Jumaat, 25 Februari 2011

MENCINTAI RASULULLAH SAW

Disampaikan oleh:
Shaikh Dr Hj Jahid Hj Sidek al-Khalidi,
Shaikh Tariqah Naqshabandiyyah Khalidiyyah
Ceramah Perdana Bersempena SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432H,
Bertempat di Madrasah Saidiyyah, Kg Pondok Rasah, Seremban, Negeri Sembilan
Tarikh/Hari: 20hb Februari, 2011 bersamaan 17 Rabiul Awwal, 1432H (Ahad)

Ringkasan Kuliah

1. SYARAT BAGI KESEMPURNAAN IMAN IALAH MENCINTAI RASULULLAH SAW:
Maksud sabda baginda SAW:
"Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak dan semua manusia yang lain."
Mendengar sabda baginda itu Saidina Umar segera menyatakan keadaan kasihnya terhadap baginda SAW dengan mengatakan:

"Ya Rasulullah… aku memang kasih terhadap engkau, tetapi aku merasa kasihku terhadap diriku sendiri lebih dari kasihku terhadap engkau. Bagaimana Ya Rasulullah?

Rasulullah segera menjawab:
"Imanmu tidak menjadi sempurna sehingga kasihmu terhadap diriku melebihi kasihmu terhadap dirimu sendiri."
Saidina Umar menegaskan dengan katanya:
"Mulai saat ini, aku akan kasih kepada engkau ya Rasulullah melebihi kasihku terhadap diriku sendiri."
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang memiliki tiga perkara akan merasakan kemanisan iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya terhadap segala-galanya. Kedua mencintai seorang semata-mata kerana Allah dan takut balik semula kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya seperti ia benci atau takut jika dimasukkan ke dalam neraka."
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka orang-orang yang beriman dengannya (Rasulullah SAW) dan yang memuliakannya dan yang menolong atau membantu dan yang mengikuti atau berpegang dengan al-Quran yang diturunkan bersamanya mereka itulah orang-orang yang berjaya." (Surah al-„Araaf: 157)

2. SEBAHAGIAN DARIPADA KISAH KECINTAAN SAHABAT TERHADAP RASULULLAH SAW
  1. Ramai sahabat diriwayatkan bila mereka nak makan yang agak sedap, mereka akan menangis disebabkan mereka teringat apakah Rasulullah dapat makan minum seperti diri mereka atau sebaliknya.
  2. Majoriti atau ramai sahabat ingin selalu bersama Rasulullah SAW ke mana pun baginda SAW
  3. Ramai sahabat yang asyik terbayangkan rupa atau wajah Rasulullah SAW.
  4. Para sahabat sentiasa mengutamakan Rasulullah SAW sendiri daripada diri mereka sendiri. Cerita yang paling menarik ialah apabila Bilal bin Abi Ribah dapat menawan Safiah Binti Huyai al-Ahtab, isteri seorang Panglima Yahudi (Maskam) di Khaybar. Mengikut hukum perang, Safiah sepatutnya menjadi isteri kepada Bilal, tetapi Bilal segera memberikan Safiah kepada Rasulullah SAW.
  5. Sahabat yang berjalan bersama Rasulullah SAW seboleh-bolehnya mereka akan mengiringi Rasulullah sampai ke rumahnya terlebih dahulu, barulah mereka kembali ke rumah, walaupun terpaksa patah balik ke rumah mereka sendiri.


3. MENGAPA CINTA KITA TERHADAP RASULULLAH SAW MELEBIHI CINTA KITA TERHADAP DIRI SENDIRI DAN MANUSIA YANG LAIN?
Jawapan: Kerana Rasulullah SAW adalah Pintu Rahmat bagi bukan sahaja kepada orang-orang Islam tapi untuk seluruh alam. Berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
"Aku tidak utuskan engkau ya Muhammad kecuali sebagai Rahmat untuk sekelian alam"
(Surah al-Anbiya: 107).
Rahmat memang kepunyaan Allah, tetapi mengikut syariat yang diturunkan sesiapa yang mahukan Rahmat Allah mestilah melalui pintunya. Sebab itulah kita mesti mengucap Dua Kalimah Syahadah.
Kasih sayang Allah terhadap kita, bergantung kepada kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW. Maka apabila kita benar-benar kasih dan cinta kepada Rasulullah, maka kita akan benar-benar dikasihi dan dicintai oleh Allah SWT.
Ulama’ Tasawwuf mengatakan kasih sayang seseorang terhadap dua ibubapa adalah syarat untuk mendapat kasih sayang Allah SWT. Kedua ibubapa disayangi kerana kedua-duanya adalah bermulanya kehidupan manusia dan kedua-duanya lah yang memberi makan, minum dan berbagai keperluan hidup. Kalau kedua ibubapa yang merupakan keturunan darah atau keturunan hissi mesti dicintai, maka apatah lagi Rasulullah SAW yang merupakan bapa maknawi manusia. (akan diterangkan lebih lanjut makna bapa maknawi).
Allah SWT juga memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mengutamakan Rasulullah SAW dari diri mereka sendiri. Seperti yang ditegaskan dalam firmanNya yang bermaksud:
"Nabi SAW adalah lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu mereka." (Surah al-Ahzaab: 6)
Persoalan: ADAKAH MENCINTAI RASULULLAH SAW SEBEGITU RUPA SEPERTI YANG DIJELASKAN ADALAH TAKSUB ATAU FANATIK? (Akan diberikan jawapan)
Antara Rahmat yang penting ialah Rahmat Iman, Ilmu dan Amal. Yang tersimpul dalam Rukun Islam dan Rukun Iman. Ilmu yang termuat dalam al-Quran dan Sunnahnya. Semua yang tersebut menjadi asas yang sangat penting bagi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Ada orang yang salah faham tentang apa yang Allah sebutkan dalam al-Quran, bahawa nabi adalah seorang manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah ya Muhammad! Bahawa hanya senya aku adalah seorang manusia seperti kamu" (Surah al-Kahfi: 110).
Ayat yang tersebut dijadikan alasan oleh mereka yang jahil, untuk tidak bersusah payah mencintai Rasulullah SAW dan tidak melebih-lebih memuliakannya, kerana Rasulullah SAW adalah manusia seperti manusia lain.
Dalam al-Quran, banyak terdapat ayat yang menerangkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia yang luar biasa. Antara lain:
  1. "…Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya." (Surah al-Maidah: 15). Semua ahli Tafsir, menafsirkan kalimah "Nur" yang tersebut adalah nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW sendiri ada menjelaskan bahawa awal-awal yang mula dijadikan oleh Allah ialah Nur Nabi.
  2. Rasulullah SAW adalah merupakan satu-satunya manusia yang sentiasa Allah beri selawat dan demikian juga para malaikat. Berdasarkan maksud ayat (Surah al-Ahzaab: 56)
  3. Rasulullah SAW ditegaskan oleh Allah SWT menjadi "Uswah Hasanah" (Surah al-Ahzaab: 21)
  4. Allah SWT mengakui akhlak nabi sebagai sebaik-baik akhlak. (Surah al-Qalam: 4)
  5. Rasulullah SAW di Israk dan Mikraj oleh Allah SWT. (Surah al-Isra’: 1).
  6. Rasulullah SAW menerima Kitab al-Quran al-Karim.
  7. Seluruh kata-kata dan perbuatan, geraknya dan diamnya direkodkan dan menjadi sumber hukum.
  8. Tidak sah sembahyang tanpa menyebut nama nabi Muhammad SAW.
  9. Dan lain-lain.
4. KAEDAH MENINGKATKAN KECINTAAN TERHADAP RASULULLAH SAW:
  1. Dengan cara meningkatkan iman. Bila iman meningkat maka bertambahlah kecintaan kepada Rasulullah SAW. Sebaliknya bila iman menurun maka akan berkuranglah kecintaan kepada baginda SAW. Sebab itu orang-orang kafir tidak ada rasa cinta kepada Rasulullah, malahan membencinya. Saidina Umar sebelum Islam, sangat benci dan memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi bila beliau beriman segera bertukar menjadi kasih dan sayang. Begitulah pemimpin Quraisy lain, yang asalnya memusuhi nabi akhirnya mencintai Nabi SAW.
  2. Peningkatan iman, sehingga ke tingkat "Ihsan" iaitu tingkat yang tertinggi, memerlukan pimpinan seorang guru atau shaikh. Tanpa pimpinan seorang guru atau shaikh, tidak mungkin seseorang mukmin boleh mencapai iman tingkat ihsan. Guru atau Shaikh yang tersebut mestilah seorang ulama’ yang silsilah perguruannya bersambung-sambung hingga kepada Rasulullah SAW. Biasanya, ulama’ tersebut ialah seorang sufi. Seseorang murid, diwajibkan memuliakan dan menyayangi gurunya atau shaikhnya supaya mudah dapat limpahan al-barakah daripada gurunya yang bersambung-sambung sampai kepada Rasulullah SAW. Dengan kaedah tersebut maka seseorang murid akan mencintai shaikhnya atau gurunya dan semua shaikh-shaikh yang ada dalam silsilah hingga kepada Rasulullah SAW.
  3. Rasulullah SAW bersabda: yang bermaksud: "Tidak akan masuk ke dalam neraka orang muslim yang melihat aku, dan tidak akan masuk ke neraka orang yang melihat, orang yang melihat aku, walaupun sampai kepada 70 wasitah atau keturunan."
  4. Bila seorang ber Rabitah Hati dengan shaikhnya bererti juga ber Rabitah kepada nabi Muhammad SAW. Allah berfirman, yang bermaksud, "…Maka ke mana sahaja kamu arahkan pandangan diri kamu, maka di situlah kamu akan mengenal wujudnya Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa mengetahui." (Surah al-Baraqah: 115)
  5. Daripada rabitah hati tersebutlah maka akan terhubung kerohanian seorang murid dengan gurunya dan bersambung-sambung hingga sampai kepada Rasulullah SAW. Semuanya itu mestilah diasaskan rasa kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW yang sebenar-benar.
  6. Sebab itu, semasa kita membaca tahiyat kita menyebut "Assalamu „alaika ayyuhan nabiyu wa rahmatullahi wabarakatuh…" ketika kita membaca doa ini mestilah kita sepatutnya kita merasa kasih dan sayang terhadap Rasulullah SAW. Tujuannya supaya dapat syafaatnya.

5. KELEBIHAN MENCINTAI RASULULLAH SAW:

5.1. Seorang sahabat selalu bertanya kepada Rasulullah SAW:
Bilakah berlakunya Hari Qiamat?
Akhirnya Rasulullah SAW bertanya semula kepada sahabat tersebut,
samada dia sudah bersedia dengan amal-amal saleh yang banyak.
Maka sahabat tersebut menjawab:
Bahawa berbagai amalan soleh memang ada tetapi tidaklah sebanyak amalan soleh sahabat-sahabat yang lain, sembahyangnya ada, puasanya ada tetapi tidaklah sebanyak sembahyang dan puasa sahabat-sahabat yang lain".
Bagaimanapun sahabat tersebut menegaskan kepada Rasulullah SAW:
"Bahawa dirinya sangat sayang dan kasih terhadap Rasulullah SAW. "
Bila Rasulullah SAW mendengar pengakuan sahabat tersebut, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dikasihinya.
6. CIRI-CIRI ULAMA' YANG BOLEH DIJADIKAN GURU DAN DICINTAI:
  1. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh setengah sahabat yang sangat peka mengenai kepimpinan, dengan menyebutkan Ya Rasulullah! Siapakah orang yang sebaik-baiknya kami dampingi? (Sebagai Guru kami) Rasulullah SAW segera menjawab yang bermaksud: "Orang itu ialah Orang yang apabila kamu lihat rupanya, mengingatkan kamu kepada Allah SWT, kata-katanya menambahkan ilmu kamu, dan amal perbuatannya mendekatkan atau menggemarkan hati kamu kepada akhirat." Seseorang yang ada ciri-ciri tersebut adalah seorang ulama’ pewaris nabi. Sebab Rasulullah SAW mempunyai 3 ciri tersebut.
  2. Waspada pada Ulama’ Palsu (sekiranya di Indonesia disebut sebagai Ulama‟ Gadungan).