Khamis, 15 April 2010

SHAIKH MUHAMMAD BABA AL-SAMMASI (Silsilah Ke 14)

Beliau dilahirkan di sebuah kampung berdekatan Ramitain dipanggil dengan Sammas di Uzbekistan. Beliau mempelajari pelbagai ilmu agama dan ilmu logik sehingga bergelar sebagai seorang 'allamah (sangat alim) di zamannya. Beliau berdamping diri dengan Shaikh 'Azizan ('Ali Ramitani) dan bermujahadah bersungguh-sungguh sehingga mengatasi semua ikhwan seperguruannya yang lain, lalu dilantik oleh gurunya sebagai khalifah. Shaikh Azizan memerintah para murid beliau tunduk dan patuh kepada arahan Shaikh Baba al-Sammasi semenjak hidup beliau lagi. Beliaulah yang telah mengkhabarkan berita kemunculan Shaikh Baha' al-Din Naqshaband sebelum kelahirannya lagi. Setiap kali beliau lalu berhampiran kampung kelahiran Shaikh Baha', iaitu Qasr al-'Arifan, beliau berkata; aku menghidu bau seorang arif di kawasan ini.

Setelah kelahiran Shaikh Baha' beberapa hari, beliau berkata lagi; aku mendapati bau si arif itu semakin semerbak. Kemudian apabila datuk Shaikh Baha' membawa beliau bertemu Shaikh Baha' beliau berkata; inilah dia anakku lantas berpaling kepada para muridnya sambil berkata; inilah dia orang arif yang aku maksudkan tempohari. Tak lama nanti beliau akan menjadi ikutan ramai manusia. Seterusnya Shaikh Baba al-Sammasi memandang khalifahnya Amir Kulal lalu berkata; jangan kamu sekali-kali mengsia-siakannya dan cuai dalam mendidiknya. Jika kamu cuai mendidiknya, kamu tidak akan memperoleh keredaanku selama-lamanya. Beliau wafat di Sammas pada tahun 755H.