tiada terdahulu seksa.

16.Kalimatus Ishmati wan Najah

Sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Apabila mereka mengatakan Laa ilaaha illallah terpelihara daripadaku darah dan hartanya.”

17.Kalimatu Miftahil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.

18.Kalimatu Stamanil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.

19.Kalimatul Ikhlas iaitu Laa ilaaha illallah.

20.Kalimatu Da’watil Haq iaitu Laa ilaaha illallah.

21.Kalimatu ‘Urwatil wustqa iaitu Laa ilaaha illallah.

22.Dan lain-lain.

Kesimpulannya masih banyak amalan Sheikh Daud al-Fathani yang tidak dapat dibicarakan keseluruhannya, yang tentunya amalan wirid beliau sangat banyak. Di antara yang tidak pernah beliau tinggalkan adalah membaca selawat Dalailaul Khairat dan lain-lain.