Sunday, March 20, 2011

“PERANAN TASAWWUF DALAM USAHA MEMBANGUNKAN KEGEMILANGAN UMAT ISLAM" SIRI 1

Disampaikan : SHAIKH DR HJ JAHID HJ SIDEK AL-KHALIDI
Program : SEMINAR TASAWUF
Anjuran : JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Tarikh/Hari : 12 DISEMBER, 2009 / 25HB ZULHIJJAH 1430H (SABTU)
Masa : 9.00 HINGGA 10.00 PAGI
Tempat : DEWAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

Pendahuluan

Kertas kerja ini akan menyentuh serba ringkas mengenai Ilmu Tasawuf dan kedudukannya di dalam Islam. Prinsip-prinsipnya yang asas seperti zikrullah dan suhbah juga akan dijelaskan. Sifat dan ciri-ciri umat Islam yang unggul dan gemilang seperti yang digambarkan oleh Allah dalam Qur’an dan juga Sunnah turut dibicarakan, bagaimana tasawuf dapat membangunkan semula umat Islam yang sudah lemah sehingga mereka menjadi agung dan gemilng semula juga akan diterangkan. Akhirnya kertas kerja ini akan menyentuh bagaimana tasawuf telah memberi suatu sumbangan yang besar dalam bidang politik dan sosial umat Islam. Mengenai peranan tasawuf dalam membangunkan ilmu pengetahuan dan kemajuan sains nampaknya penulis tidak sempat menyentuhnya kerana kertas kerja ini disiapkan dalam masa dua hari sahaja.

Ilmu Tasawuf

Asas agama Islam ialah Iman, Islam dan Ihsan. Tiga asas agama Islam ini terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Umar al-Kattab r.a. di mana rasulullah memberi jawapan soalan Jibril a.s. mengenai iman dengan menyebutkan rukun iman yang enam, mengenai Islam dengan menyebutkan rukun Islam yang lima dan ihsan pula dengan sabdanya yang bermaksud:

“Ihsan ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihatnya. Jika anda tidak melihatnya sesungguhnya Allah melihat anda”.

Dari iman yang rukunnya enam lahirlah ilmu tauhid, dari Islam yang rukunnya lima lahirlah ilmu fekah dan dari Ihsan lahirlah ilmu tasawuf. Jadi tauhid, fekah dan tasawuf adalah tiga ilmu yang asas dalam Islam yang wajib dipelajari ketiga-tiganya oleh setiap mukallaf.
Al-Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari pernah menegaskan dengan katanya:

“Sesungguhnya sebagaimana yang terdapat dalam hadis (jibril ) itu agama Islam itu terdiri dari tiga rukun tersebut (iman, Islam dan Ihsan). Maka sesiapa yang membuangkan bahagian ihsan iaitu tasawuf, agamanya menjadi kurang tanpa keraguan lagi, kerana ia telah meninggalkan satu rukun daripada rukun-rukunnya. Maka tujuan tasawuf ialah (pencapaian) ihsan itu, setelah seseorang itu dapat menghayati dengan sebenarnya iman dan Islam”.
(al-Ghumari, al-Intisar li Tariq al-Sufiyyah, h.6)

Dari sudut tersebut maka dapat kita pandang bagaimana tasawuf itu merangkumi seluruh agama Islam itu sendiri. Memang tepatlah apa yang dikatakan oleh shaykh al-Hujwiri tentang kandungan tasawuf itu adalah semua syariat, sehingga beliau mengatakan:

“Sekiranya mereka (orang-orang yang menolak tasawuf) itu mengingkari nama tasawuf, tidaklah mengapa. Jika mereka mengingkari berbagai-bagai makna (yang terkandung di dalamnya), maka berertilah mereka mengingkari seluruh syariat nabi Muhammad s.a.w. dan ciri-cirinya yang terpuji”.
(al-Hujwiri, Kashf al-Mahjub, j. 2, h.239)



Di dalam al-Qur’an pula terdapat banyak ayat-ayat Qur’an yang dapat dianggap sebagai asas ilmu tasawuf. Antaranya ialah ayat 2 surah al-Juma`ah. Di dalam ayat tersebut tugas nabi mengajarkan umatnya tiga ilmu yang berkait dengan tauhid sehingga dapat membersihkan akidah manusia, berbagai-bagai hukum yang terdapat dalam Qur’an (fekah) dan ilmu hikmah ilahiyyah atau ilmu tasawuf. Al-hikmah dalam ayat tersebut ditafsirkan oleh setengah ahli tafsir sebagai huraian ilmu agama yang meluas dan mendalam di samping ia juga ditafsirkan sebagai hadis-hadis nabi. Tafsiran tersebut memang menepati dengan maksud ilmu tasawuf. Makna tersebut akan lebih jelas apabila kita hubungkan makna hikmah tersebut dengan ayat 269 surah al-Baqarah:


Maksudnya: “Allah memberikan hikmah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan barang siapa yang diberi hikmah sesungguhnya dia telah diberi kebajikan yang banyak dan tidak ada yang mengambil pelajaran kecuali orang-orang ulul albab”.

Ibn Ataillah (w. 709H) yang telah menyusun kitab yang terkenal al-Hikam, kerana kitab tersebut mengandungi pelbagai hikmah ilahiyyah dan berbagai hikmah ilahiyyah itulah ilmu tasawuf.

Di samping itu memang terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menyuruh manusia bertaubat bersabar bersyukur takutkan Allah bergantung harap sepenuhnya kepada Allah bertawakkal kepada Allah reda, kasih kepada Allah, khusyuk hati tawaduk dan sebagainya lagi. Di samping itu juga terdapat ayat-ayat yang melarang manusia dari berbagai sifat tercela seperti sombong, hasad dengki, mengumpat, fitnah, ujub, riak, lalai hati dan sebagainya lagi. Semua perkara yang berkait dengan sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat tercela yang disebut dalam Qur’an, memang menjadi perkara yang dibahaskan di dalam ilmu tasawuf sehingga timbullah kaedah takhalli dan tahalli, ahwal qalbiyyah dan maqamat qalbiyyah.
Kerana itu maka shaykh al-Junayd al-Baghdadi (w. 297H) pernah menyatakan bahawa:

علمنا هذا مقيد بالكتاب والسنة من لم يقرأ القرآن ويكتب الحديث لا يقتدى به في علمنا هذا

Maksudnya: “Ilmu kami ini (tasawuf) terikat kuat dengan al-Qur’an dan Sunah. Sesiapa sahaja yang tidak mempelajari al-Qur’an dan hadis maka ajarannya tidak boleh diikuti (tidak boleh dijadikan guru)”.

Shaykh Abd Wahhab Sha`rani telah memberi amaran kepada sesiapa saja menolak dan mengingkari ajaran tasawuf kerana kebenarannya tidak dapat ditolak lagi. Beliau menegaskan dengan katanya:

وإياك أن تقول طريق الصوفية لم يأت بها كتاب ولا سنة فإنه كفر فإنها كلها أخلاق محمدية سداها ولحمتها منها

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan jalan orang sufi (tasawuf) itu tidak terdapat di dalam Qur’an dan Sunnah, kerana ia adalah suatu kekufuran. Sesungguhnya keseluruhan ajaran tasawuf itu merupakan akhlak Muhammadiyyah.”
(al-Sha`rani, al-`Uhud al-Muhammadiyyah, j. 1, h. 2)

Oleh sebab itu dapat kita tegaskan di sini bahawa rasulullah s.a.w. boleh dianggap sebagai bapa golongan sufiyah dan para sahabat nabi adalah golongan sufiyyah yang pertama yang pernah berlaku di dalam sejarah umat Islam.
Dilihat dari sudut perkembangan kajian berbagai bidang ilmu Islam, maka kita dapati ilmu tasawuf telah diijtihadkan oleh para ulama’ tasawuf (sufiyyah) sebagaimana ilmu tauhid diijtihadkan oleh mutakalimun, dan ilmu fekah telah diijtihadkan oleh para fuqaha’. Sejarah ijtihad dalam ketiga-tiga bidang ilmu tersebut telah berlaku sejajar dan serentak. Sebagai contoh, Imam Ahmad Ibn Hanbal yang menumpukan ijtihadnya dibidang fekah meninggal dunia pada tahun 241H. mazhabnya kita kenali sebagai mazhab Hanbali. Shaykh Abu Harith al-Muhasibi telah menumpukan ijtihadnya dibidang ilmu tasawuf telah berpuluh-puluh karya dibidang tasawuf termasuklah kitabnya yang terkenal iaitu al-Ri`ayah li Huquq Allah. Malahan Imam Abu Hanifah (w. 150H), Imam Malik (w.176H) dan Imam Syafie (w.204) telah belajar dan beramal dengan ilmu tasawuf. Imam Malik terkenal dengan kata-katanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang belajar dan beramal dengan fikah sahaja, dia menjadi fasik (berdosa besar). Sesiapa belajar dan beramal dengan tasawuf sahaja maka dia menjadi zindik. Sesiapa yang belajar dan beramal dengan kedua-duanya sesungguhnya ia mencapai hakikat Islam yang sebenar.”

Imam Shafie yang belajar ilmu tasawuf dari seorang ahli tasawuf iaitu Shayban al-Ra`i pernah mengajak kita belajar ilmu tasawuf menerusi kata-katanya yang terkenal:


“Sesiapa yang mahu dibukakan (berbagai hijab) hatinya oleh Allah dan Allah akan memberikan ilmu (secara ladduni), maka wajiblah ia berkhalwat, wajiblah ia mengurangkan makan, wajiblah ia menjauhi dari orang-orang yang bodoh dan wajib juga menjauhkan diri dari sebahagian ulama’, iaitu ulama’ yang mengikutkan hawa nafsu dan ulama’ yang tidak beradab sopan.”


Tasawuf boleh juga diibaratkan sebagai nyawa bagi tubuh badan manusia. Jika tubuh badan manusia tidak bernyawa ia tidak akan dapat hidup dan bergerak, maka begitulah juga keadaannya orang beragama tanpa beramal dengan tasawuf, sudah pasti ia tidak akan mendapat hakikat penghayatan yang sebenar kerana tanpa tasawuf, maka agama Islam bukan sahaja tidak akan sempurna tapi juga akan menjadi lemah dan tidak bermaya.

Dapat disimpulkan bahawa ilmu tasawuf adalah ilmu yang sememangnya disyariatkan oleh Allah dalam Islam. Ia adalah sebagai bahagian yang sangat penting dalam Islam kerana ilmu tasawuf menyentuh perkara kerohanian khasnya aspek hati, ruh dan sirr. Ilmu tasawuflah yang membolehkan seseorang mukmin dapat kurnia daripada Allah hakikat dan makrifatullah. Sebab itulah Imam Ghazali sanggup meletakkan jawatan menjualkan semua harta dan berpindah daripada Baghdad ke Kota Damsyik semata-mata belajar dan beramal ilmu tasawuf sehingga beliau dikurniakan makrifatullah. Mengenai perkara tersebut beliau menyimpulkan dengan katanya terkenal:


فأما معرفة الله تعالى وصفاته وأفعاله وجميع ما أشرنا إليه في علم المكاشفة فلا يحصل من علم الكلام بل يكاد أن يكون الكلام حجابا عليه ومانعا عنه وإنما الوصول إليه بالمجاهدة التي جعلها الله سبحانه مقدمة للهداية

Maksudnya: “Ma`rifatullah, sifat-sifat, perbuatanNya dan semua perkara yang telah kami nyatakan dalam topik `Ilm Mukashafah (terdahulu) tidak mungkin boleh dicapai oleh seseorang menerusi (mempelajari) Ilmu Kalam. Bahkan berkemungkinan besar Ilmu Kalam tersebut menjadi penghalang utama yang menghijabkan seseorang daripada mengenal Allah. Sebaliknya, cara sebenar (untuk mengenal Allah) ialah melalui mujahadah (bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat) yang telah dijadikan Allah sebagai permulaan bagi hidayatNya.”
(al-Ghazali, Ihya’ `Ulum al-Din, j.1, h. 33)

Mujahadah yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali tersebut ada diterangkan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya Shifa’ al-Sail, iaitu mujahadah al-kashf wa al-Atla` atau mujahadah yang membolehkan seseorang dikurniakan oleh Allah dengan diangkatkan berbagai-bagai hijab hati sehingga pandangan hati akan nampak sebahagian rahsia-rahsia Allah di alam malakut. Misalnya seperti yang Allah ceritakan dalam ayat 190 surah Ali `Imran.

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”