BIOGRAFI SYEIKH TAREKAT

BIOGRAFI RINGKAS

SHAIKH DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI (019-451 8873)
(B.A., M.A. dan Ph.D. Universiti Malaya)
Yang Berbahagia Dr Hj Jahid bin Hj Sidek dilahirkan pada 11 Februari, 1940 di Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada awal bulan Mei, 1969. Pada Tahun 1972 beliau memperolehi Ijazah peringkat Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Seterusnya beliau memperolehi Ijazah peringkat Sarjana (M.A.) dalam bidang Usul Fekah (1975) dan Ijazah peringkat Kedoktoran (Ph.D.) daripada Universiti yang sama (1992) dalam bidang Tasawwuf. Beliau kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Kedoktoran (Ph.D) yang ke 2 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) pengkhususan Rawatan Islam.
Pada awal bulan Januari, 1972 beliau dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, Muar, Johor. Pada tahun 1973 beliau dilantik sebagai Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sastera Universiti Malaya. Pada Tahun 1994 beliau dipindahkan bertugas di Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya sehingga beliau bersara pada akhir tahun 1995. Pada tahun 1993 beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya sehingga beliau bersara.
KEGIATAN DAKWAH
Beliau telah giat mengajar di masjid dan surau di sekitar Lembah Klang mulai dari akhir tahun 70 an lagi. Kegiatan Dakwah yang dilakukan makin rancak apabila beliau berhijrah daripada Petaling Jaya ke Kampung Melayu Sri Kundang. 

Di Kampung yang baru dibuka, beliau bersama-sama penduduk Kg Melayu Sri Kundang telah mendirikan sebuah surau yang kemudiannya dinaiktaraf sebagai Masjid An-Nur, Kg Melayu Sri Kundang. Beliau juga pernah menjawat sebagai Nazir atau Pengerusi di Masjid tersebut selama 15 tahun. Di samping itu beliau telah mengasaskan Sekolah Agama Rakyat yang diberikan nama Sekolah Agama Rakyat An-Nur. Sekolah tersebut telah diambil alih oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 1998 dan sekarang menjadi Sekolah Rendah Agama di bawah JAIS. 


Mulai tahun 1993 beliau meningkatkan kegiatan dakwah ke beberapa buah negeri di Malaysia termasuk di negeri Johor, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak. Di Johor Bahru beliau mempunyai cawangan sebuah Madrasah iaitu Madrasah Babul Khayrat yang terletak di Jalan Suka, Kg Melayu Majidee, Johor Baru dan di Pahang Kuantan juga ada sebuah Madrasah Manaratil ‘Ilmi.



Beliau bersama murid-muridnya telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) dan didaftarkan tahun 2006, antara aktiviti utama BUDI ialah mengadakan aktiviti dakwah bersama pihak ketiga kerajaan atau swasta melalui seminar, kursus, menubuhkan Pusat Perlindungan Pesakit HIV Astana BUDI dan Pusat Rawatan Islam Manarah (MANARAH) yang terletak di Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, Bandar Baru Sg Buloh, Selangor Darul Ehsan.
Dakwah beliau lebih tertumpu kepada Ilmu Tasawwuf. Beliau juga belajar dan beramal dengan tiga aliran tarekat iaitu Naqshabandiah Khalidiyyah, Ahmadiah dan Qadariyyah.
Beliau telah dilantik oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai Ahli Majlis Tariqah-Tariqah Sufiyah (JILSAH TURUQ SUFIYYAH) di bawah Enakmen Tarekat Tasawwuf Negeri Sembilan pada Mac 2007 hingga kini.
Untuk meluaskan bidang dakwahnya, beliau telah membuka Pusat Rawatan Islam Manarah (PRIM). Kaedah rawatan yang digunakan dikenali sebagai Kaedah Refleksologi Islam yang jarang dilakukan oleh pengamal-pengamal rawatan tradisional secara Islam. Pusat Rawatan Islam Manarah ini juga telah berkembang luas dengan tertubuhnya beberapa cawangan di seluruh Malaysia seperti di Johor Bahru, Batu Pahat, Kuantan, Dungun, Kuala Terengganu dan Miri. Pusat Operasi PRIM terletak di Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, Rawang Selangor Darul Ehsan.
Dalam perubatan Tradisional Islam beliau telah berjaya mendirikan sebuah Pusat Perlindungan Penjagaan dan Rawatan para pesakit HIV yang beragama Islam dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Pusat tersebut dikenali sebagai Istana Budi yang sekarang telah menempatkan 20 orang pesakit. Perlu disebutkan mungkin pusat perlindungan inilah yang mula-mula ditubuhkan yang seumpamanya di Malaysia. Pusat perlindungan ini sangat menarik perhatian ramai terutamanya perkara yang berkait dengan rawatan refleksologi Islam yang digunakan untuk merawat pesakit di samping perubatan moden. Beliau telah dianugerahkan TOKOH PEMULIHAN AR-RIQAB oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atas kesungguhan dan kegigihan tersebut.
Beliau telah dilantik sebagai Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Dalam Bidang Perubatan Islam daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 19hb September, 2012
Dalam bidang dakwah juga beliau boleh dikatakan hampir setiap malam mengajar di Masjid dan Surau terutamanya di Lembah Klang begitu juga di Pejabat-pejabat kerajaan dan swasta di siang hari. Beliau juga ada mengajar tempat-tempat yang jauh seperti di Johor, Muar, Kuantan, Sarawak dan lain-lain.
Beliau juga sering mengadakan seminar mengenai Ilmu Tasawwuf dan Tarekat juga mengenai Rawatan Tradisional Islam. Berpuluh-puluh kertas kerja telah dihasilkan mengenai tasawwuf dan tarekat juga mengenai Rawatan Tradisional Islam. Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ialah Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada Perspektif Islam, Tokoh-tokoh dan Peristiwa Penting Sejarah Islam, Strategi Menjawab Sejarah Islam, Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman (Terjemahan Kitab), Shaikh dalam Ilmu Tariqah, Kedudukan Qiyas Dalam Perundangan Islam, Membentuk Jiwa Sufi dan lain-lain. Sekarang beliau sedang menyiapkan 2 buah buku yang pertama mengenai Perubatan Refleksologi Islam dan kedua mengenai permasalahan Adab di Dalam Ilmu Tasawwuf.
Beliau telah aktif menulis di akhbar dan majalah sejak berusia 17 tahun dengan artikel pertama terbit di Majalah Warta, Jabatan Agama Islam Johor. Menjadi penulis di Majalah al-Islam, Q & A, Anis, Pengasuh sehingga ke Akhbar Utusan, Kalam.
SENARAI KERTAS KERJA TASAWWUF@SUFI@TAREKAT
  1. (01 Disember, 2012) Simposium Tarekat Tasawwuf – Siri 3, Tajuk: “FANA’, YAQAZAH DAN KASYAF” Anjuran: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah, Seremban. Tempat: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah
  2. (05 FEBRUARI, 2012) Maulidur Rasul 1433h, Tajuk: “USWAH HASANAH; CABARAN DALAM TA’ALIM, TARBIYYAH DAN TARQIYYAH”, Anjuran: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah Seremban Kerjasama: Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Tempat: Madrasah As-Saidiyyah Kg Pondok Rasah Seremban.
  3. (03 Disember, 2011) Simposium Tarekat Tasawwuf – Siri 2, Tajuk: “PENYAKIT-PENYAKIT DAN MASALAH DALAM PENGAMALAN ILMU TAREKAT” Anjuran: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah, Seremban. Tempat: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah
  4. (24 Julai, 2011) Seminar Kefahaman Tarekat Tasawwuf, Tajuk: “PRINSIP-PRINSIP PENTING ILMU TAREKAT” Anjuran: Qolbu Solehin Consultancy, Tempat: Kompleks Perpaduan Kamunting, Kg Expo Kamunting Taiping Perak Darul Ridzuan.
  5. (14 Mei, 2011) Simposium Tarekat Tasawwuf – Siri 1, Tajuk: “PRINSIP-PRINSIP DALAM ILMU TAREKAT” Anjuran: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah, Seremban. Tempat: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah
  6. (20hb Februari, 2011) Ceramah Perdana Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H, Tajuk: “MENCINTAI RASULULLAH S.A.W”. Anjuran: Madrasah Saidiyyah, Kg Pondok Rasah, Seremban, Negeri Sembilan. Tempat: Madrasah As-Saidiyyah, Kg Pondok Rasah.
  7. (25 – 26 Mac 2007) Seminar Perubatan Islam & Pemurnian Tasawwuf, Tajuk: “KEPENTINGAN TASAWWUF DALAM PENINGKATAN ILMU DAN AMAL” Anjuran: Persatuan Pelajar Mahasiswa Pahang Dewan Abbasiah Kaherah, Dengan Kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah Mesir, Tempat: Dewan Abbasiah Kaherah, Mesir.
  8. (22 Disember, 2007) Seminar Tasawwuf Negeri Sembilan 2007, Tajuk: “PENYAKIT-PENYAKIT HATI: PUNCA DAN KAEDAH RAWATANNYA MENURUT PRINSIP TASAWWUF”, Anjuran: Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Tempat: Allson Klana Resort Seremban.
  9. (25 Mac 2005) Seminar Kefahaman Tasawwuf Dan Penghayatannya Tajuk: “SUMBER ILMU DALAM TASAWWUF: PENGALAMAN PENGAMAL”. Anjuran : Anugerah HRM Consultant Sdn Bhd. Tempat : Dewan Kuliah 7, N24, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor
  10. (25 Mac, 2005) Seminar Kefahaman Tasawwuf Dan Penghayatannya, Tajuk: “KEDUDUKAN DAN KEPENTINGAN TAREKAT DALAM ISLAM”, Anjuran: Anugerah HRM Consultant Sdn Bhd, Tempat: Dewan Kuliah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bharu.
  11. (10 – 11 Januari, 2004) Simposium Peradaban Ilmu Dan Ketamadunan Islam (SPIKE ’04). Tajuk: “HUBUNGAN TASAWWUF DENGAN SUNNAH, KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN TOKOH-TOKOH SUFI DALAM PEMBINAAN TAMADUN” , Anjuran: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) Dengan Kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) ALUMNI UTM, Masjid Sultan Islam (MSI)
  12. (09 – 10 Ogos, 2003) Seminar Tasawwuf Kebangsaan, Tajuk: “DHIKRULLAH: ANTARA SUNNAH DAN BID’AH”, Anjuaran Jabatan Mufti Negeri Sembilan dengan Kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tempat: Allson Klana Resort Seremban Negeri Sembilan.
  13. (17 – 19 Ogos 2002) Seminar Dakwah Tariqah Tasawwuf Antarabangsa, Tajuk: “SALAH FAHAM TERHADAP SHAIKH DAN MURID DALAM TAREKAT TASAWWUF”, Anjuran Bersama: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan,
  14. Seminar Tasawwuf, Tajuk: “TAREKAT DAN TASAWWUF: MEHNAH DAN TRIBULASI” Anjuran: Persatuan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.
  15. Seminar Kefahaman Tasawwuf Islam, Tajuk: “KEPIMPINAN TAREKAT/TASAWWUF SATU PENJELASAN” Anjuran: Universiti Putra Malaysia (UPM)
  16. Muzakarah Ulama’, Tajuk: “ILHAM, KASYAF DAN ILMU LADUNI MENURUT PANDANGAN AHLI TASAWWUF”, Anjuran: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hotel Marriot Putrajaya.
  17. Seminar Kefahaman Islam, Tajuk: “PERANAN MANHAJ SUFIYYAH KE ARAH TAZKIYAH AN-NAFS”, Anjuran: Sekretariat, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)
  18. Seminar Solat, Tajuk: “SEMBAHYANG YANG KHUSYUK”, Anjuran: Masjid al-Falah USJ 9 Subang Jaya
  19. Seminar Kepimpinan UM, Tajuk: “KEPENTINGAN AKHLAK ISLAMIAH DALAM KEPIMPINAN ISLAM”, Anjuran: Kolej Kediaman Kelima UM.
  20. “AMALAN SULUK/KHALWAT DALAM TASAWWUF”
  21. (16 – 18 September, 1995) Forum Tasawwuf Islam Antarabangsa, Tajuk: “PERKEMBANGAN TAREKAT NAQSYABANDIAH DI MALAYSIA” (Bahasa Arab), Anjuran: Ketua Lembaga Wakaf, Libya, Tempat: Tripoli, Libya