Isnin, 18 April 2011

SIRI 3 : “PERANAN TASAWWUF DALAM USAHA MEMBANGUNKAN KEGEMILANGAN UMAT ISLAM”

Disampaikan : SHAIKH DR HJ JAHID HJ SIDEK AL-KHALIDI
Program : SEMINAR TASAWUF
Anjuran : JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Tarikh/Hari : 12 DISEMBER, 2009 / 25HB ZULHIJJAH 1430H (SABTU)
Masa : 9.00 HINGGA 10.00 PAGI
Tempat : DEWAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)


Jatuh Bangun Umat Islam

Umat Islam dewasa ini walaupun dikatakan ada kira-kira 1.4b dari seluruh penduduk dunia, namun mereka dianggap sebagai golongan yang ditinggalkan jauh oleh golongan yang bukan Islam khasnya bangsa barat. Keunggulan dan kegemilangan mereka telah pudar. Umat Islam dipandang remeh oleh masyarakat barat. Mereka ketinggalan dalam semua aspek kehidupan , politik, sosial, ekonomi, sains dan teknologi, pentadbiran, ketenteraan dan sebagainya lagi. Bagaimanakah kita mahu mengembalikan semula keunggulan dan kegemilangan umat Islam pada masa kini sesuai dengan tuntutan zaman moden yang serba canggih. Kita merasakan tugas ini amat berat. Mungkin mengambil masa yang panjang, berpuluh atau beratus tahun. Tetapi jika kena kaedah dan gayanya mungkin ia dapat dicapai dalam masa yang singkat, kerana nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya merubahkan seluruh aspek kehidupan orang arab dan sekitarnya dalam masa yang singkat sebagimana yang kita maklum.

Dari segi teori, kita hanya akan dapat membangunkan keunggulan dan kegemilangan umat Islam dengan apa yang Allah gunakan untuk membangunkan keunggulan dan kegemilangan umat para nabi dan rasul yang benar-benar beriman di sepanjang zaman. Allah telah menggunakan keimanan dan ketakwaan yang sebenar untuk membangunkan umat nabi-nabi dan rasul-rasul menjadi agung dan gemilang. Allah berfirman:
 
Maksudnya: “dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
Timbul satu soalan; keimanan dan ketakwaan yang macam mana yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat tersebut? Jawabnya, ialah keimanan dan ketakwaan seperti yang ditaklimkan, ditarbiyahkan dan ditaqiyah oleh nabi Muhammad s.a.w. kepada para sahabat sehingga mereka menjadi orang-orang yang beriman yang dipuji oleh Allah dan dikurniakan kemenangan yang besar, seperti yang disebut dalam firmanNya:
 
Maksudnya: “dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan ihsan, Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Walaupun makna ayat tersebut telah diberi secara literal seperti di atas, namun kita perlu memahami secara tepat makna al-sabiqun al-awwalun. Berdasarkan kepada surah al-Waqi`ah ayat 10-11, al-sabiqun ialah golongan muqarrabun atau orang-orang yang hampir kepada Allah. Orang-orang yang hampir kepada Allah adalah orang-orang yang benar-benar mengenali Allah iaitu orang yang dikurniakan ma`rifatullah. Menurut hadis nabi pula, al-Sabiqun ialah orang-orang yang menenggelamkan diri dalam zikrullah. Sabda rasulullah s.a.w.:

سيروا سبق المفردون، قالوا : وما المفردون قال : الذين يستهترون فى ذكر الله يضع الذكر عنهم أوزارهم وخطاياهم، فيأتون يوم القيامة خفافا

Maksudnya: “berjalanlah kamu semua, berjayalah golongan al-mufarridun. Sahabat bertanya:siapakah al-mufarridun itu? Jawab baginda: mereka ialah orang-orang yang tenggelam dalam zikrullah. Zikir mereka telah menggugurkan dosa-dosa mereka lalu mereka dibangkitkan pada hari kiamat dalam ringan (dari bebanan dosa)”

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, orang yang telah dikurniakan oleh Allah ma`rifatullah ialah orang mukmin yang sampai ke tingkat ihsan dan menjadi golongan muhsinin. Mereka juga disebut sebagai ulul albab. Adapun al-awwalun jika kita gunakan pengakuan nabi Musa seperti yang Allah sebut dalam surah al-A`raf ayat 143:
 
Maksudnya: “setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan ayat kewujudanNya) menerusi gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur (hilang dalam pandangan nabi Musa) dan Nabi Musa pun jatuh pengsan (fana’). Setelah ia sedar semula (dari fana’nya), berkatalah ia: "Maha suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan aku (rasa inilah) awal (permulaan aku menjadi) mukmin yang sebenar.”

Oleh yang demikian maka istilah al-awwalun bermaksud orang-orang mukmin yang dikurniakan oleh Allah ma`rifatullah.

Ilmu tasawuf dalam memperbaiki dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan seseorang mukmin adalah menerusi aspek hati atau rohani kerana baiknya seseorang sehingga menjadi seorang mukmin yang unggul dan gemilang mesti menerusi aspek hati. Sebab itu rasulullah s.a.w. bersabda:

وإن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب

Maksudnya: “sesungguhnya dalam jasad anak Adam ada mudghah. Sekira ia baik maka baiklah seluruh jasad (seluruh perbuatan anggota). Sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad (seluruh perbuatan anggota). Mudghah itu ialah hati.”

Dari hadis tersebut dapat kita simpulkan bahawa modal insan yang utama ialah hati mereka. Oleh itu maka mengasuh mentarbiah, mentarqiyah hati mesti didahulukan dari mengasuh dan mentarbiah aspek zahir. Islam diturunkan dengan dimulai memperbaiki hati iaitu diperkenalkan ilmu tauhid. Sesudah tauhid mantap dan dapat membaiki hati umat Islam yang awal, barulah perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadat dan hukum hakam disyariatkan.

Perlu diambil perhatian di sini bahawa Islam menyuruh supaya manusia menajamkan akal dan juga menajamkan hati. Keimanan dan ketakwaan yang sebenar tidak memadai dengan akal tanpa hati kerana daya akal terhad kepada yang masuk akal (ma`qulat) sahaja. Dalam agama, ada perkara-perkara yang akal tidak mampu menerima kebenarannya, hanya hati mempunyai kekuatan untuk memahami dan menerima hakikat kebenarannya. Contohnya, ialah perintah Allah kepada tentera nabi Allah Talut, mereka tidak dibenarkan meminum air sungai sesuka hati kecuali dengan hanya seceduk tapak tangan sahaja. Majoriti tentera nabi Allah Talut tidak boleh menggunakan hati. Mereka mneggunakan akal. Kerana itulah mereka minum air sungai sepuas hati mereka dengan tujuan mereka akan menjadi kuat dalam peperangan yang akan ditempuhi. Hanya 40 orang sahaja yang mampu menggunakan hati dan dapat memahami larangan tersebut. Mereka inilah yang mampu ke medan perang dan dapat mengalahkan tentera Jalut, sedangkan kebanyakan tentera yang menggunakan akal tadi tidak mampu berperang malahan mereka menjadi letih dan lesu.

Hati yang boleh digunakan untuk memahami dan menerima berbagai-bagai kebenaran daripada Allah ialah hati yang mutmainnah, kerana hati tersebut mudah menerima hidayat dari Allah. Allah berfirman:
   
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memberi petunjuk ke jalan agamanya (yang khusus), sesiapa yang rujuk kepadaNya, (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Malahan bila hati sudah mutmainnah, maka Allah akan kurniakan mengenalnya sebenar-benar kenal, dapat keredaanNya, menjadi hambaNya dan mendapat syurga mushahadah kepadaNya. Allah berfirman:
   
Maksudnya: “Wahai jiwa (hati) yang mutmainnah, kembalilah kamu (mengenal) kepada Tuhanmu dengan keadaan reda dan diredhai dan masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaku!“

Oleh sebab pentingnya peranan hati dalam hubungan iman dan ketakwaan, maka dalam tasawuf ditekankan aspek ahwal qalbiyyah (sifat-sifat hati yang baik yang baru dikurniakan Allah) dan maqamat qalbiyyah (sifat-sifat hati yang baik yang telah tetap dalam hati). Baiknya amalan seseorang adalah bergantung pada baiknya ahwal qalbiyyah dan maqamat qalbiyyah. Sebagai contoh, amalan orang yang hatinya bersifat taubat adalah lebih baik daripada amalan orang yang hatinya tidak bersifat taubat, begitu juga amalan orang yang hatinya bersifat ikhlas, adalah lebih baik daripada amalan orang yang hatinya tidak bersifat ikhlas.

Perubahan sifat-sifat hati akan segera berlaku menerusi amalan zikrullah sehingga hati akan menjadi mutmainnah. Perubahan-perubahan tersebut dapat dilihat menerusi tingkat-tingkat zikrullah itu sendiri. Menurut pandangan Ibn `Ata’ Allah zikrullah itu ada empat peringkat iaitu zikir ghaflah, zikir yaqazah, zikir hudur dan zikir ghaybah. Kerana itu maka dalam tasawuf, zikrullah adalah menjadi rukun yang paling utama seperti yang telah diterangkan di atas