Wednesday, October 14, 2009

BIOGRAFI SHAIKH UMAR BIN MUHAMMAD BATU PAHAT


Shaikh Hj. Umar bin Muhammad adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan,Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.