Tuesday, December 20, 2011

AL-SYAYKH IBN ‘ATA’ ALLAH AL-SAKANDARIY: SATU PENGENALAN TOKOH

Oleh:
Dr Sulaiman Bin Ibrahim
Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



1. Pendahuluan

Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy (w709H) adalah tokoh ulama sufi yang hidup pada akhir kurun ketujuh dan awal kurun kelapan Hijrah bersamaan akhir kurun ke-11 dan awal ke-12 Masihi. Tokoh kelahiran Mesir ini pada mulanya amat menentang ilmu tasawuf dan ahli sufi, namun perkenalannya dengan gurunya al-Syaykh al-Mursiy telah menyebabkannya jatuh cinta kepada tasawuf. Akhirnya, beliau menjadi murid al-Mursiy yang paling berjaya dan beliau telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan ilmu tasawuf Islam terutamanya umumnya dan dalam perkembangan tarekat Syadhiliyyah khususnya. Sumbangan beliau dalam dakwah Islam adalah sesuatu yang amat ketara terutamanya menerusi kitab-kitabnya yang tersebar luas terutamanya kitab al-Hikam dan juga menerusi tarekat Syadhiliyyah. Kitabal-Hikam telah menjadi karya beliau yang paling popular dan tersebar luas ke seluruh pelosok dunia, termasuklah Malaysia. Walaupun kitab al-Hikam sudah amat popular di kalangan pencinta tasawuf di Malaysia, namun ketokohannya pengarangnya masih belum mendapat perhatian sewajarnya. Tulisan ini akan membuat tinjauan ringkas berkenaan dengan latar belakang beliau seperti nama dan keturunan, kelahiran, pengajian, karya, murid dan juga ketokohannya.

2. Nama dan Keturunan

Nama asal al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy ini ialah Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah. Laqab atau gelaran beliau ialah Taj al-Din dan kunyah beliau pula ialah Abual-Fadl[1] atau Abu al-‘Abbas[2]. Kebanyakan kitab-kitab tarajum hanya menyebut nama beliau secara ringkas sahaja. Hanya Ibn ‘Ajibah yang menyebut nama beliau secara penuh iaitu Abu al-Fadl Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Abd al-Rahman ibn ‘Abd Allah ibn Ahmad ibn ‘Isa ibn al-Husayn ibn ‘Ata’ Allah.[3]
Penulis buku-buku sejarah menyebut bahawa beliau adalah anak kelahiran bandar Iskandariah, Mesir. Justeru, beliau telah dinisbahkan kepada bandar tersebut sebagai al-Iskandaraniy, al-Sakandariy atau al-Iskandariy.[4] Beliau berasal daripada keturunan Arab puak al-Judhamiy[5]dan bermazhab Malikiy.[6]

Bapa beliau ialah Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah. Bapa beliau telah hidup sezaman dengan al-Syaykh Abu al-Hasan al-Syadhiliy (w656H), pengasas tarekat al-Syadhiliyah. Hal ini dapat difahami dari petikan yang ditulis sendiri oleh al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam karyanya Lata’if al-Minan di mana beliau menyatakan bahawa bapanya memberitahunya bahawa dia pernah menemui al-Syaykh Abu al-Hasan al-Syadhiliy (r.a).[7]

Keluarga beliau adalah keluarga ilmuan dalam bidang agama berdasarkan kepada kenyataan bahawa datuk beliau Abu Muhammad ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah al-Iskandariy (w612H) adalah seorang faqih yang masyhur pada zamannya, sebagaimana al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sendiri juga merupakan seorang yang faqih dalam bidang syariat di mana beliau berazam untuk mencontohi datuknya itu.[8]

Datuk beliau adalah seorang imam dalam fiqh, usul dan ilmu-ilmu Bahasa Arab. Beliau adalah sahabat kepada seorang faqih bermazhab Malikiy yang bernama Abu ‘Amr ibn Hajib (w646H) semasa belajar tafaqquh dengan al-Syaykh Abu al-Hasan al-Ibyariy (w618H) yang merupakan mahaguru besar mazhab Malikiy di Iskandariah pada zaman tersebut. Beliau telah mengarang kitab al-Bayan wa al-Taqrib Fi Syarh al-Tahdhib yang merupakan sebuah kitab besar yang mengandungi khazanah pelbagai ilmu, faedah-faedah yang besar dan petikan-petikan yang aneh. Beliau juga melakukan ikhtisar terhadap kitab al-Tahdhib dengan baik dan ikhtisar kepada kitabal-Mifsal karangan al-Zamakhsyariy.[9] Al-Imam al-Suyutiy meriwayatkan bahawa datuk al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy ini meninggal dunia pada tahun 612H.[10] Dengan ini, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa sejak awal, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Iskandariy telah dipersiapkan untuk mempelajari pemikiran-pemikiran fiqh al-Imam Malik,[11] sesuai dengan latar belakang keluarga beliau yang memang ahli dalam mazhab Malikiy.

3. Kelahiran

Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah dilahirkan di bandar Iskandariah yang merupakan bumi tumpah darah keluarganya. Tarikh kelahiran beliau secara tepat tidak diketahui kerana kitab-kitab sejarah yang meriwayatkan kehidupan beliau tidak menyentuh tentang tarikh lahir beliau.

Menurut al-Taftazaniy, setelah membentangkan teori tarikh kelahiran al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy, tarikh yang dianggap paling sesuai bagi kelahirannya ialah pada sekitar tahun 658H.[12] Keringkasan hujah yang dikemukakan oleh al-Taftazaniy ialah kenyataan Ibn Hajar al-‘Asqallaniy yang menyebut bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy meninggal dunia semasa beliau mencecah usia kahl.[13] Usia kahl menurut al-Qamus al-Muhit ialah orang yang berusia lebih daripada 30 tahun sehingga 51 tahun.[14]

Sejarah telah mencatatkan secara ijma‘[15] bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy meninggal dunia pada tahun 709H sebagaimana sejarah juga telah mencatatkan bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah berguru selama 12 tahun dengan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy,[16] iaitu sehingga gurunya itu meninggal dunia pada tahun 686H.[17]

Justeru, menurut al-Taftazaniy tarikh 658H adalah tarikh yang munasabah beliau dilahirkan dengan andaian bahawa beliau mula berguru dengan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy pada sekitar tahun 678H, iaitu ketika beliau berusia 16 tahun kerana pada usia tersebut adalah logik beliau mula berguru dengan gurunya al-Mursiy.[18]
Kita juga tidak lupa bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sebelum berguru dengan al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy telah merupakan seorang yang faqih dan telah giat mengajar ilmu syari‘at di bandar Iskandariah di mana sebelum berguru dengan al-Mursiy, beliau juga seperti datuknya turut menolak ajaran tasawuf.[19] Jika diandaikan usia beliau berguru dengan al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy melebihi 16 tahun, maka sudah pasti usia beliau melebihi 51 tahun dan tarikh kelahirannya juga lebih awal dari tahun 658H.

Andaian tarikh kelahiran yang lebih awal telah dinyatakan oleh al-Syaykh Ahmad ‘Izz al-Din ‘Abd Allah Khalaf Allah dalam kitabnya al-Hikam, iaitu sekitar tahun 640H dan umurnya ketika wafat sekitar 70 tahun.[20] Andaian ini dibuat berdasarkan kenyataan yang terdapat dalam biodata adik kandungnya yang bongsu al-Imam Taj al-Din ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Abd al-Rahman ibn ‘Abd Allah ibn Ahmad ibn ‘Isa ibn al-Husayn ibn ‘Ata’ Allah ini yang dilahirkan pada tahun 679H. Diriwayatkan bahawa ketika beliau masih kecil di pangkuan ibunya, saudaranya yang besar (iaitu al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy) telahpun dewasa di mana beliau telah berkelayakan memberikan fatwa dan mengajar.[21]
Berdasarkan manhaj al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam pembelajaran ilmu, beliau lebih cenderung kepada manhaj pengajian secara bertalaqqi dan berguru, bukannya seperti sesetengah kalangan yang cenderung kepada manhaj pembelajaran yang lebih ringan. Justeru, umur seorang yang berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa dan mengajar menerusi sistem ini adalah dianggarkan sekitar 40 tahun.[22] Dengan andaian ini, adalah dapat dismpulkan bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy lebih tua daripada adik bongsunya sekitar 40 tahun.

4. Tahap-tahap Kehidupan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy

Menurut al-Taftazaniy, secara umumnya kehidupan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy boleh dibahagikan kepada tiga tahap. Tahap pertama bermula sebelum tahun 674H di mana beliau telah membesar sebagai seorang penuntut ilmu di Iskandariah dengan mempelajari pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu tafsir, hadith, fiqh, usul, nahw, bayan dan lain-lain lagi dengan guru-guru yang handal di Iskandariah pada zaman itu.[23] Pada tahap pertama kehidupan di Iskandariah ini, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah mengingkari golongan tasawuf dengan keras sekali dan taksub terhadap ilmu fiqh. Beliau menyatakan hal ini dalam kitabnyaLata’if al-Minan : Suatu ketika dahulu, aku mengingkarinya (beliau maksudkan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy) dan menentangnya, hinggalah berlaku satu perbincangan antara aku dan pengikut-pengikutnya (al-Mursiy). Ketika itu aku belum berguru dengannya. Aku telah berkata bahawa beliau itu hanya ahli ilmu zahir semata-mata dan golongan tasawuf hanya mendakwa mempunyai kelebihan-kelebihan besar sedangkan zahir syarak menolaknya.[24]

Tahap kedua pula bermula pada tahun 674H di mana pada tahun tersebut al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah mula berguru dengan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy sehingga beliau berpindah ke Kaherah. Pada tahap inilah beliau mula menghayati tasawuf dengan mengamalkan ajaran tarekat al-Syadhiliyyah dan pada masa yang sama beliau terus meneruskan belajar ilmu-ilmu agama yang lain dan juga mengajarnya.[25]
Pada tahap kedua ini, beliau sudah tidak mengingkari golongan tasawuf dan taksubnya terhadap golongan fiqh juga telah hilang, iaitu sesudah beliau menemui gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy, di mana beliau telah merasa sangat takjub terhadap kebolehan al-Mursiy. Beliau telah mengambil tarekat tasawuf daripada al-Mursiy.[26]

Semasa berada dalam tahap kedua ini juga, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy tidak berhenti daripada terus menerus menuntut ilmu agama (yang dianggap sebagai ilmu zahir, iaitu yang berkaitan dengan fiqh) walaupun telah melalui jalan ahli tarekat tasawuf, malah beliau terus belajar ilmu-ilmu tersebut dengan tawjih daripada gurunya itu. Sebenarnya beliau di peringkat awal merasa bimbang jika perguruannya (suhbah) dengan al-Mursiy akan menghalang pengajiannya, namun beliau akhirnya berpuas hati apabila memahami bahawa suhbah dengan golongan tasawuf tarekat al-Syadhiliyyah tidak bererti tajarrud dan meninggalkan pengajian ilmu atau meninggalkan pekerjaan dunia yang lain.[27]

Hal ini dinyatakan sendiri oleh beliau dalam Lata’if al-Minan : Pada permulaannya, aku pernah mendengar para pelajar berkata bahawa sesiapa yang berguru dengan syaykh tasawuf (suhbah) tidak boleh belajar ilmu zahir lagi. Hal ini membimbangkan aku kerana takut aku akan ketinggalan dalam bidang ilmu dan kehilangan suhbah syaykh. Aku pergi menemui al-Syaykh (al-Mursiy), lalu aku mendapati bahawa beliau memakan daging cicah cuka. Aku berbicara dalam hatiku: Harap-harap al-Syaykh memberikan aku sedikit makanan yang ada di tangannya, lalu belumpun habis aku berbicara dalam hatiku sedemikian hingga al-Syaykh telahpun menghulurkan sesuap makanan dari tangannya ke dalam mulutku. Kemudian beliau berkata: “Apabila kami bergaul (suhbah) dengan golongan peniaga, kami tidak berkata kepada mereka tinggalkan perniagaan kamu dan marilah bersama kami, atau golongan pengilang, tinggalkan kilang kamu dan marilah bersama kami atau para pelajar tinggalkan pembelajaran kamu dan marilah bersama kami, malah kami akur bagi setiap orang apa-apa kedudukan yang Allah telah kurniakan kepadanya”.[28]

Tahap ketiga pula ialah tahap di mana al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy mula berpindah dari Iskandariah ke Kaherah dan berakhir dengan kewafatannya pada tahun 709H.[29] Tahap ini adalah tahap kematangan dan kesumpurnaan ilmunya dalam kedua-dua bidang fiqh dan tasawuf dan ia juga merupakan tahap di mana beliau telah mencurahkan ilmunya dalam kedua-dua bidang itu melalui kuliah-kuliah pengajian.[30]

5. Pembelajaran

al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah melalui suatu proses pembelajaran yang panjang menerusi manhaj pengajian secara bertalaqqi dan berguru.[31] Sistem atau manhaj ini adalah suatu manhaj yang sudah menjadi kelaziman dalam sistem pembelajaran pada zaman tersebut yang mementingkan kualiti ilmu. Beliau telah berguru dengan sebilangan besar guru-guru yang masyhur pada zamannya dalam pelbagai bidang.[32] Antara guru-guru beliau ialah:

(1) Al-Faqih Nasir al-Din Ibn al-Munir al-Jarawiy al-Judhamiy al-Iskandariy (w683H).[33] Beliau adalah seorang imam yang handal dalam fiqh dan Bahasa Arab dan merupakan ‘alamah al-Iskandariyyah pada zamannya dan meninggal dunia di Iskandariah pada tahun 683H.[34] Al-Faqih Nasir al-Din Ibn al-Munir (w683H) inilah tokoh ulama besar dalam bidang fiqh mazhab Maliki di Iskandariah, malah di Mesir yang menerajui Madrasah al-Malikiyyah. Beliau adalah seorang yang sangat alim di Iskandariah pada zamannya sehingga ‘Izz al-Din Ibn ‘Abd al-Salam (577-660H) menyifatkannya sebagai salah seorang daripada dua orang tokoh ulama kebanggaan Mesir; Ibn al-Munir dan Ibn Daqiq al-‘Id (w702H).[35] Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy pernah menyebut beberapa kali perihal gurunya Ibn al-Munir itu dalam kitabnya Lata’if al-Minan.[36]

(2) Al-Syaykh al-Abarquhiy, iaitu al-Syaykh Syihab al-Din Abu al-Ma‘aliy Ahmad ibn Ishaq ibn Muhammad ibn al-Mu’ayyad (w701H) yang merupakan tokoh ulama besar Mesir dan meninggalkan dunia di Mekah semasa mengerjakan haji pada tahun 701H ketika berusia 87 tahun.[37]. Al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah meriwayatkan bahawa beliau pernah mempelajari atau mengambil hadith daripada tokoh ini.[38] Ibn Hajar al-‘Asqallaniy (773H-852H) ada menyebut bahawa beliau pernah mendengar (sami‘a) daripada al-Syaykh al-Abarquhiy dan belajar ilmu nahw daripada al-Syaykh al-Muhyi al-Mazuniy.[39]

(3) Al-Syaykh al-Muhyi al-Mazuniy. Beliau merupakan guru kepada al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam ilmu nahw. Al-Imam al-Suyutiy telah menyebutnya ketika beliau menulis biodata al-Syaykh Muhammad ibn Ibrahim ibn al-Nahhas al-Halabiy al-Nahwiy (w698H).[40] Al-Mazuniy dan Ibn al-Nahhas adalah dua orang tokoh ilmu nahw yang dianggap sama setaraf atau setanding di mana kedua-duanya telah digelar sebagai Syaykh al-Diyar al-Misriyyah pada zaman mereka.[41] Kenyataan Ibn Syakir ketika menulis biodata Ibn al-Nahhas dapat difahami bahawa beliau adalah ulama yang bermukim di bandar Iskandariah.[42]

(4) Al-Syaykh al-Imam al-Hafidh Syaraf al-Din Abu Muhammad ‘Abd al-Mu’min ibn Khalaf ibn Abial-Hasan al-Dimyatiy (613H-705H)[43] yang disifatkan oleh al-Imam al-Suyutiy sebagai seorang imam yang sangat ‘alim, hafidh, hujjah dan faqih dan beliau terkenal sebagai Syaykh al-Muhaddithin. Berkenaan dengan gurunya ini, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy pernah menyebut perihal qira’ahnya dan sama‘nya akan hadith al-syafa‘ah daripada gurunya ini dalamLata’if al-Minan lengkap dengan sanadnya. Beliau juga ada memuji gurunya itu sebagai al-syaykh al-imam al-hafidh baqiyyat al-muhaddithin.[44]

(5) Al-Syaykh Muhammad ibn Mahmud ibn Muhammad ibn ‘Abbad yang masyhur dengan gelaran Syams al-Din al-Asbahaniy. Menurut Al-Taftazaniy, adalah dipercayai bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah mempelajari ilmu usul fiqh, ilmu kalam dan semua ilmu logik seperti falsafah dan mantiq daripada gurunya yang masyhur ini.[45] Andaian ini dibuat oleh al-Taftazaniy berdasarkan sepotong petikan kenyataan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy yang memperihalkan tokoh ini dan al-Syaykh al-‘Allamah Syams al-Din al-Aykiy yang datang menemui gurunya al-Mursiy dan duduk di hadapan al-Mursiy dengan cara duduk seolah-olahnya mereka berdua adalah murid al-Mursiy. Dalam kenyataan itu, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy menyebut tentang beliau sebagai Syaykhuna al-Imam al-‘Allamah sedangkan untuk al-Syaykh Syams al-Din al-Aykiy beliau tidak menyebut ungkapan tersebut.[46] Ungkapan syaykhuna yang bererti syaykh kami atau tuan guru kami ini membayangkan bahawa al-Syaykh Syams al-Din al-Asbahaniy adalah guru beliau. Berkenaan dengan tokoh ini, al-Imam al-Subkiy menyifatkannya sebagai seorang imam dalam ilmu mantiq, ilmu kalam, usul dan jadal. [47]

6. Bidang Ketokohan

Sejarah kehidupan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sangat berkait rapat dengan sejarah gerakan pemikiran dan sejarah tasawuf di Mesir pada kurun keenam dan ketujuh Hijrah di mana beliau dianggap sebagai contoh keperibadian unggul di kalangan ahli sufi kerana telah menggabungkan ilmu-ilmu zahir dan ilmu hakikat dan mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua bidang itu.[48] Nama al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah tersohor sebagai seorang ulama dari kalangan ulama agung dalam bidang syari‘at yang tercerna dengan hakikat dan intipati syari‘at itu sendiri yang membebaskan manusia daripada kekangan hawa nafsu dan meningkat tinggi ke hadrat Allah. Beliau mengajar ilmu-ilmu syari‘at di al-Azhar sehingga lahirlah ulama masyhur seperti al-Imam Taqiy al-Din al-Subkiy (w756H)[49] dan al-Imam al-Qurafiy.[50]

Ulama yang hidup sezaman dengan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy bersepakat mengakui ketokohan beliau dalam setiap bidang ilmu yang beliau mengajar khususnya ilmu tafsir, hadith, fiqh, usul, bahasa dan ilmu pendidikan (tarbiyah).[51] Dalam ungkapan yang biasa digunakan, beliau mempunyai kehebatan dalam dua bidang ilmu zahir dan batin, iaitu ilmu syari‘at dan ilmu tasawuf. Ulama fiqh pada zamannya telah cuba menonjolkan beliau sebagai tokoh utama dalam bidang fiqh pada zaman itu, sementara gurunya al-Mursiy pula mahu menonjolkannya sebagai tokoh utama untuk bidang tasawuf. Ini telah dinyatakan oleh al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sendiri dalam kitabnya Lata’if al-Minan bahawa al-Syaykh Jamal al-Din ibn Abi al-‘Abbas al-Mursiy, bahawa beliau berkata kepada al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy (bapanya) bahawa ahli fiqh mahukan Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy menonjolkannya dalam bidang fiqh, lalu al-Syaykh al-Mursiy berkata: Mereka mahu menonjolkannya dalam bidang fiqh, dan aku pula mahu menonjolkannya dalam bidang tasawuf.[52]

Pada tempat yang lain, al-Syaykh al-Mursiy pernah berkata kepada al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy: Beriltizamlah engkau, kerana demi Allah, jika engkau iltizam, nescaya engkau akan menjadi mufti dalam dua mazhab. Beliau bermaksud mazhab ahli syari‘at, ahli ilmu zahir dan mazhab ahli hakikat ahli ilmu batin.[53]

Ketokohan beliau dalam fiqh telah menyebabkan al-Faqih Nasir al-Din ibn al-Munir yang menerajui Madrasah al-Malikiyyah di Mesir ketika itu mengutamakannya berbanding murid-muridnya yang lain untuk mengajar fiqh sedangkan ketika itu beliau masih muda.[54] Sebab itulah Ibn Farhun memasukkan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam senarai ulama fiqh mazhab Malikiy dan menulis biodatanya dalam kitab tabaqat ulama Malikiyyah yang berjudul al-Dibaj al-Mudhahhab Fi Ma‘rifat A‘yan ‘Ulama’ al-Madhhab.[55] Ketokohan beliau dalam fiqh mazhab Malikiy telah menyebabkan beliau mendapat perhatian masyarakat dan kemudiannya tokoh-tokoh ulama di Iskandariah cuba membandingkannya dengan datuknya yang terkenal sebagai seorang faqih[56].

Walaupun handal dalam bidang syari‘at, namun bidang pendidikan rohani (tarbiyah ruhiyyah) adalah satu bidang yang menonjol dalam diri beliau, terutamanya setelah beliau berguru dengan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy (w686H). Beliau telah dikurniakan al-hikmah dan kemampuan untuk membangunkannya hingga ke suatu peringkat di mana ia tidak mampu dicapai dengan mudah oleh orang lain yang cuba menandinginya. Ini adalah kerana al-hikmahadalah suatu mawhibah yang tidak boleh dipelajari. Hal ini dibuktikan oleh ungkapan-ungkapan beliau dalam tafsir dan hadith, di mana beliau mampu mencecah sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh orang lain secara mentelaah, ditambah pula dengan kehebatan lafaz dan keindahan ungkapan serta gaya bahasa yang mudah dan menyeronokkan.[57]

Ketokohan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy diakui oleh para ulama sezaman dengannya dan ulama yang datang selepasnya, khususnya ilmu tafsir, hadith, fiqh, usul, bahasa dan ilmu pendidikan (tarbiyah).[58] Sebagai contoh, Ibn Farhun (w799H) menyifatkan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sebagai seorang tokoh ilmuan yang menguasai pelbagai jenis ilmu seperti tafsir, hadith, nahw, usul, fiqh, dan sebagainya. Ketokohannya dalam bidang ilmu telah dapat memanfaatkan ramai warga ilmu dan masyarakat di samping ramai pula yang mengikut jejak langkahnya dalam suluk tarekat. Beliau adalah lambang keajaiban pada zamannya dalam aspek perbicaraan dalam bidang tasawuf dan beliau mempunyai karya yang bagus dalam bidang al-wa‘z (al-hikmah).[59]

Ibn ‘Abbad (723H-792H)[60] pula menyifatkannya sebagai al-Imam al-Muhaqqiq al-‘Arif al-Waliyy al-Rabbaniy.[61] Sementara al-Syaykh Ahmad Zarruq (846H-899H) pula menyifatkan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sebagai al-Syaykh al-Imam al-‘Alim al-‘Amil al-‘Arif al-Muhaqqiq al-Kamil.[62] Al-Syaykh Nur al-Din al-Barifkaniy (1207-1268H) memujinya sebagai al-Imam al-Muhaqqiq al-‘Arif bi Allah Ta‘ala Syaykh al-Masyayikh, wa Sadr al-Majalis, wa Bahr al-Ma‘arif, Imam al-Siddiqin, Qudwat al-‘Arifin wa Burhan al-Muhaqqiqin.[63]

Tidak ketinggalan, al-Imam al-Suyutiy juga ada memuji ketokohan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sebagai seorang tokoh ilmuan yang hebat.[64] Apabila direnung kata-kata sanjungan ulama terhadap ketokohan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy, ternyata bahawa mereka lebih menumpukan sanjungan terhadap ketokohan beliau dalam bidang tasawuf yang menjadi bidang yang mengharumkan namanya ke seluruh pelosok alam. Ini jelas dapat dikenalpasti berdasarkan gelaran-gelaran seperti al-Imam al-Muhaqqiq al-‘Arif al-Waliyy al-Rabbaniy atau al-‘Arif al-Muhaqqiq al-Kamil.

Ketokohan beliau juga boleh dilihat dari aspek kemampuannya melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama (murid) yang mewarisi ilmunya, karya-karyanya dan juga aspek kepimpinan tarekatSyadhiliyyah yang akan dibicarakan dalam bahagian 7, 8 dan 9 di bawah. Kesemuanya membuktikan bahawa al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy adalah seorang tokoh ulama yang berwibawa.

7. Murid al-Syaykh al-Sakandariy

Ketokohan beliau dalam bidang tarbiyah ruhiyyah telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh tasawuf yang hebat. Antara murid-murid beliau yang menjadi tokoh ulama selepas beliau ialah:[65]

(1) Al-Syaykh Syaraf al-Din Abu Sulayman Dawud al-Bakhiliy al-Iskandariy yang merupakan tuan guru kepada datuk kepada keluarga al-Sadat al-Wafa’iyyah di Mesir, iaitu al-Sayyid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad Wafa al-Syadhiliyy (702H-765H).

(2) Al-Imam al-Muhaddith al-Mufassir Abu al-‘Abbas Syihab al-Din Ahmad ibn al-Milaq al-Sakandariy yang merupakan tokoh yang mengambil alih tugas kepimpinan tarekat al-Syadhiliyyah selepas kewafatan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.

(3) Al-Imam Taj al-Din Muhammad al-Nakhkhal, saudara kandung al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.

(4) Al-Imam al-Hafidh al-Mufassir al-Faqih al-Usuliy al-Mu’arrikh Abu al-Hasan Taqiy al-Din ‘Aliy ibn ‘Abd al-Kafi al-Subkiy al-Ansariy al-Khazrajiy (683H-756H).

8. Karya al-Syaykh al-Sakandariy

Ketokohan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam tasawuf ini disaksikan oleh beberapa buah karya sufi yang mendapat perhatian ulama besar dan menjadi rujukan utama dalam bidang tasawuf dan tarekat Syadhiliyyah. Antara karya-karya yang dihasilkan oleh beliau ialah:[66]

(1) Allah: al-Qasd al-Mujarrad Fi Ma‘rifat al-Ism al-Mufrad.[67] Ia adalah antara kitab yang terbaik dalam bidang tauhid di mana beliau telah mengarangnya mengikut metode al-Qur’an dan al-Hadith,[68] iaitu dengan cara menghuraikan tajuk-tajuk perbincangan dengan merujuk kepada banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith. Dalam kitab ini, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah menghuraikan dalam bab pertama hakikat ism Allah atau lafz al-Jalalah (Allah) dari segiisytiqaqnya, ciri-ciri keistimewaannya, rahsia-rahsianya, makna-makna huruf-huruf yang dikandung oleh lafz al-Jalalah (Allah) dan rahsia-rahsia huruf-huruf tersebut. Ia juga menghuraikan zikir ahli tauhid dan rahsia-rahsia ayat al-Kursiy. Dalam bab kedua pula, ia menghuraikan kedudukan kelebihan zikir dengan lafz al-Jalalah (Allah), kemuliaannya, rahsia-rahsianya dan kedudukan hamba dalam konteks zikir dengan lafz al-Jalalah (Allah) itu.[69]

(2) Taj al-‘Arus al-Hadi (atau al-Hawi) Li Tahdhib al-Nufus. Ia mempunyai beberapa nama lain seperti Taj al-‘Arus wa Qam‘ al-Nufus dan al-Tariqah al-Jaddah Ila Nayl al-Sa‘adah. [70] Kitab yang disusun menurut tajuk-tajuk kecil tanpa bab ini adalah sebenarnya suatu pengembaraan ke dalam jiwa atau nafsu hamba yang kelam atau gelap gelita kerana banyak berdosa dan ianya adalah suatu percubaan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy untuk mengeluarkan jiwa yang kotor dari gejala kelalaian (al-ghaflah) dan kehinaan maksiat kepada kejernihan jiwa dan kemuliaan taat kepada Allah.[71] Justeru, ia memulakan perbicaraan dengan menghuraikan konsep tawbah dan gesaan supaya manusia segera bertaubat kepada Allah. Ia seterusnya menghuraikan kesan-kesan zahir dan batin akibat perbuatan maksiat,[72] menggesa manusia supaya mempercepatkan mencari bekalan untuk menemui Allah (s.w.t.)[73] dan juga menghuraikan perkara-perkara yang menjadi penggilap hati.[74] Seterusnya, ia menghuraikanni‘mat kubra, iaitu apabila seseorang hamba dikurniakan 3 perkara; beriltizam dengan hudud-Nya, menunaikan janji-janji-Nya dan karam dalam syuhud-Nya.[75] Tajuk-tajuk kecil lain yang dibincangkan dalam kitab ini ialah tentang bagaimana langit dan bumi beradab berserta penciptanya,[76] karamat al-sahabah,[77] kekurangan dan hijab dalam diri,[78] sifat sidq bersama Allah,[79] khulwah dan ‘uzlah[80] dan berberapa tajuk kecil yang lain. Sesuai dengan nama kitab ini (Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahdhib al-Nufus) yang bererti Mahkota Pengantin Yang Mengandungi Panduan Untuk Mendidik Nafsu, secara keseluruhannya, ia adalah karya yang seolah-olahnya ditujukan kepada para muridin dan salikin yang banyak berdosa dan melakukan maksiat sehingga jiwa dan nafsu mereka menjadi kotor dan ia merupakan tips-tips atau panduan-panduan bagaimanakah mereka harus melakukan sesuatu untuk membaiki keadaan ini.

(3) Lata’if al-Minan Fi Manaqib al-Syaykh Abi al-‘Abbas al-Mursiy wa Syaykhihi Abi al-Hasan al-Syadhiliy[81]. Menurut al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam mukadimah kitab ini, objektif kitab ini ditulis ialah untuk merakamkan satu koleksi tentang kelebihan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy dan riwayat-riwayat berhubung al-Syaykh Abu al-Hasan al-Syadhiliy.[82] Faktor yang mendorong beliau menulis manaqib ini seperti yang dinyatakannya ialah kerana tidak ada seorangpun dari kalangan anak murid al-Mursiy yang tampil menulis tentang manaqib gurunya itu.[83] Justeru, kitab ini adalah rujukan asas untuk mengetahui manhaj kedua-dua orang Imam iaitu al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy dan al-Syaykh Abual-Hasan al-Syadhiliy dalam bidang tarbiyah Islamiyyah.[84] Menerusi kitab inilah, para pengkaji tentang pemikiran al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dapat menelusuri beberapa latar belakang kehidupan beliau terutamanya berhubung dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap dirinya bersama-sama dengan kedua-dua tokoh tersebut. Sebagai contoh, tentang sikap beliau terhadap golongan ahli sufi di peringkat awal kehidupan ilmiahnya termasuk sikap negatifnya terhadap gurunya al-Mursiy,[85] peristiwa pertemuan pertamanya dengan al-Syaykh Abi al-‘Abbas al-Mursiy[86]. Secara keseluruhan, karya ini adalah karya berbentuk manaqib yang dikhususkan untuk merakamkan riwayat hidup kedua-dua gurunya itu di samping kehidupan peribadinya sendiri.

(4) Al-Tanwir Fi Isqat Tadbir Kulli Tadbir Yukhriju ‘An Maqasid al-Syari‘ah.[87] Kitab ini membincangkan konsep tark al-tadbir secara amat mendalam berserta beberapa konsep lain yang mempunyai kaitan rapat dengannya seperti konsep al-taslim,[88] al-yaqin,[89]al-‘ubudiyyah,[90] al-rida[91] al-tawakkal[92] dan lain-lain. Dalam masa yang sama beliau menghuraikan konsep al-tadbir yang dimiliki secara mutlak oleh Allah (s.w.t.).[93] Menurut al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy, orang yang mahu sampai kepada Allah Ta‘ala, dia mesti mengikut manhaj yang betul, iaitu menerusi pintunya yang betul dan ianya mesti dicapai menerusi asbabnya. Perkara yang paling utama yang mesti dijauhkan, dikeluarkan dan dibersihkan dalam diri hamba ialah sifat tadbir dan melawan maqadir (takdir ketentuan Allah Ta‘ala). Justeru, kitab ini dikaranginya dengan objektif menerangkan kepada hamba bagaimana mereka boleh sampai kepada Allah menurut jalan yang sahih.[94] Kitab ini secara keseluruhannya membicarakan konsep tadbir hamba dalam menghadapi takdir Allah. Namun, ini tidak bererti bahawa semua tadbir adalah tercela. Ini kerana tadbir terbahagi kepada dua; tadbiryang terpuji iaitu tadbir yang menghampirkan diri kepada Allah Ta‘ala dan menyampaikannya kepada keredaan-Nya dan dan tadbir yang tercela iaitu tadbir yang hanya menuntut habuan dunia untuk kepentingan dirinya sendiri, bukan kerana Tuhannya, atau hanya untuk kehidupan dunianya bukan untuk kehidupan akhiratnya.[95]

(5) Al-Hikam (iaitu al-Hikam al-‘Ata’iyyah).[96] Keterangan tentang kitab ini akan dilakukan kemudian nanti kerana kajian ini akan memberikan sedikit tumpuan khusus terhadap karya agung ini kerana kepentingannya dalam konteks memahami pemikiran tasawuf al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.

(6) ‘Inwan al-Tawfiq Fi Adab al-Tariq. Ia adalah syarah kepada qasidah karya al-Imam AbuMadyan al-Tilimsani.[97] Jelas daripada tajuk kitab ini dan mukadimah pengarangnya, ia sebuah kitab yang membicarakan tentang adab al-Tariq iaitu adab-adab yang sewajarnya diikuti oleh para muridin dan salikin dalam perjalanannya menuju Allah (s.w.t.). Yang uniknya, adab-adab tersebut dikemukakan dalam bentuk huraian kepada bayt-bayt qasidah gubahan al-Imam AbuMadyan al-Tilimsani dan huraiannya adalah cukup sederhana dan padat dengan bahasa yang cukup indah dan menarik yang memang sudah menjadi salah satu keistimewaan yang sangat menonjol dalam karya-karya al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.[98]

(7) Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah fi Dhikr Allah al-Karim al-Fattah.[99] Kitab ini seperti yang jelas tertera pada tajuknya mengandungi perbincangan tentang zikir dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti hakikat zikir, kesan zikir, dalil-dalil zikir daripada al-Qur’an dan al-Hadith, kelebihan zikir, adab-adab zikir, faedah-faedah zikir, pemilihan zikir, pemilihan zikir dan proses pemindahan antara satu zikir kepada zikir yang lain dan lain-lain perkara yang sangat berkaitan dengan zikir. Ia adalah sebuah karya yang amat berfaedah dan cukup baik dalam menangani tajuk zikir secara lengkap.[100]

(8) Al-Tuhfah Fi al-Tasawwuf. Terdapat dalam bentuk manuskrip di Idarat al-Turath al-Misriyyah di bawah kategori (Tasawwuf 154/Majami‘). Kemungkinan ia adalah karya yang sama berjudul Risalah Fi al-Tasawwuf, dalam bermanuskrip di Perpustakaan Asifiyyah, Hayderabad, India.

(9) Tanbih Fi Tariq al-Qawm. Terdapat dalam bentuk manuskrip di Maktabah al-Zaytunah, Tunisia.

(10) Risalah Fi al-Suluk. Terdapat dalam bentuk manuskrip di Perpustakaan Rambur, India.

(11) Risalah Fi al-Qawa‘id al-Diniyyah. Terdapat dalam bentuk manuskrip di perpustakaan Muzium Britain dan beberapa risalah lain yang masih dalam bentuk manuskrip yang tidak perlu disebutkan di sini.[101]

9. Kepimpinan Tarekat Syadhilyyah

Kemuncak ketokohan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy ialah apabila beliau telah dipilih menggantikan gurunya al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy (w686H) untuk memimpin tarekat al-Syadhiliyyah selepas kewafatan gurunya itu.[102] Ini dapat dibuktikan menerusi penelitian terhadap senarai anak didik al-Syaykh al-Mursiy yang begitu ramai menjadi tokoh ulama terkenal, seperti al-Imam Syaraf al-Din Muhammad Ibn Hammad al-Busayriy (w659H) yang terkenal dengan qasidah al-burdahnya dalam bidang kesusasteraan agama sehingga burdahnya itu telah mendapat perhatian ramai ulama untuk dikaji dan dihuraikan dari pelbagai aspek bahasa, kesusasteraan dan pemikiran. Namun daripada keseluruhan anak didiknya itu, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy telah terpilih mewarisi ilmu tarekat dan kepimpinan tarekat al-Syadhiliyyah sekaligus membuktikan ketokohan dan kepimpinan beliau yang besar, kedudukan beliau yang istimewaan di kalangan pengikut tarekat al-Syadhiliyyah terutamanya di hati al-Mursiy sendiri dan penguasaan beliau yang tidak dapat diragui lagi dalam selok-belok ilmu tarekat al-Syadhiliyyah.

Beliau telah menyempurnakan amanah kepimpinan tarekat al-Syadhiliyyah ini selama 23 tahun sehingga kewafatannya pada tahun 709H dan kepimpinan itu telah berpindah pula kepada salah seorang daripada muridnya iaitu al-Imam al-Muhaddith al-Mufassir Abu al-‘Abbas Syihab al-Din Ahmad ibn al-Milaq al-Sakandariy.[103]

Sepanjang tempoh 23 tahun beliau memimpin tarekat al-Syadhiliyyah, banyak perkara yang telah dilakukan oleh al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy dalam konteks memperkukuhkan kedudukan organisasi tarekat tersebut, terutamanya dari segi pengukuhan doktrinnya menerusi kuliah-kuliah pengajarannya yang berterusan dan penulisan kitab-kitab yang mempunyai nilai keilmuan yang tinggi. Di samping aspek pengukuhan dari segi teori dan tasawwur yang diabadikan dalam pengajaran dan penulisan, beliau bertanggungjawab secara langsung memimpin dan mendidik pengikut tarekat al-Syadhiliyyah dari segi tarbiah rohani menerusi pengalaman rohani menurut tradisi tarekat yang diwarisi daripada al-Syadhiliy dan al-Mursiy. Antara tugasnya yang paling utama dalam konteks pentarbiahan ini ialah memberikan talqinterhadap pengikut tarekat al-Syadhiliyyah yang baru bergabung, melantik dan memberikan tauliah wakil-wakil Syaykh di seluruh pelosok Mesir, menyelia dan menangani segala permasalahan yang timbul di kalangan para pengikut tarekat al-Syadhiliyyah.

Tarekat al-Syadhiliyyah telah berkembang lebih pesat pada zaman beliau dan zaman selepas beliau, terutamanya menerusi doktrin pengajaran tarekat itu yang dicernakannya melalui kitab-kitab yang dikaranginya. Hal ini menjadi lebih terserlah lagi kerana ditakdirkan kitab-kitab karangannya tidak hanya mendapat kedudukan yang cukup istimewa di kalangan pengikut tarekat al-Syadhiliyyahsemata-mata, malah telah menembusi tembok tarekat tersebut apabila sesetengah karya karangan beliau dijadikan bahan rujukan di kalangan seluruh pencinta tasawuf dan tarekat di seluruh dunia, terutamanya kitab al-Hikam.

Di antara keistimewaan al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sepanjang kepimpinan tarekat al-Syadhiliyyah ialah penumpuan besar yang beliau berikan terhadap aspek membetulkan kefahaman para pengikutnya terhadap dasar-dasar pemikiran tasawuf. Antara perkara yang beliau tekankan ialah berkenaan bahaya kewujudan pengikut tarekat tasawuf palsu yang mendakwa mencapai ahwal. Justeru, dalam beberapa karyanya, beliau banyak mencela puak tasawuf palsu sambil menggambarkan kepalsuan dakwaan mereka sambil memberikan amaran tentang bahayanya jika mereka (murid-muridnya) terpengaruh dengan mereka.[104] Banyak kesalahan memahami tasawuf telah berjaya beliau tangani seperti konsep-konsep tawakal dan bekerja, sabar, taqwa dan lain-lain. Hal ini jelas terserlah dalam banyak karangan beliau yang kekal ditatap sehingga kini.

Pendekatan ilmiah dalam kepimpinan tarekat al-Syadhiliyyah telah menyebabkan tarekat ini mendapat perhatian ulama besar sama ada semasa zaman kepimpinannya, mahupun zaman selepasnya. Ramai ulama-ulama besar yang terhutang ilmu dengan kemantapan ilmu beliau, sehinggakan mereka memberikan fokus khusus terhadap karya-karya beliau, terutamanya kitabal-Hikam sama ada menerusi pengajaran di kuliah-kuliah mahupun huraian dalam bentuk penulisan. Justeru, tidaklah menghairankan jika didapati kitab al-Hikam berjaya meraih perhatian lebih 40 tokoh ulama besar untuk menghuraikannya sepanjang sejarah selepas kewafatannya sehingga kini.[105]

Menjadi kebiasaan dalam tradisi tarekat tasawuf bahawa setiap syaykh baru yang menggantikan kepimpinan lama akan membawa perubahan tertentu dalam organisasi tarekat yang dipimpinnya. Kebiasaannya, perubahan itu berbentuk tambahan tertentu, seperti tambahan beberapa konsep baru dan tambahan beberapa zikir baru sebagai tambahan terhadap zikir atau awrad yang telah sedia ada. Tambahan seperti ini dalam konteks tasawuf dan kajian akademik dinamakantafarrudat. Tafarrudat adalah antara keutamaan besar yang amat diberikan tumpuan khusus oleh para sufi dalam organisasi tarekat. Kajian terhadap tafarrudat ini dapat membantu menonjolkan ketokohan seseorang sufi dalam organisasi tarekat yang dipimpinnya.[106] Justeru, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy juga mempunyai beberapa tafarrudat khusus yang merupakan tokok tambah atau pembaharuan selain daripada apa yang telah sedia ada dalam tarekat al-Syadhiliyyah yang sekaligus dapat membezakan kepimpinan dalam memimpin tarekat ini dengan kepimpinan dua tokoh tarekat al-Syadhiliyyah sebelumnya. Antara tafarrudat beliau yang paling utama ialah pengukuhan doktrin tasawuf menerusi beberapa karangan berbentuk akademik yang mendapat pujian dan perhatian ulama. Kedua-dua tokoh tarekat al-Syadhiliyyah terdahulu iaitu Sayyidi Abu al-Hasan al-Syadhiliy dan al-Syaykh al-Mursiy tidak meninggalkan sebarang kitab atau penulisan.[107] Bagi kedua-dua tokoh besar tarekat al-Syadhiliyyah ini, kitab (warisan ilmu) peninggalan mereka ialah anak-anak murid mereka yang mewarisi ilmu mereka secara langsung.[108] Peninggalan mereka berdua hanya berupa sekelompok kata-kata berkenaan dengan tasawuf, sekumpulan doa dan ahzab (awrad).[109] Dengan ini, al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy menjadi Syaykh al-Tariqah al-Syadhiliyyah pertama yang menjadikan manhaj kepengarangan sebagai wadah penerusan tradisi tasawuf aliran al-Syadhiliyyah. Antara jasa terbesar al-Sakandariy dalam hal ini ialah usaha beliau mengumpulkan sebanyak mungkin kata-kata Sayyidi Abu al-Hasan al-Syadhiliy dan al-Syaykh al-Mursiy yang diriwayatkan sebelum ini hanya secara lisan dalam bentuk penulisan. Beliaulah orang pertama mengusahakan pengumpulan riwayat kata-kata dan pendapat kedua-dua tokoh tersebut, wasiat, doa-doa, wirid-wirid serta biodata kedua-duanya. Dengan usaha tersebut, beliau telah menyelamatkan turathtarekat al-Syadhiliyyah di mana jika tidak kerana usaha tersebut, sudah tentu hilang segala khazanah turath tersebut. Di samping itu, beliau juga adalah pemimpin tarekat al-Syadhiliyyahyang pertama mengusahakan penulisan penuh berkenaan dengan adab-adab tarekat al-Syadhiliyyah secara teori dan amali. Di sinilah terletaknya peranan beliau yang amat besar dalam tarekat al-Syadhiliyyah, memperkenalkan tarekat dan kaedah-kaedah tarekat tersebut.[110]Manhaj ini tidak dapat dinafikan lagi menjadi pemangkin besar kepada kesebaran pesat tarekatal-Syadhiliyyah seluruh pelosok Mesir dan seluruh dunia selepas zamannya.

12. Penutup

Demikianlah paparan ringkas berkenaan dengan seorang tokoh sufi al-Syaykh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy. Ternyata daripada paparan di atas, bahawa tokoh sufi kelahiran Iskandariah ini adalah seorang tokoh yang besar dalam ilmu tasawuf secara umumnya dan tokoh besar pula dalam organisasi tarekat Syadhiliyyah. Sumbangannya yang besar adalah dalam karya agungnyaal-Hikam dan kepimpinannya dalam memacu tarekat Syadhiliyyah di samping pengajaran sepanjang hayatnya. Beliau yang pada awalnya menentang tasawuf akhirnya dijulang sebagai tokoh pemimpin generasi ketiga tarekat Syadhiliyyah. Beliau telah dianggap sebagai pemimpin tarekat tersebut yang bertanggungjawab membukukan amalan dan ajaran tarekat Syadhiliyyahdaripada kepupusan. Dengan ini beliau telah menyelamatkan turath warisan dua tokoh terdahulu al-Syaykh Abu al-Hasan dan al-Syaykh Abu al-‘Abbas al-Mursiy dengan menjadikan penulisan sebagai cara mengekalkan warisan itu yang sebelum itu hanya diwarisi secara lisan sahaja.

Rujukan

Al-Barifkaniy, Al-Syaykh Nur al-Din ibn ‘Abd al-Jabbar al-Barifkaniy (1986), Syarh al-Hikam al-‘Ata’iyyah al-Musamma bi Talkhis al-Hikam, sunt. Muhammad Ahmad Mustafa al-Kazniy,Baghdad: al-Lajnah al-Wataniyyah li al-Ihtifal bi Matla‘ al-Qarn al-Khamis ‘Asyar al-Hijriy Fi al-Jumhuriyyah al-‘Iraqiyyah.
Al-Butiy, Prof. Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Butiy (2001), al-Hikam al-‘Ata’iyyah: Syarh waTahlil, Damsyik: Dar al-Fikr.
Al-Falimbaniy, ‘Abd al-Samad al-Falimbaniy (t.th.), Sayr al-Salikin, Pulau Pinang: Maktabah wa Matba‘ah Dar al-Ma‘arif.
Al-Fayruz’abadiy (1415/1995), Majd al-Din Muhammad ibn Ya‘qub, al-Qamus al-Muhit, Beirut: Daral-Fikr.
Al-Katbiy, Ibn Syakir (1299H), Fawat al-Wafayat, Kaherah: Bulaq.
Al-Kuhan, Abu ‘Aliy al-Hasan ibn Muhammad ibn Qasim al-Kuhan al-Fasiy al-Maghribiy (t.th.),Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra al-Musamma Jami‘ al-Karamat al-‘Aliyyah Fi Tabaqat al-Sadah al- al-Syadhiliyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Manawiy, ‘Abd al-Ra’uf al-Manawiy (t.th.), al-Kawakib al-Durriyyah Fi Tarajum al-Sadah al-Sufiyyah, Kaherah: T.P.
Al-Sakandariy (2000), Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah fi Dhikr Allah al-Karim al-Fattah, tahqiq Muhammad al-Tayyib ibn Baha’ al-Din al-Hindiy, Damsyik: Dar al-Farfur.
Al-Sakandariy, ‘Inwan al-Tawfiq Fi Adab al-Tariq dalam Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra, dalam kitab Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra, karya al-Syaykh Muhy al-Din al-Tu‘miy, Beirut, Dar al-Jil, 1996.
Al-Sakandariy, Abu al-Fadl Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah (t.th.), Allah: al-Qasd al-Mujarrad Fi Ma‘rifat al-Ism al-Mufrad, Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, t.th.
Al-Sakandariy, Abu al-Fadl Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy (1992), Lata’if al-Minan Fi Manaqib al-Syaykh Abi al-‘Abbas al-Mursiy wa Syaykhihi Abi al-Hasan al-Syadhiliy, sunt. al-Syaykh Khalid ‘Abd al-Rahman al-‘Akk, Damsyik: Dar al-Basya’ir.
Al-Sakandariy, Al-Tanwir Fi Isqat Tadbir, Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq,
Al-Sakandariy, Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahdhib al-Nufus, Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq.
Al-Suyutiy (t.th.), Bughyat al-Wu‘ah Fi Tabaqat al-Lughawiyyin wa al-Nuhat, Kaherah: Matba‘at al-Sa‘adah.
Al-Suyutiy, al-Imam Jalal al-Din al-Suyutiy (1321H), Husn al-Muhadarah Fi Akhbar Misr wa al-Qahirah, Mesir, 1321H.
Al-Taftazaniy, Abu al-Wafa al-Ghunaymi (Dr.) (1969), Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy wa Tasawwufuhu , Kaherah: Maktabah al-Anglo Al-Misriyyah.
Al-Tu‘miy, Muhy al-Din (1996), Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra, Beirut, Dar al-Jil.
Bardiy, Jamal al-Din Abu al-Mahasin Yusuf ibn Taghriy Bardiy al-Atabikiy (t.th.), al-Nujum al-Zahirah Fi Muluk Misr wa al-Qahirah, Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah.
Ibn ‘Abbad, al-Imam Muhammad ibn Ibrahim ibn ‘Abd Allah al-Nafaziy al-Rindiy (t.th.), Ghayth al-Mawahib al-‘Aliyyah Bi Syarh al-Hikam al-‘Ata’iyyah, sunt. al-Imam Prof. Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud dan Dr. Mahmud ibn al-Syarif, Kaherah: Dar al-Ma‘arif.
Ibn ‘Ajibah, Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Ajibah al-Hasaniy (t.th.), Iqaz al-Himam Fi Syarhal-Hikam, Kaherah: Dar al-Ma‘arif.
Ibn al-‘Imad al-Hanbaliy, Abu al-Falah ‘Abd al-Hay ibn al-‘Imad al-Hanbaliy (t.th.), Syadharat al-Dhahab Fi Akhbar Man Dhahab, Beirut: al-Maktab al-Tijariy li al-Tiba‘ah Wa al-Nasyr Wa al-Tawzi‘.
Ibn Farhun al-Ya‘mariy, al-Qadi Ibrahim ibn ‘Aliy ibn Muhammad (1329H), al-Dibaj al-Mudhahhab Fi Ma‘rifat A‘yan ‘Ulama’ al-Madhhab, Kaherah: T.P.
Ibn Hajar al-‘Asqallaniy, (1329H), al-Durrar al-Kaminah Fi A‘yan al-Mi’ah al-Thaminah, Kaherah: T.P.
Khalaf Allah, Ahmad ‘Izz al-Din ‘Abd Allah (t.th.), al-Hikam li Ibni ‘Ata’ Allah al-Sakandariy, AqwaDustur Tarbawiy Fi al-Qarn al-Sabi‘ al-Hijriy, Kaherah: al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath.
Shafie bin Abu Bakar, Hikam Melayu: Kajian Falsafah Dan Etika, tesis Doktor Falsafah, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, UKM, 1990.
Shaghir, Hj. Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah (1993), Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad al-Fathani, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.
Taj al-Din al-Subkiy (1324H), Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, Kaherah: T.P.
Tuk Pulau Manis, Al-Syaykh ‘Abd al-Malik ibn ‘Abd Allah (t.th.), Kitab Syarah Hikam, Pulau Pinang, Maktabah wa Matba‘ah Dar al-Ma‘arif.
Victor Dancer (1999), Mistisisme Ibnu ‘Atha’illah: Wacana Sufistik Kajian Kitab al-Hikam,Surabaya (Indonesia): Risalah Gusti.
Zarruq, Ahmad ibn Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Isa al-Burnusiy (1405H), Syarah al-Hikam, sunt. al-Imam Prof. Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud dan Dr. Mahmud ibn al-Syarif, Tarablus (Libya) : Maktabah al-Najah.
Temubual dengan Prof. Dr. ‘Abd al-Latif al-‘Abd, Profesor Falsafah Islam, Fakulti Dar al-‘Ulum, Universiti Kaherah, Mesir. Temubual 22 Disember 2003.



________________________________________
[1] Ibn Farhun al-Ya‘mariy, al-Qadi Ibrahim ibn ‘Aliy ibn Muhammad, al-Dibaj al-Mudhahhab FiMa‘rifat A‘yan ‘Ulama’ al-Madhhab, Kaherah, 1329H, hlm. 70, Taj al-Din al-Subkiy, Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, Kaherah, 1324H, jilid 5, hlm. 176, Ibn Taghriy Bardiy, op. cit., jilid 8, hlm. 280, al-Suyutiy, al-Imam Jalal al-Din al-Suyutiy, Husn al-Muhadarah Fi Akhbar Misr wa al-Qahirah, Mesir, 1321H, jilid 1, hlm. 250, al-Manawiy, ‘Abd al-Ra’uf al-Manawiy, al-Kawakib al-Durriyyah FiTarajum al-Sadah al-Sufiyyah, Kaherah, jilid 2, hlm. 257, Ibn al-‘Imad, op. cit., Ibn ‘Ajibah, Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Ajibah al-Hasaniy, Iqaz al-Himam Fi Syarh al-Hikam, Kaherah: Dar al-Ma‘arif, t.th. hlm. 23, al-Tu‘miy, Muhy al-Din, Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra, Beirut, Dar al-Jil, 1996, hlm. 116.
[2] Ibn ‘Ajibah, op.cit., hlm. 23.
[3] Ibid.
[4] Ibn Taghriy Bardiy, op. cit.; ibn al-‘Imad, op. cit. & Ibn ‘Ajibah, op.cit.
[5] Ibn Taghriy Bardiy, op. cit.; ibn al-‘Imad, op. cit. & Ibn ‘Ajibah, op.cit.
[6] Ramai penulis menyatakan bahawa beliau bermazhab Maliki seperti Ibn Farhun dalam al-Dibaj dan Ibn ‘Ajibah, namun Taj al-Din al-Subkiy menganggapnya sebagai bermazhab Syafi‘ie. Lihat al-Subkiy, op. cit., jilid 5, hlm. 176.
[7] Al-Sakandariy, Abu al-Fadl Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-Karim ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy, Lata’if al-Minan Fi Manaqib al-Syaykh Abi al-‘Abbas al-Mursiy wa Syaykhihi Abial-Hasan al-Syadhiliy, sunt. al-Syaykh Khalid ‘Abd al-Rahman al-‘Akk, Damsyik: Dar al-Basya’ir, 1992, hlm. 111.
[8] Al-Taftazaniy, Abu al-Wafa al-Ghunaymi (Dr.) (1969), Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy wa Tasawwufuhu , Kaherah: Maktabah al-Anglo Al-Misriyyah, hlm. 13.
[9] Ibn Farhun, op. cit., hlm. 167.
[10] Al-Suyutiy, op. cit., jilid 1, hlm. 215.
[11] Victor Dancer, Mistisisme Ibnu ‘Atha’illah: Wacana Sufistik Kajian Kitab al-Hikam, Risalah Gusti, Surabaya, Indonesia, 1999, hlm. 7.
[12] Al-Taftazaniy, op. cit. , hlm. 16-18.
[13] Ibn Hajar al-‘Asqallaniy, (1329H), al-Durrar al-Kaminah Fi A‘yan al-Mi’ah al-Thaminah, Kaherah: T.P., jilid 1, hlm 374.
[14] Al-Fayruz’abadiy (1415/1995), Majd al-Din Muhammad ibn Ya‘qub, al-Qamus al-Muhit, Beirut:Dar al-Fikr, kata entri kahl.
[15] Semua penulis sejarah Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy mencatatkan tarikh kewafatan beliau pada tahun 709H melainkan al-Sya‘raniy sahaja yang menukilkan bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 707H. Lihat al-Tabaqat al-Kubra, , jilid 2, hlm. 19.
[16] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm 147.
[17] Bardiy, op. cit., jilid 7, hlm. 371, al-Suyutiy, op. cit. jilid 1, hlm. 249, al-Maqriziy, op. cit., jilid 8, bahagian tiga, hlm. 738.
[18] Lihat secara terperinci hujah dan keterangan berhubung teori penentuan tarikh lahir Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy yang dilakukan oleh al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 16-18.
[19] Al-Sakandariy, op. cit., hlm 146-147.
[20] Khalaf Allah, Ahmad ‘Izz al-Din ‘Abd Allah, al-Hikam li Ibni ‘Ata’ Allah al-Sakandariy, AqwaDustur Tarbawiy Fi al-Qarn al-Sabi‘ al-Hijriy, al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath, Kaherah, t.th. hlm. 44.
[21] Al-Tu‘miy, op. cit. hlm. 140.
[22] Khalaf Allah, op. cit.
[23] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 18-19.
[24] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm 147.
[25] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 19.
[26] Ibid.
[27] Ibid, hlm. 19-20.
[28] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm 143.
[29] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 18-19.
[30] Ibid, hlm. 24.
[31] Khalaf Allah, op. cit., hlm. 44.
[32] Lihat al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 20-24.
[33] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm 20.
[34] Ibn Farhun, op. cit., hlm 71.
[35] Al-Katbiy, Ibn Syakir, Fawat al-Wafayat, Kaherah, Bulaq, 1299H, hlm. 72. Lihat Al-Taftazaniy,op. cit., hlm.30-31.
[36] Sebagai contoh, lihat al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm. 144 yang telah dipetik sebelum ini ketika membincangkan keturunan Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy.
[37] Al-Suyutiy, Husn al-Muhadarah, op. cit. jilid 1, hlm. 181.
[38] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm. 72 dan 73-74.
[39] Ibn Hajar al-‘Asqallaniy (1329), op. cit., hlm 274.
[40] Al-Suyutiy, Bughyat al-Wu‘ah Fi Tabaqat al-Lughawiyyin wa al-Nuhat, Matba‘at al-Sa‘adah, Kaherah, 1327, hlm. 6.
[41] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 21.
[42] Al-Katbiy, op. cit., jilid 2, hlm. 172-173.
[43] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm 21.
[44] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm. 57.
[45] Al-Taftazaniy, op. cit., hlm 22.
[46] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm. 136.
[47] Al-Subkiy, op. cit., hlm 41-42.
[48] Muhammad Ahmad Hasab Allah, dalam mukadimahnya untuk Iqaz al-Himam Fi Syarhal-Hikam, karya Ibn ‘Ajibah, Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Ajibah al-Hasaniy, Kaherah: Dar al-Ma‘arif, t.th. hlm. 8.
[49] Beliau adalah bapa kepada al-Imam Taj al-Din al-Subkiy, pengarang kitab Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra yang masyhur.
[50] Al-Butiy, Prof. Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Butiy, al-Hikam al-‘Ata’iyyah: Syarh waTahlil, Dar al-Fikr, Damsyik, 2001, hlm. 9.
[51] Khalaf Allah, op. cit. hlm. 46.
[52] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, op. cit. hlm. 144.
[53] Ibid. hlm. 148.
[54] Al-Taftazaniy, op. cit. hlm. 31.
[55] Ibn Farhun, op. cit., hlm. 70.
[56] Victor Danver, op. cit.
[57] Khalaf Allah, op. cit. hlm. 46.
[58] Ibid.
[59] Ibn Farhun, op. cit. hlm. 70.
[60] Al-Imam Muhammad ibn Ibrahim ibn ‘Abd Allah al-Nafaziy al-Rindiy yang tersohor dengan nama Ibn ‘Abbad, salah seorang ulama besar dalam bidang tasawuf yang telah menulis huraianal-Hikam al-‘Ata’iyyah yang dianggap antara huraian yang terbaik.
[61] Ibn ‘Abbad, al-Imam Muhammad ibn Ibrahim ibn ‘Abd Allah al-Nafaziy al-Rindiy, Ghayth al-Mawahib al-‘Aliyyah Bi Syarh al-Hikam al-‘Ata’iyyah, sunt. al-Imam Prof. Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud dan Dr. Mahmud ibn al-Syarif, Dar al-Ma‘arif, Kaherah, hlm. 2.
[62] Zarruq, Ahmad ibn Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Isa al-Burnusiy, Syarah al-Hikam, sunt. al-Imam Prof. Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud dan Dr. Mahmud ibn al-Syarif, Maktabah al-Najah, Tarablus, Libya, t.th. 1405H, hlm. 30.
[63] Al-Barifkaniy, Al-Syaykh Nur al-Din ibn ‘Abd al-Jabbar al-Barifkaniy, Syarh al-Hikam al-‘Ata’iyyah al-Musamma bi Talkhis al-Hikam, sunt. Muhammad Ahmad Mustafa al-Kazniy, al-Lajnah al-Wataniyyah li al-Ihtifal bi Matla‘ al-Qarn al-Khamis ‘Asyar al-Hijriy Fi al-Jumhuriyyah al-‘Iraqiyyah, Baghdad, 1986, hlm.117.
[64] Al-Suyutiy, Husn al-Muhadarah, op. cit. jilid 1, hlm. 241.
[65] Khalaf Allah, op.cit., hlm. 47. Lihat juga al-Taftazaniy, op. cit., hlm. 26-28.
[66] Nama-nama karya Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy ini dikutip daripada beberapa sumber seperti Khalaf Allah, op. cit., hlm. 47-52, al-Taftazaniy, op. cit. hlm. 98-116, Ibn ‘Ajibah, op. cit. hlm. 24 dan Shafie Abu Bakar (1990), Hikam Melayu: Kajian Falsafah Dan Etika, tesis Doktor Falsafah, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, UKM, hlm. 588-594. Keterangan ringkas tentang karya tersebut pula diambil daripada sumber-sumber yang akan dinyatakan atau dilakukan oleh penulis sendiri.
[67] Ia telah dicetak beberapa kali, antaranya ialah cetakan Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, mempunyai 100 halaman bersaiz kecil.
[68] Khalaf Allah, op. cit., hlm. 47.
[69] Al-Sakandariy, Allah: al-Qasd al-Mujarrad Fi Ma‘rifat al-Ism al-Mufrad, Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, t.th.
[70] Ia telah dicetak beberapa kali, antaranya cetakan Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, mempunyai 96 halaman bersaiz kecil.
[71] Al-Sakandariy, Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahdhib al-Nufus, Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, hlm. 3. Ia adalah kata pengantar penerbit kitab berkenaan dengan tambahan daripada penulis.
[72] Ibid., hlm. 9-16.
[73] Ibid., hlm. 16.
[74] Ibid., hlm. 34.
[75] Ibid., hlm. 34-36.
[76] Ibid., hlm. 39.
[77] Ibid., hlm. 44.
[78] Ibid., hlm. 47.
[79] Ibid., hlm. 50.
[80] Ibid., hlm. 58.
[81] Ia telah dicetak beberapa kali dan disunting atau ditahqiq oleh beberapa orang ulama, antaranya ialah cetakan yang diusahakan oleh Dar al-Basya’ir, Damsyik, Syria, 1992, suntingan al-Syaykh Khalid ‘Abd al-Rahman al-‘Akk.
[82] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm. 49-50.
[83] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm 51.
[84] Khalaf Allah, op. cit. hlm. 48.
[85] Al-Sakandariy, Lata’if al-Minan, hlm 146-147.
[86] Ibid., hlm. 147.
[87] Ia telah dicetak beberapa kali, antaranya ialah cetakan yang diusahakan oleh Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah, Kaherah, mempunyai 476 halaman dan cetakan Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, mempunyai 316 halaman bersaiz kecil.
[88] Al-Sakandariy, Al-Tanwir Fi Isqat Tadbir, Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, hlm. 13-34, 99-104.
[89] Ibid., hlm. 35-38.
[90] Ibid., hlm. 65-67.
[91] Ibid. hlm. 76-90..
[92] Ibid. hlm. 235-250.
[93] Ibid. hlm. 40-64 dan 91-98.
[94] Ibid. hlm. 12.
[95] Al-Sakandariy, Al-Tanwir Fi Isqat Tadbir, op. cit., hlm. 110-115, ringkasan.
[96] Terlalu banyak cetakan yang dilakukan untuk kitab ini, terutamanya al-Hikam al-‘Ata’iyyahyang disertakan syarahnya yang pelbagai jenis.
[97] Ia telah dicetak dalam kitab Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra, karya al-Syaykh Muhy al-Din al-Tu‘miy, Beirut, Dar al-Jil, 1996.
[98] Lihat ‘Inwan al-Tawfiq Fi Adab al-Tariq dalam Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra, op. cit. hlm. 118-132.
[99] Ada khilaf dari segi kesahihan karya ini sama ada ia adalah karya Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy atau sebaliknya. Isma‘il Basya ibn Muhammad Amin al-Babaniy al-Baghdadiy dalam kitabnya Hadiyyat al-‘Arifin menganggapnya sebagai salah sebuah karya beliau. Lihat Khalaf Allah, op. cit. hlm. 52. Beberapa cetakan kitab ini telah meletakkan nama Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy sebagai pengarangnya seperti cetakan Dar Jawami‘ al-Kalim, Kaherah, tanpa nama penyunting atau pentahqiq, sebanyak 180 halaman bersaiz kecil dan cetakan Dar al-Farfur, Damsyik, 2000 dengan tahqiq Muhammad al-Tayyib ibn Baha’ al-Din al-Hindiy sebanyak 208 halaman bersaiz sederhana.
[100] Lihat al-Sakandariy, Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah fi Dhikr Allah al-Karim al-Fattah,tahqiq Muhammad al-Tayyib ibn Baha’ al-Din al-Hindiy, Dar al-Farfur, Damsyik, 2000.
[101] Sila lihat beberapa karya Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandariy yang masih dalam bentuk manuskrip dalam Khalaf Allah, op. cit. hlm. 47-52.
[102] Muhammad Ahmad Hasab Allah, dalam Ibn ‘Ajibah, op. cit. hlm. 12.
[103] Khalaf Allah, op. cit., hlm. 47.
[104] Al-Sakandariy, al-Tanwir, hlm. 44-45.
[105] Untuk melihat senarai lengkap nama-nama kitab syuruh al-Hikam al-‘Ata’iyyah , sila rujuk Khalaf Allah, op. cit., hlm. 75-91.
[106] Al-‘Abd., ‘Abd al-Latif al-‘Abd. (Prof. Dr.), Profesor Falsafah Islam, Fakulti Dar al-‘Ulum, Universiti Kaherah, Mesir. Temubual 22 Disember 2003.
[107] Al-Taftazaniy, op.cit., hlm. 59. Lihat juga al-Kuhan, Abu ‘Aliy al-Hasan ibn Muhammad ibn Qasim al-Kuhan al-Fasiy al-Maghribiy, Tabaqat al-Syadhiliyyah al-Kubra al-Musamma Jami‘ al-Karamat al-‘Aliyyah Fi Tabaqat al-Sadah al- al-Syadhiliyyah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, hlm. 61.
[108] Lihat al-Kuhan, ibid.
[109] Al-Taftazaniy, op.cit., hlm. 59.
[110] Ibid.



Diambil daripada laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus