Rabu, 14 Oktober 2009

BIOGRAFI AL-MARHUM TUAN GURU IMAM HJ ISHAQ BIN MUHAMMAD 'ARIF AL-JAWI

BIOGRAFI SHAIKH IMAM ISHAK BIN MUHAMAD ARIF AL-JAWI


NAMA LENGKAP
Nama lengkap tuan guru Imam Hj Ishaq ialah Ishaq bin Muhammad Arif bin Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut bin Merah Mas. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Hj. Ishaq.Tuan Hj. Ishaq dilahirkan pada tahun 1908 di kampung Rawa, Cemur, Perak. Beliau adalah anak bongsu daripada enam orang adik beradik yang terdiri dari tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan.

Datuk dan nenek beliau di sebelah ayahanda beliau adalah dari keturunan keluarga Kesultanan Rawa, Sumatera, Indonesia. Datuk lelaki beliau yang bernama Sutan Tujuan Saka bin Sutan Limbang Laut itu telah meninggalkan tanah Rawa, Sumatera, berhijrah ke Malaysia dan terus ke Pahang di sekitar tahun 1830-an iaitu lebih kurang 170 tahun yang lalu. Selain beliau, kedapatan ramai juga dari kalangan adik-beradik dan saudara mara beliau yang lain yang turut sama berhijrah ke Semenanjung Malaysia yang pada masa itu disebut Tanah Melayu. Antara mereka ialah Fakih Khalifah Saka yang bergelar Sutan Segentar Alam iaitu abang kandung beliau, Khatib Abdullah iaitu saudara sepupu beliau dan Dato’ Pertemuan iaitu bapa saudara beliau dari sebelah ibu.

Tidak lama sesudah berada di Pahang, maka datuk beliau itu telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Siti Umai, anak perempuan Dato' Paduka iaitu hasil perkahwinan beliau dengan Halimah. Dato' Paduka adalah seorang bangsawan yang berasal dari Kampar, Sumatera.Dato' Paduka inilah yang telah datang ke Pahang dan membuka kampung Temau, Dong, Raub yang mana pada masa dahulu ia dikenali sebagai kampung Lata Limau. Perkahwinan Sutan Tujuan Saka dengan Siti Umai tersebut, telah melahirkan enam orang anak iaitu Soman, Muhammad Arif, Mahida, Muhammad Amin, Ahmad dan Muhammad Diah. Sutan Tujuan dan bapa mertuanya iaitu Dato' Paduka, telah meninggal dunia di Temau dan jenazah kedua-duanya itu dimakamkan di tanah perkuburan Bukit Kepayang, Temau.

AYAHANDA
Ayahanda Tuan Hj. Ishaq iaitu Muhammad Arif ialah seorang yang lama berkhidmat di bawah pemerintahan kesultanan Pahang iaitu pada zaman pemerintahan al-Marhum Sultan Ahmad. Beliau masih dapat mewarisi sifat-sifat kepahlawanan dotok-nenek beliau. Beliau pernah menjadi salah seorang panglima tentera Pahang dan dikenali di zaman beliau itu sebagai Panglima Perang Muhammad Arif. Beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan seperjuangan beliau seperti Imam Perang Yusuf bin Tan Ibrahim dan Panglima Alam, pernah beberapa kali mengetui tentera Pahang di dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti peperangan yang dikenali sebagai Perang Tengku Wan Aman.

Muhammad Arif juga telah turut memimpin tentera Pahang di dalam peperangan yang berlaku di negeri Selangor seperti Perang Sayyid al-Masyhur yang dikenali juga oleh orang-orang Pahang sebagai Perang Sayyid Suhur dan peperangan saudara antara Tengku Kudin dengan Raja Mahdi. Dalam peperangan yang berlaku di antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi tersebut, beliau memihak dan membantu Tengku Kudin. Muhammad Arif juga selalu bersama-sama dengan Dato’ Gajah iaitu panglima Pahang dan juga dengan anak beliau iaitu Dato’ Mat Kilau.

Muhammad Arif pada mulanya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Zulihan. Ayahanda Zulihan berasal dari Selangor dan ibunya pula berasal dari kampung Dong, Raub, Pahang. Beliau kemudiannya telah menceraikan Zulihan dan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Shamsiah. Ibu Shamsiah bernama Zuyah iaitu anak kepada Fakih Tan Fakih Ali. Hasil perkahwinan beliau dengan Zuyah tersebut, beliau telah dikurniakan seorang anak bernama Itam. Beliau kemudiannya menceraikan Shamsiah dan terus mengembara ke Perak dan menetap di Gopeng. Di Gopeng, Muhammad Arif mengahwini seorang lagi perempuan yang bernama Qamariah yang berketurunan Rawa. Namun kemudiannya beliau menceraikan Qamariah tersebut dan kembali ke Pahang. Di Pahang, beliau telah mengahwini Hindun atau Nujumah binti Tengku Nahmad iaitu bonda kepada Tuan Hj. Ishaq.

BONDA
Bonda Tuan Hj. Ishaq berasal dari keturunan orang kenamaan di Selangor. Tengku Nahmad yang asalnya berketurunan Siak, Sumatera, telah mengembara dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia dan menetap di kampung Kuantan, Klang, Selangor. Di sana beliau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Ubah. Setelah beberapa lama tinggal di kampung Kuantan tersebut, Tengku Nahmad telah mengahwini seorang perempuan yang bernama Maryam yang berasal dari kampung Teluk Pulai, Kelang iaitu anak saudara kepada Dato’ Buang. Hasil perkongsian hidup dengan Maryam tersebut, Tengku Nahmad telah dikurniakan dua orang anak iaitu Maryam dan Hindun. Tengku Nahmad kemudiannya telah meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di daerah Kajang (Hulu Langat).

Apabila berlakunya peperangan di Selangor yang dikenali dengan nama perang Raja Mahdi, maka Maryam telah meninggalkan kampung Teluk Pulai kerana melarikan diri dari huru-hara peperangan tersebut dengan membawa bersama kedua-dua orang anaknya itu. Hindun pada masa itu masih kecil lagi iaitu berumur kurang dari tiga tahun. Selepas itu Maryam terus melarikan diri sehingga sampai ke Bidur, Perak dan di sana anaknya yang bernama Kalthom telah meninggal dunia. Maryam kemudiannya meninggalkan Bidur dan menuju pula ke Pahang iaitu ke kampung Gali, Dong.
Di Dong, Maryam dan anaknya itu tinggal di rumah Hajjah Syarifah, anak kepada Fakih Khalifah Saka (Sutan Segentar Alam) iaitu abang kepada Sutan Tujuan Saka. Hindun telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Hajjah Syarifah kerana beliau sendiri secara kebetulannya tidak mempunyai anak. Nama Hindun kemudiannya telah ditukarkan kepada Nujumah. Setelah dewasa, Nujumah dikahwinkan dengan Muhammad Arif, ayahanda Tuan Hj. Ishaq, iaitu saudara sepupu dengan Hajjah Syarifah tersebut. Kemudian, Muhammad Arif telah membawa isteri dan mertuanya itu berpindah ke Perak dan menetap di sebuah perkampungan yang bernama Pelong iaitu satu tempat yang terletak di antara Cemur dan Sungai Siput. Di Pelong itulah bonda Nujumah meninggal dunia dan dimakamkan di perkuburan kampung tersebut.

Sewaktu menetap di Pelong, Muhammad Arif pernah berkerja mengambil upah menebang hutan untuk membina jalan keretapi di antara Ipoh dan Kuala Kangsar yang mana pada waktu itu masih belum ada perhubungan jalan keretapi di antara kedua-dua bandar tersebut. Ketika berada di Pelong, beliau telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Manan, Sa`diah dan kemudian Khadijah. Setelah lama berada di Pelong, beliau telah didatangi oleh seorang yang bernama Qasim iaitu saudara sepupu beliau lalu mengajak beliau berpindah ke Cemur, Perak, kerana di Cemur itu, menurutnya, terdapat ramai kaum kerabat Sutan Tujuan Saka. Memandangkan ramai orang Melayu yang telah berpindah ke tempat lain sehingga yang tinggal di Pelong itu hanya beberapa buah sahaja rumah yang didiami oleh orang-orang Melayu di samping yang ramai tinggal di situ adalah terdiri dari orang-orang Cina yang kebanyakan mereka berkerja sebagai pemotong papan, maka beliau pun akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Cemur.

Ketika menetap di Cemur inilah Tuan Hj. Ishaq dilahirkan, begitu juga dengan abang kandung beliau, Ayub. Walau bagaimanapun, di Cemur ini jugalah berlakunya perkara yang sangat mendukacitakan. Bonda Tuan Hj. Ishaq, Nujumah (Hindun), telah meninggal dunia pada tahun 1914 di kampung Rawa, Cemur. Pada masa itu Tuan Hj. Ishaq masih kanak-kanak lagi iaitu berumur lebih kurang enam tahun. Setelah kewafatan bonda Tuan Hj. Ishaq, kaum keluarga beliau di Pahang, khasnya di daerah Raub, meminta serta mendesak supaya ayahanda beliau, Muhammad Arif, berpindah ke Pahang. Pada tahun 1915, keluarga beliau telah berpindah ke Pahang dan terus menetap di Kampung Pasir Bayam, Dong, Raub. Setelah lebih kurang lapan tahun berada di Pahang, maka pada tahun 1923, ayahanda Tuan Hj. Ishaq pula meninggal dunia, ketika berusia 75 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kuala Gali. Tuan Hj Ishaq pada masa itu masih remaja iaitu berumur lebih kurang 15 tahun.

Kematian ayahanda beliau itu menjadikan beliau yatim piatu. Walau bagaimanapun beliau kemudiannya telah dipelihara pula oleh saudara sepupu beliau yang bernama Muhammad Tahir bin Osman bin Sutan Tujuan yang tinggal di Kampung Pasir Bayam, Dong. Dua tahun setelah kematian ayahanda beliau iaitu dalam tahun 1925, beliau pun mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan yang bernama Rubiah binti Awaludin yang berasal dari kampung Bukit Kemuning, Dong. Usia beliau pada waktu itu agak muda iaitu lebih kurang 17 tahun. Dalam tahun yang sama beliau telah berpindah ke kampung Bukit Kemuning bagi menjalani hidup berkeluarga.

Tuan Hj. Ishaq menyara hidup keluarga beliau dengan berkebun dan bersawah padi. Beliau juga pandai bertukang dan beliau adalah merupakan salah seorang tukang rumah yang agak mahir. Beliau juga ada membuka kelas pengajian al-Qur’an, fardu ain dan qasidah di rumah beliau di kampung Bukit Kemuning dengan dibantu oleh isteri beliau, Rubiah. Tidak hairanlah kalau rumah beliau itu sentiasa saja dipenuhi dengan murid-murid beliau yang datang untuk belajar ilmu-ilmu agama.

Tuan Hj. Ishaq adalah merupakan seorang imam dan amil masjid yang bertauliah yang agak lama berkhidmat memegang jawatan beliau itu, iaitu semenjak awal tahun 1930-an sehinggalah pertengahan tahun 1960-an. Beliau dengan sebulat suara telah dilantik sebagai imam serta amil masjid di kampung Lecar, mukim Dong pada tahun 1931. Ketika itu beliau telah berusia 23 tahun. Pada mulanya beliau ditauliahkan sebagai imam masjid tersebut oleh Hj. Zayadi iaitu qadi yang ketiga di daerah Raub yang juga merupakan seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin suluk serta murid Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Pada tahun 1951, beliau ditauliahkan pula oleh al-Marhum Sultan Abu Bakar ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. Jawatan imam dan amil masjid kampung Lecar ini disandang oleh Tuan Hj. Ishaq hingga tahun 1965 iaitu selama lebih kurang 34 tahun. Di samping itu beliau juga merupakan seorang guru agama sukarela yang telah diberikan kebenaran mengajar agama di Masjid Bukit Pampong, Dong, Raub bermula tahun 1977/1978.

Tahun 1976 adalah merupakan tahun kesedihan bagi Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana isteri beliau yang bernama Rubiah binti Awwaluddin meninggal dunia pada tahun tersebut dan jenazahnya dimakamkan di tanah perkuburan kampung Bukit Kemuning. Sepanjang tempoh perkongsian hidup Tuan Hj. Ishaq dengan Rubiah selama lebih kurang 51 tahun, beliau tidak dikurniakan sebarang cahaya-mata. Tidak lama setelah kematian isteri beliau itu, Tuan Hj. Ishaq berkahwin pula dengan seorang perempuan yang bernama Hajjah Fatimah binti Mat Yasin yang berasal dari kampung Ulu Gali, Raub. Perkahwinan beliau yang kedua itu terjadi pada tahun 1977. Perkahwinan tersebut juga tidak melahirkan sebarang zuriat.

Pada tahun 1982, Tuan Hj. Ishaq telah pergi ke Mekah bagi tujuan menunaikan fardu haji bersama-sama dengan isteri beliau, Hajjah Fatimah, dengan diikuti oleh beberapa orang murid beliau. Sepanjang hidup beliau itu, hanya sekali sahaja beliau pergi menunaikan fardu haji ke Mekah. Tuan Hj. Ishaq telah meninggal dunia pada 21 hb. Febuari, tahun 1992 di kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang, kerana sakit tua. Usia beliau ketika itu adalah lebih kurang 84 tahun. Jenazah beliau kemudiannya telah dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Dari segi latar-belakang pendidikan khususnya pendidikan keagamaan, Tuan Hj. Ishaq tidak seperti tokoh-tokoh lain yang mendapat pendidikan keagamaan secara formal di pusat-pusat pengajian sama ada di dalam atau di luar negeri. Ini mungkin kerana kehidupan beliau yang agak susah lantaran kematian bonda dan ayahanda beliau itu. Sekalipun begitu, namun beliau tetap berusaha secara sendirian bagi mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu keislaman menerusi pengajian tidak rasmi iaitu pengajian yang dilakukan di masjid-masjid dan juga surau-surau.

Walau bagaimanapun Tuan Hj. Ishaq juga pernah mengecapi alam persekolahan ala moden iaitu sewaktu beliau masih kanak-kanak. Beliau mula mengenali alam persekolahan tersebut ketika keluarga beliau mula menetap di kampung Pasir Bayam, Dong, Raub, setelah dua tahun berpindah dari Cemur, Perak iaitu setelah kematian bonda beliau, Nujumah (Hindun). Beliau mula bersekolah dalam tahun 1917 di Sekolah Melayu Dong ketika berusia sembilan tahun. Guru besar sekolah tersebut pada waktu itu bernama Muhammad Jabar bin Hj. Abdul Qadir dan penolong beliau ialah anak beliau sendiri iaitu Abdul Majid bin Muhammad Jabar.

Muhammad Jabar bukanlah orang lain, beliau adalah merupakan saudara dua pupu dengan Tuan Hj. Ishaq. Ini kerana ayahanda Muhammad Jabar, Hj. Abdul Qadir adalah merupakan anak kepada Raja Parmainan yang bergelar Dato’ Raja Ninda. Raja Parmainan itu pula adalah merupakan anak kepada Sutan Limbang Laut Selingkar Alam. Dengan itu Raja Parmainan adalah saudara kandung kepada Sutan Tujuan Saka iaitu datuk kepada Tuan Hj. Ishaq. Muhammad Jabar ini merupakan orang yang pertama dari kalangan orang-orang Melayu yang menjadi guru besar Sekolah Melayu di kampung Dong, Raub. Sekolah tersebut kemudiannya dinamakan Sekolah Menengah Muhammad Jabar, sempena nama guru besar pertamanya.

Tuan Hj. Ishaq berjaya menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Dong. Pada tahun 1922 beliau telah berhenti dari sekolah tersebut kerana telah tamat darjah lima yang merupakan darjah tertinggi di sekolah tersebut pada waktu itu. Beliau termasuk salah seorang pelajar yang agak pintar dan berjaya di sekolah itu. Kerana itu beliau bersama dengan seorang pelajar lain yang bernama Dakhili telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris,Tanjung Malim, Perak yang merupakan tempat mendidik para pelajar untuk menjadi guru. Tawaran tersebut dibuat oleh nazir sekolah yang pada waktu itu disandang oleh Muhammad Idrus, pada tahun 1922, iaitu setelah Tuan Hj. Ishaq tamat pengajian di sekolah itu.

Rakan beliau, Dakhili menerima tawaran tersebut dan terus menyambung pelajarannya di sana sehingga beliau berjaya menjadi seorang pendidik. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi guru besar dan terus berkhidmat sehinggalah beliau bersara. Tuan Hj. Ishaq pula menolak tawaran tersebut kerana beliau melihat ayahanda beliau sudah terlalu tua dan uzur sehingga beliau tidak sanggup untuk meninggalkannya. Tuan Hj. Ishaq adalah seorang yang berminat dan mempunyai kemahuan yang agak tinggi untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Ini dapat dilihat pada usaha dan kesungguhan beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dan bahasa Arab dari guru-guru tempatan setelah beliau menamatkan persekolahan beliau.

Setelah tamat pengajian di Sekolah Melayu Dong, Tuan Hj. Ishaq mula giat belajar ilmu-ilmu agama dengan guru-guru tempatan. Umur beliau pada masa itu adalah lebih kurang 15 tahun. Pada peringkat permulaannya beliau belajar membaca al-Qur’an sehingga khatam dengan guru beliau, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Muhammad Saman. Beliau berjaya menamatkan pengajian al-Qur’an tersebut setelah hampir setahun belajar dengan guru beliau itu. Di samping itu beliau juga mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu usuluddin dan fiqh dan seterusnya beliau belajar pula ilmu tajwid, qasidah dan lagu-lagu dengan seorang guru beliau yang lain yang bernama Tuan Guru Lebai Muhammad Din bin Imam Sani yang berasal dari Kg. Semantan Hilir, Temerloh, Pahang.

Dalam tahun 1927 iaitu ketika Tuan Hj. Ishaq berumur lebih kurang 19 tahun, beliau pergi belajar pula, bagi tujuan mendalami lagi ilmu fiqh dan tasawuf, dengan guru beliau yang bernama Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang sebelum itu merupakan seorang guru agama di Tanjung Malim, Perak. Ketika belajar dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib inilah beliau mula diperkenalkan dengan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang kemudiannya beliau menyambung pengajian tarekat tersebut dengan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad yang juga merupakan guru kepada Hj. Muhammad Khatib.

Tuan Hj. Ishaq juga ada mempelajari bahasa Arab dari beberapa orang guru. Antara guru beliau yang mengajarkan beliau ilmu bahasa Arab itu ialah Tuan Guru Hj. Abdul Razak iaitu kadi yang keenam di daerah Raub, Pahang. Bagi tujuan mendalami lagi pengetahuan tentang bahasa Arab tersebut, Tuan Hj. Ishaq belajar pula dengan Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar bin Hanafiah iaitu seorang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan juga menantu kepada Tuan Guru Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi. Tuan Guru Hj. Kashf al-Anwar ini berasal dari Banjar Masin, Kalimantan Barat, Indonesia.

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh Tuan Hj. Ishaq sejak dari zaman remaja beliau itu telah dikembangkan sedikit demi sedikit menerusi pengkajian dan pembacaan kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Arab. Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan utama Tuan Hj. Ishaq ialah Kitab Bahr al-Madhi, Furu` al-Masail, Tanwir al-Qulub, Qut al-Qulub, Hidayah al-Salikin, Siyar al-Salikin, Kashf al-Mahjub, Tafsir al-Baidawi, Tafsir Ibn `Abbas, Tafsir al-Jalalain dan Sahih al-Bukhari.

Sekalipun Tuan Hj. Ishaq mempunyai latar belakang pendidikan keagamaan yang agak sederhana, tidak seperti tokoh-tokoh agama lain, namun beliau didapati agak aktif menulis dan menghasilkan buku-buku agama terutamanya tentang ajaran tasawuf dan tarekat dan juga sejarah perkembangannya di Raub, Pahang. Antara karya-karya beliau yang telah dihasilkan ialah Majmu` al-Masa'il, Tanbih al-Muridin, Majmu` al-Mau`izah, Cara-Cara Menjalani Amalan Dalam Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah Untuk Mencapai Kepada Tasawuf, Asal-Usul Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah di Daerah Raub, Pahang, dan Sejarah Perkembangan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang Dar al-Ma`mur, di samping tulisan-tulisan dan risalah-risalah lain yang tidak dibukukan.

PENGLIBATAN DALAM KEGIATAN
TAREKAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH

Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah sudah lama bertapak dan berkembang di daerah Raub, Pahang. Sejarah awal kemasukan dan perkembangan tarekat ini di Raub adalah dipelopori oleh golongan pentadbir agama dan penguasa tempatan. Kadi-kadi dan beberapa orang penghulu terawal di beberapa mukim di Raub didapati terlibat dengan pengamalan dan penyebaran Tarekat Naqshabandiyyah ini. Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan yang menetap di kampung Kuala Gali, Raub, adalah kadi pertama di daerah Raub sebelum zaman penjajahan Inggeris. Hj. Salim adalah orang pertama yang mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah di daerah tersebut. Beliau telah belajar dan menerima asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah tersebut dari seorang yang berasal dari Sumatera yang bernama Shaikh Muhammad Salih.

Kadi yang kedua di Raub ialah Tuan Hj. Muhammad Arif. Beliau berasal dari Minangkabau, Sumatera dan kemudian telah berpindah ke Raub dan menetap di Sana. Beliau adalah menantu kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Di samping sebagai seorang kadi, beliau juga pengamal dan pengembang Tarekat Naqshabandiyyah. Beliau telah menerima tarekat itu dari seorang shaikh di Jabal Hindi, Mekah. Manakala kadi yang ketiga di daerah Raub pula ialah Tuan Hj. Ziyadi iaitu anak kepada kadi pertama, Tuan Hj. Salim. Beliau juga seorang pengamal dan juga pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Raub. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi adalah guru yang telah mengijazahkan kepada beliau tarekat tersebut.

Di kalangan penguasa tempatan pula, didapati penghulu-penghulu terawal di mukim Gali, Raub terlibat dengan kegiatan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Lima orang penghulu pertama di situ adalah pengamal tarekat ini. Mereka ialah Tengku Abdul Samad bin Tengku Muda, Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin dan Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad bin Tengku Abdul Majid. Penghulu pertama di mukim Gali iaitu Tengku Abdul Samad, menerima dan mempelajari Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Tuan Hj. Muhammad Arif, kadi kedua di Raub, pada tahun 1914 di kampung Durian Sebatang, mukim Gali, Raub, Pahang. Begitu juga dengan penghulu yang kedua iaitu Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad, di mana beliau juga mengambil tarekat tersebut dari Tuan Hj. Muhammad Arif pada tahun yang sama.

Manakala penghulu ketiga iaitu Tengku Abdul Majid bin Tengku Kudin, telah mengambil Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Hj. Umar bin Muhammad. Penghulu keempat pula iaitu Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin, telah menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Sidiq bin Hj. Salim, iaitu salah seorang murid dan khalifah Shaikh Hj. Umar. Penghulu kelima iaitu Dato’ Setia Lela Tengku Hj. Muhammad menerima tarekat tersebut dari Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim, juga merupakan salah seorang murid dan khalifah kepada Shaikh Hj. Umar.

Tuan Hj. Ishaq mula mengenali Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah ketika beliau belajar ilmu tasawuf dengan Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib bin Sutan Kaya yang mana pada ketika itu beliau berumur 19 tahun. Beliau telah mengambil talqin zikir dan bai`ah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari guru beliau, Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib, pada tahun 1927.Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib berasal dari kampung Rokan Kanan, Langkat, Sumatera, iaitu sekampung dengan Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Rokan al-Khalidi al-Naqshabandi yang telah membuka pusat Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di kampung Babussalam, Langkat, Sumatera.

Tuan Guru Hj. Muhammad Khatib adalah antara anak murid Shaikh Hj. Umar bin Muhammad al-Khalidi dan khalifah beliau yang paling tua. Sebelum beliau berpindah ke Raub, Pahang, beliau adalah merupakan seorang guru agama serta pemimpim suluk di kampung Bertam, Tanjung Malim, Perak dan mempunyai ramai murid di sana. Setelah Tuan Hj. Ishaq menerima bai`ah tarekat dari guru beliau itu, maka pada penghujung tahun 1927 iaitu pada tahun yang sama, beliau mula menjalani suluk di bawah pimpinan Tuan Guru Shaikh Hj. Umar ibn Muhammad di Surau Suluk Kubu di kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Shaikh Hj. Umar adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan,Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.

Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi.

Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim.

Tuan Hj. Ishaq kemudiannya telah memimpin suluk di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, mukim Gali, Raub, Pahang. Suluk pertama kali di surau tersebut berlaku pada bulan oktober tahun 1965. Pada ketika itu beliau telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai imam dan amil masjid kampung Lecar yang disandang oleh beliau selama lebih kurang 34 tahun. Dengan terbinanya surau tersebut, ramailah orang yang datang untuk belajar, menerima dan seterusnya mengamalkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di bawah pimpinan beliau itu. Mereka datang dari seluruh pelusuk tanah air dan juga dari Singapura, Thailand dan Sumatera. Murid-murid Tuan Hj. Ishaq dianggarkan melebihi 5000 orang yang terdiri dari laki-laki dan juga perempuan. Murid-murid yang diangkat menjadi khalifah beliau sahaja melebihi dua ratus lima puluh orang.

Murid-murid Tuan Hj. Ishaq itu adalah dari latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang berbeza. Di samping orang-orang kampung yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak rendah, ada di antara murid-murid Tuan Hj. Ishaq yang terdiri dari ahli akademik bidang keagamaan yang sebahagiannya merupakan lulusan universiti di timur tengah dan juga universiti tempatan. Antara mereka ialah seperti Ustaz Mukhtar bin Yaqub yang merupakan seorang graduan Universiti al-Azhar yang memiliki ijazah sarjana dan juga bekas timbalan Shaikh al-Arqam, Prof. Madya Ustaz Hj. Jahid bin Sidek iaitu pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Ustaz Muhammad bin Long iaitu guru agama Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, Temerloh, Ustaz Hj. Husain bin Abdul Latif iaitu guru agama Balai Muzakarah, Pauh Sembilan, Bacok, Kelantan dan Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad guru agama di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub.

Di kalangan murid-murid Tuan Hj. Ishaq ada juga yang menjadi wakil rakyat iaitu Yang Berhormat Tengku Mustafa bin Tengku Hj. Seti yang kemudiannya menjadi salah seorang kahlifah yang menggantikan beliau. Ramai juga di kalangan murid-murid beliau itu yang terdiri dari golongan profesional seperti Hj. Hafas bin Idin iaitu seorang peguam di Kuantan, Pahang, Abdul Rahim bin Muhammad iaitu seorang pegawai Bank Nasional di Kuala Lumpur, Wan Abdul Rasyid bin Wan Abu Bakar iaitu seorang hakim di Mahkamah Tengah, Kuantan dan Hj. Aman Syah iaitu penyelia sekolah-sekolah di Raub, Pahang.

Sepanjang 18 tahun menjadi khadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah; beliau telah menganjurkan 120 amalan bersuluk di Surau Ehyaul Qulub, Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang; di samping menghasilkan banyak tulisan yang berkaitan dengan amalan tareqat. Khalifah yang diangkat di zaman hayatnya ialah seramai 350 orang.

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 21 Februari 1992 bersamaan 18 Sya’ban 1412 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di Kg Bukit Kemuning, Dong, Raub, Pahang.
PENGGANTI PEMIMPIN TARIQAH DAN SULUK
Al-marhum Tuan Guru Imam Hj. Ishaq bin Muhammad 'Arif al-Jawi telah meninggalkan beberapa orang pengganti yang dibenarkan memimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Antara mereka ialah al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Hasan bin Wan Abdullah yang memimpin tarekat tersebut di surau suluk kampung Pulau Rumput, Pekan, Pahang. Al-Marhum Ustaz Mukhtar bin Yaqub, Pekan, Pahang, juga adalah antara khalifah beliau yang dibenarkan memimpin tarekat ini, namun beliau terlebih dahulu meninggal dunia sebelum guru beliau. Al-Marhum Imam Haji Sani, Raub Pahang juga dizinkan untuk memimpin suluk dan tarekat. Salah seorang khalifah dan pengganti beliau yang sangat giat menyebarkan ajaran tarekat guru beliau ialah TUAN GURU DR HAJI JAHID BIN SIDEK AL-KHALIDI yang sehingga sekarang masih memimpin suluk dan pengamalan tarekat ini melalui 2 surau suluknya di SURAU SULUK BABUL KHAYRAT, KAMPUNG MELAYU MAJDI, JOHOR BHARU, JOHOR dan MADRASAH MANARATIL 'ILMI, PEKAN PAHANG. Manakala al-Marhum Tengku Mustafa bin Tengku Seti pula adalah merupakan khalifah beliau yang menggantikan tempat beliau sebagai pemimpin tarekat di surau suluk kampung Jeram Bangkin, Dong, Raub sehingga sekarang. Ustaz Ramli bin Hj. Muhammad juga merupakan salah seorang kahlifah Tuan Hj. Ishaq yang dibenarkan memimpin tarekat namun beliau diberitakan tidak begitu aktif mengembangkan tarekat tersebut.