Jumaat, 18 Februari 2011

HUBUNGAN TASAWWUF DENGAN SUNNAH, KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN TOKOH-TOKOH SUFI DALAM PEMBINAAN TAMADUN

oleh:
Shaikh Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi
Mantan Profesor Madya Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM)
Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI)
Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat Istana Budi (Pusat Perlindungan Pesakit HIV)
PENDAHULUAN

Nabi s.a.aw. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak menghapuskan ilmu Islam dengan cara ilmu itu dihilangkannya, akan tetapi Allah menghapuskannya dengan cara dimatikan ulama’, sehingga (akhirnya) tidak ada seorang pun yang alim. Maka pada masa itu orang ramai melantik orang-orang jahil sebagai ketua/pemimpin agama. Orang ramai meminta fatwa daripada mereka. Mereka (si jahil) itu pun memberikan fatwa (yang salah) maka mereka sesat dan menyesatkan orang ramai”.

Kini zaman Nabi s.a.w. telah berlalu lebih 1400 tahun yang bermakna banyak ilmu yang hilang berikutan kewafatan ulama’. Tidak semuua ilmu yang mereka ketahui, fahami dan amalkan dapat kita warisi sepenuhnya. Abu Talib Makki (W. 386H) dapat merasakan kesan yang jelas dari kewafatan ulama’ dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Dalam kitabnya ‘Qutul-Qulub’, beliau memuatkan satu bab khas yang menjelaskan pelbagai ilmu dan amalan yang telah lari jauh dari ajaran Islam yang sebenar.

Pengkhususan di bidang Pengajian Islam juga menyebabkan rata-rata ulama’ hari ini hanya dapat mengetahui dan memahami satu bidang pengkhususannya sahaja. Ilmu tasawwuf yang lebih menitikberatkan amalan, bukan kefahaman sahaja telah menjadi begitu jauh dari jangkauan pemikiran mereka. Pengaruh fahaman Wahabiyyah yang kian meluas, sikap para penyelidik yang lebih cenderung untuk mencari dan memperbesar-besarkan kelemahan tasawwuf dan sufiyyah, kurangnya pendedahan pengajaran tasawwuf di Institusi Pengajian Islam di semua peringkat dan pelbagai faktor yang lainnya menyebabkan ilmu dan amalan tasawwuf kian jauh terpinggir. Padahal ilmu dan amalan tasawwuf itu sebenarnya menjadi roh atau nyawa bagi tubuh badan - tubuh badan akan mati kaku tanpa roh, maka begitulah agama apabila dipisahkan daripada tasawwuf. Amal ibadat akan menjadi seperti patung-patung yang kosong dan tidak bermakna jika tidak diiringi dengan kejernihan hati yang sebenar.

Jika ilmu dan amalan tasawwuf telah ditimpakan dengan nasib yang begitu malang – telah dilabelkan dengan pelbagi label yang menakutkan, maka sudah tentulah nasib dan keadaan orang-orang sufi atau sufiyyah lebih malang lagi. Tidak hairan jika orang ramai mempunyai sikap dan pandangan yang sangat negatif terhadap mereka. Walaupun pada hakikatnya sumbangan dan peranan mereka sangat penting dalam tamadun manusia. Semua orang mengakui bagaimana pentingnya dan besarnya sumbangan Islam dan Rasulullah s.a.w. dalam tamadun Islam dan tamadun dunia moden pada hari ini. Selalunya disebut bahawa tamaduun Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah menjadi jambatan yang menghubungkan antara tamadun purba dengan tamadun moden. Tidakkah golongan sufiyyah atau tokoh-tokoh sufi itu merupakan suatu rumpun ulama’ pewaris nabi?- ulama’ pewaris nabi yang benar-benar dapat membantu menegakkan dan meneguhkan syariat dan hakikat Islam. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi, para nabi tidak mewariskan dirham dan dinar, tetapi para nabi itu mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mendapatkan ilmu (dari ulama’) bererti dia telah mendapat bahagian (ilmu) yang sebanyak-banyaknya dan sebaik-baiknya.”

HUBUNGAN TASAWWUF DENGAN SUNNAH

Ilmu Tasawwuf dalam sejarah penyebaran pengajaran dan penghayatannya disebut juga dengan pelbagai istilah lain seperti Ilmu Ihsan, Ilmu Iman, Ilmu Batin, Ilmu Hati (Ilmu Qalb), Ilmu Khusyu’, Ilmu Tarekat, Ilmu Hikmah, Ilmu Sirr, Ilmu Suluk, Ilmu Adab, Ilmu Akhlak dan sebagainya. Kerana itu, maka Maulana Zakariya al-Kandahlawi menegaskan bahawa:
"Tarekat yang sebenarnya merupakan nama (istilah) yang kedua bagi ihsan yang disebutkan dalam hadith nabi itu, atau tarekat adalah jalan yang membolehkan dan menyampaikan seseorang mukmin mencapai darjat ihsan. Ihsan itulah juga yang dikenali dan disebut dengan istilah tasawwuf atau suluk. Namakanlah ihsan itu dengan apapun nama sekalipun. Nama-nama (istilah-istilah) itu semuanya merupakan perkataan-perkataan yang berlainan sebutannya, namun maksudnya adalah serupa sahaja". – (al-Syari’ah wa al-Tariqah, 100H).

Berbagai istilah seperti yang dijelaskan membayangkan dengan tenang bahawa Ilmu Tasawwuf adalah berasal dari Islam sendiri dan hubungannya dengan al-Qur'an dan sunnah adalah sangat erat dan jelas.

Entah apa sebabnya, maka kini istilah tasawwuf itu yang kekal digunapakai oleh uamt Islam. Mungkikn sebab utamanya ialah kerana tokoh-tokoh tasawwuf lebih suka menggunakan istilah tersebut, khasnya mereka yang berjaya mewariskan kepada kita karya-karya tasawwuf, seperti Abu Harith al-Muhasibi (W. 243H), Abu Talib Makki (W. 386H), Imam al-Ghazali (W. 505H), Abd. Qadir al-Jilani (W. 561H), Abu Qasim al-Qushairi (W. 465H), al-Hujwiri (W. 465H) dan lain-lain lagi.

Rukun/asas agama Islam ada tiga iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Yang dimaksudkan dengan Islam ialah rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang fardhu lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi yang berkuasa. Iman bermaksud rukun Iman yang enam- Percaya kepada Allah, percaya kepada para malaikat, percaya kepada para rasul, percaya kepada kitab-kitab Allah, percaya kepada Hari Qiamat dan percaya kepada qada’ dan qadar Allah yang baik dan yang buruk. Ihsan pula bermaksud seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ; "Anda ubudiyah kepada Allah seolah-olah anda melihat-Nya, jika anda tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat anda".

Rukun/asas agama Islam tersebut dapat kita fahami dalam hadith yang terkenal yang terdapat dalam kitab-kitab hadith termasuk Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim yang diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a. Dalam hadith tersebut, Jibril a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. dalam bentukrupa seorang manusia, ketika baginda s.a.w. dikerumuni sekumpulan sahabat yang ramai. Jibril a.s. mengadakn muzakarah dengan baginda s.a.w. dengan cara menyoalkan apa itu Islam, apa itu Iman dan apa itu Ihsan. Rasulullah menjawab mengenai Islam dengan menyebutkan rukun Islam yang lima, Iman dengan rukun Iman yang enam, dan Ihsan baginda menjawab dengan hadith Ihsan seperti yang tersebut di atas.

Sesudah Jibril a.s. menghilangkan diri, baginda s.a.w. menjelaskan bahawa yang datang itu adalah Jibril a.s. Ia datang untuk mengajarkan agama kepada kamu. Mengapa Jibril a.s. ketika melakukan muzakarah tersebut, terpaksa menyerupai manusia dan dilakukan di depan sahabat yang begitu ramai? Jawabnya ialah:

Pertama: perkara yang dimuzakarahkan itu adalah sangat penting iaitu mengenai asas agama Islam.
Kedua: umat Islam mesti mengetahui dan faham asas agama Islam tersebut
Ketiga: suasana dan keadaan muzakarah itu membayangkan apa yang akan berlaku di zaman kemudian iaitu umat Islam akan mudah melupakan asas agama Islam tersebut.
Keempat: agama Islam menjadi agama yang lengkap jika ada ketiga-tiga asasnya tersebut iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Dalam sejarah penyebaran dan penghayatan ketiga-tiga asas agama tersebut, akhirnya wujudlah para ulama’ Islam dari satu generasi ke satu generasi yang lain yang bersungguh-sungguh melakukan ijtihad dalam ketiga-tiga asas agama tersebut. Maka akhirnya dari Islam yang rukunnya lima itu lahirlah ilmu fiqah dan para ulama’nya dikenali sebagai fuqaha’. Dari Iman yang rukunnya enam lahirlah ilmu tauhid atau ilmu kalam. Ulama’nya dikenali sebagai mutakallimin. Dari Ihsan, timbul pula ilmu tasawuf. Ulama’nya dikenali sebagai sufiyyah.

Dari fakta yang dijelaskan, maka Islam jika dilihat dari sudut ilmu merangkumi tiga jenis ilmu iaitu ilmu fiqah, ilmu tauhid dan ilmu tasawwuf. Ketiga-tiga ilmu tersebut adalah merupakan ilmu yang asas dalam Islam. Sebab itu menurut golongan sufiyyah, bahawa ilmu yang wajib atau atau fardhu ‘ain untuk dipelajari dan diamalkan ialah ketiga-tiga ilmu tersebut; tauhid, fiqah dan tasawwuf. Sesetengah tokoh sufi, dengan tujuan untuk menegaskan kewajipan tersebut dan memudahkan umat Islam, maka memuatkan ketiga-tiga ilmu tersebut dalam sebuah kitab susunannya masing-masing. Misalnya, Shaikh Abd. Samad al-Falimbangi dengan kitabnya Siyarus-Salikin, Shaikh Mohd. Amin al-Kurdi dengan kitabnya Tanwir al-Qulub.

Menurut sesetengah tokoh sufi, ilmu tasawwuf yang mempunyai asas dalam al-Quran. Dalam surah al-Jumaat, ayat 2 ada disebutkan bahawa antara tugas Rasulullah s.a.w. adalah mengajarkan umatnya al-Hikmah. Menurut ahli tafsir, al-Hikmah mempunyai dua maksud iaitu ilmu agama yang sangat luas dan dalam atau hadith-hadith Nabi s.a.w. Kedua-dua tafsiran tersebut menepati ilmu tasawwuf. Sebab ilmu tasawwuf adalah merupakan ilmu yang menghuraikan rahsia-rahsia ilmu dan amalan agama secara luas dan dalam yang menggunakan keterangan dan alasan dari hadith-hadith Nabi s.a.w.

Sebab itu ilmu tasawwuf seperti yang kita sebutkan di atas dikenali juga sebagai ilmu hikmah atau Ilmu Hikmah llahiyyah. Malahan sesetengah tokoh sufi menamakan karya tasawwuf mereka dengan al-Hikam yang bermakna berbagai-bagai hikmah illahiyyah, seperti kitab Hikam Ibn ‘Ata’illah (W. 709H) dan kitab Hikam Ibn Madyan (W. 595H).

Kita dapat juga saksikan tokoh-tokoh sufi yang awal adalah terdiri daripada golongan sahabat, diikuti oleh golongan tabi'in, tabi'ut-tabi'in dan seterusnya hinggalah ke zaman sekarang. Fakta ini membuktikan bahawa tasawwuf adalah ajaran Islam sebenar dan para sahabat menerima tasawwuf dari Rasulullah s.a.w. seperti juga ilmu dan amalan lainnya. Ibn Khaldun (W 809H) menegaskan :

"Ilmu tasawwuf ini merupakan sebahagian daripada berbagai ilmu syari'at yang benar-benar berlaku (wujud) dalam agama (Islam). Dan asal Ilmu Tasawwuf ialah wujudnya tarikat golongan sufiyyah seperti itu di kalangan angakatan salaf umat Islam dan tokoh-tokoh besar mereka (terdiri) di kalangan sahabat, tabi'in dan tokoh-tokoh selepas mereka itu". (Muqaddimah Jld. 1, 582)

Dalam semua kitab yang memuatkan sejarah tokoh-tokoh sufi seperti kitab Tabaqt al-Sufiyyah karya shaikh Abd. Rahman al-Sullami (W. 412H), Risalah al_Qushayri (W. 465H), Kashf al-Mahjub susunan al-Hujwiri (W. 465H), al-Tabaqat al-Kubra susunan shaikh Abd. Wahab al-Sha'rani (W. 976H) dan lain-lainnya lagi terdapat barisan nama para sahabat yang ditegaskan oleh pengarangnya masing-masing sebagai tokoh-tokoh sufi.

Sesetengah sahabat mempunyai ciri-ciri seorang sufi yang dapat dijadikan contoh tauladan dalam aspek syari'at dan hakikat, dalam akhlak, aqidah, ibadat dan aspek-aspek lainnya. Mereka tidak digelarkan sebagai sufi kerana gelaran sahabat itu menjadi gelaran yang terunggul serta mengatasi semua gelaran lainnya.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra dalam sebuah hadis menjelaskan mempunyai kelebihan yang mengatasi para sahabat lainnya. Gelaran Siddiq yang diberikan Rasulullah itu membuktikan keunggulan Abu Bakar tersebut. Al-Qur'an menjelaskan golongan siddiqin adalah merupakan golongan selepas golongan para nabi dan rasul. Firman Allah SWT di dalam al-Qur'an :
Maksudnya :
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan disyurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang-orang siddiqqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang salih. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)".
(Surah al-Nisa', ayat 69).

Para tokoh sufi menggangap bahawa Abu Bakar adalah merupakan tokoh utama sufi, kerana beliau merupakan sahabat yang banyak mewarisi kerohanian Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Lebihnya Abu Bakar ke atas kamu bukan disebabkan banyak sembahyangnya, puasanya, tetapi disebabkan apa yang telah sebati dalam hatinya.

Shaikh Hujwiri yang lebih yakin istilah tasawuf itu berasal dari الصفاء(al-Sofa') atau bersih zahir dan batin, menegaskan bahawa Abu Bakar adalah sahabat yang benar-benar bersifat الصفاء (al-Sofa'). Hatinya bersih dari apa juga pengaruh makhluk, hanya memandang Allah sahaja. Bila orang ramai begitu terkeliru dengan berita kewafatan Rasulullah s.a.w., Abu Bakar menegaskan :

"Sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya ia telah wafat, sesiapa yang menyembah Allah, Tuhan Muhammad, sesungguhnya Allah hidup dan tak akan mati"

Zahir Abu Bakar juga bersih, suci dari pengaruh dunia kerana beliau telah mendermakan semua hartanya untuk Allah. Bila Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya adakah ada lagi hartanya yang ditinggalkan untuk diri dan keluarganya maka beliau menjawab : Allah dan RasulNya sahaja yang tinggal.

Sifat siddiq Abu Bakar dapat dihuraikan sebagai benar dalam ahwal dan maqamat. Misalnya benar dalam maqam taubat, sabar, syukur, khawuf, raja', zuhud, tawakkal, reda, mahabbah dan lain-lainnya. Berbagai ahwal dan maqamat adalah merupakan antara perkara yang selalu dibincangkan dalam tasawwuf. Para sahabat seperti Abu Bakar, Othman dan lain-lainnya selalunya dijadikan tokoh contoh utama dalam ahwal dan maqamat.

Fakta tersebut jelas menunjukkan adanya hubungan yang erat antara tasawwuf dengan sunnah. Para sahabat mewarisi berbagai ciri ilmu tasawwuf itu dari Rasulullah s.a.w.

Wujudnya hubungan yang erat antara tasawwuf dengan sunnah dapat juga kita lihat dari latarbelakang sejarah penyebaran, penulisan dan pembukuannya. Selalu kita terkeliru bila membincangkan sejarah perkembangan berbagai cabang ilmu Islam. Kita beranggapan bahawa berbagai ilmu Islam seperti tauhid, fiqah, tasawwuf dan lain-lainnya lagi itu bermula dari tidak lengkap, kemudian lama-kelamaan menjadi lengkap. Hakikat sebenarnya adalah sebaliknya, berbagai ilmu Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. adalah lengkap. Ilmu tasawwuf di zaman nabi adalah lengkap, cuma istilah-istilahnya sahaja yang mungkin belum ada. Kemudian hakikat ilmu tasawwuf itu menjadi beransur-ansur hilang. Shaikh Abu Hasaan al-Busanji (W. 348H) menegaskan :
"Tasawwuf pada hari ini (kurun ke empat hijrah) ada namanya tanpa hakikatnya, padahal pada masa sebelumnya (zaman nabi, sahabat dan tabi'in) ada hakikatnya tanpa namanya"
(Kashf al-Mahjub, 239).

Oleh sebab itu maka sejarah perkembangan ilmu tasawwuf (begitu juga ilmu-ilmu lainnya) hendaklah kita lihat sebagai berbagai usaha para tokohnya dalam memelihara dan menyampaikannya, memberi kefahaman yang sebenarnya seperti yang asalnya difahami dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Usaha menulis, membukukan, menjelaskan konsep-konsep tertentu terpaksa menggunakan berbagai istilah yang tidak pernah digunakan di zaman awal Islam. Semuanya adalah bertujuan untuk membantu umat Islam untuk mendapatkan ilmu tasawwuf, memahaminya dengan betul dan mengamalkannya, kerana ternyata umat Islam kian lemah iman, kefahaman dan pemikiran. Hati umat Islam kian gelap yang menyukarkan mereka menerima, memahamai dan mengamalkan apa juga ilmu Islam. Umat Islam sekarang tidak seperti umat Islam yang awal, di zaman nabi, sahabat dan tabi'in. Penolakkan oleh sesetengah umat Islam terhadap ilmu tasawwuf adalah bukti yang jelas wujudnya kelemahan tersebut, kegelapan hati mereka, terhijabnya hati mereka. Mereka yang menolak tasawwuf bukan orang awam, tapi terdiri dari ulama'. Benarlah kata Shaikh Abu Hassan al-Shazili (W. 656H) :

"Orang yang paling ramai terhijab dari (ilmu yang terbaik) ialah ulama', Maha Suci Allah yang menghijab ulama' dengan (hijab) ilmu mereka sendiri".

Perlu kita tegaskan sekali lagi bahawa ilmu dan amalan tasawwuf lahir bersama kelahiran Islam, dihayati oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat dan tabi'in. Ilmu dan amalan tasawwuf mula pudar cahayanya serta dilupakan setelah umat Islam asyik dengan keduniaan hingga akhirnya tasawwuf menjadi asing. Segelintir umat Islam yang beramal dengan amalan tasawwuf digelarkan sufiyyah dan pelajar-pelajar tasawwuf dikenali sebagai mutasawwifah. Doktrin tasawwuf, prinsip-prinsipnya, amalannya dan berbagai unsur yang berkaitan telah wujud di zaman Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. menjadi rujukan utama dalam berbagai masalah dan perkara yang berkaitan dengan tasawwuf.

Sejarah penulisan dan pembukuan tasawwuf adalah seiring dan sezaman dengan penulisan dan pembukuan ilmu-ilmu lainnya. Jika Imam Ahmad b. Hanbal (W. 241H) berjaya menghasilkan karyanya dalam ilmu hadis, kitab al-muwatta', maka seorang ulama' tasawwuf yang terkenal yang sezaman dengannya, shaikh Abu al-Harith al-Muhasibi (W. 243H) telah berjaya menulis berpuluh buah kitab dalam tasawwuf. Antaranya yang terkenal ialah kitab al-Wasoya dan kitab al-Ri'ayah Li Huquqi-Llah.

Shaikh Abu Sa'id al-Harraz (W. 277H) telah berjaya mengarang beberapa buah kitab tasawwuf seperti Kitabus-Sidq, Kitab al-Sofa', Kitab al-Diya', kitab al-Kashf wa al-Bayan, kitab al-Haqaiq dan lain-lainnya.

Pada abad ke empat pula Shaikh at-Tusi (W. 378H) telah menghasilkan kitab al-Luma' dan Shaikh Abu Talib Makki (W. 386H) telah berjaya menghasilkan kitabnya, Quttu-l-Qulub dan Abd. Rahman Sullami (W. 412H) menghasilkan kitabnya Tabaqat al-Sufiyyah. Pada abad kelima pula al-Hujwiri (W. 465H) telah berjaya mengarang kitab, Kashf al-Mahjub, Abu Qasim al-Qushairi telah menghasilkan kitabnya, al-Risalah al-Qushairiyyah dan Imam al-Ghazali (W. 505H) telah berjaya mengarang beberapa buah kitab dan berpuluh-puluh risalah tasawwuf. Antaranya Ihya' Ulumid-Din, Minhaj al-'Abidin, al-Munqiz Minal-Dalal dan lain-lainnya.

Kita boleh lihat secara langsung adanya hubungan erat antara tasawwuf dengan sunnah dengan menilitikan berbagai perkara yang terkandung di dalamnya, prinsip-prinsipnya, amalannya, berbagai perkara yang berkait dengan adab dan sebagainya lagi.

Antara perkara yang dimuatkan dalam tasawwuf ialah peningkatan ilmu dan kefahaman mengenai tauhid, ilmu dan kefahaman tauhid dari tingkat samaie ke tingkat dhawuqi yang menyampaikan kepada hakikat dan ma'rifah. Nabi bersabda :

انا اعرفكم بالله واشدكم خوفا منه ولا اعرف ما يفعل بي ولا بكم
Maksudnya :
"Aku adalah orang yang paling kenal Allah dan paling takutkan Allah di kalangan kamu, dan aku tidak tahu apa yang Allah akan lakukan terhadap aku dan kamu".

Tasawwuf juga menyentuh tentang amal. Bagaimana cara memperbaiki amalan atau meningkatkannya menjadi sebaik-baik amal; amal yang ikhlas dan sebagainya lagi. Tasawwuf menjelaskan cara memperbaiki amal ialah dengan cara memperbaiki hal keadaan hati.
Nabi bersabda yang bermaksud:
“Bahawasanya amalan-amalan itu dengan niat-niat, dan seseorang akan dapat balasan baik dari amalannya setakat mana yang telah diniatkan”.
Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya, dalam jasad anak Adam itu ada mudghah, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota (baik semua perbuatan anggota) jika ia rosak, maka rosaklah semua anggota, itulah hati.”

Menurut golongan sufiyyah, ada dua jenis penyakit utama dalam hati yang menyebabkan pelbagai penyakit hati yang lain iaitu pelbagai maksiat dan lalai (ghaflah). Maksiat dapat diatasi dengan bertaubat. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Orang yang bertaubat itu seperti orang yang tidak berdosa sama sekali.”

Amalan taubat yang diajarkan dalam tasawwuf pun dilakukan seperti yang dilakukan di zaman nabi iaitu taubat itu dilakukan secara terpimpin. Apabila seseorang sahabat mahu bertaubat maka mereka akan menemui Nabi s.a.w. untuk menyatakan keterlanjurannya dan penyesalannya sebenar, sambil meminta baginda s.a.w. untuk memohonkan keampunan daripada Allah. Fakta berkaitan diabadikan oleh Allah dalam al-Qur’an (surah al-Nisa’ ayat 64).

Maksudnya :
"Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani".

Ghaflah pula dapat dihapuskan dengan melazimkan dhikrullah terus-menerus sama ada secara jihar (kuat bersuara, dhikir di lidah) atau secara sirr tanpa suara iaitu dhikir di dalam hati. Nabi bersabda yang bermaksud: “Ya Ali, wajiblah atas engkau sentiasa berdhikrullah secara sirr dan jihar.”

Kaedah seseorang yang mahu belajar tasawwuf juga mengikut sunnah iaitu dimestikan menerusi bai’ah. Langkah pertama yang mesti dilakukan ialah orang tersebut mesti menemui seorang shaikh mursyid dan menjelaskan niatnya yang ikhlas untuk belajar tasawwuf di bawah kepimpinan dan tarbiyyahnya. Shaikh mursyid akan membai’ahkan murid tersebut dengan diberikan pelbagai tunjuk ajar dan kewajipan yang mesti dilakukan, selain dari ditalkinkan dhikrullah.

Bai’ah tersebut adalah didasarkan kepada sunnah. Nabi s.a.w. telah melakukan bai’ah kepada para sahabat. Misalnya Nabi s.a.w. telah membai’ahkan saidina Ali r.a. dengan dhikrullah seperti yang tersebut dalam sebuah hadith musalsal yang berasal dari Saidina Ali sendiri. Nabi s.a.w. juga pernah membai’ahkan dhikir tahlil secara beramai-ramai sebagaimana yang tersebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ya’li bin Shaddad yang bermaksud :
“Kami sedang bersama-sama Rasulullah s.a.w., baginda bertanya: Adakah di kalangan kamu ada oran asing? (ahli kitab). Kami pun menjawab: Tidak ada orang asing ya Rasulullah. Maka baginda s.a.w. pun menyuruh kami supaya menutup pintu seraya bersabda: Angkatlah tangan-tangan kamu dan sebutlah لا اله الا الله . Maka kami pun mengangkat tangan sambil kami menyebutkan لا اله الا الله .
Dalam al-Qur’an, surah al-Fath, ayat 10, Allah menjelaskan adanya para sahabat yang berbai’ah kepada Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT :

Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang berbai’ah kepada engkau itu (ya Muhammad), sesungguhnya mereka itu (pada hakikat sebenarnya) berbai’ah kepada Allah. Tangan (kekuasaan) Allah di atas tangan (kekuasaan) mereka. Barang siapa yang melanggar (bai’ah itu) maka bahaya pelanggarannya itu atas dirinya sendiri dan barang siapa yang menyempurnakan (menepati) apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan pahala yang besar kepadanya”.

Pelbagai ahwal dan maqamat hati golongan al-‘arifin seperti maqam taubat, sabar, syukkur, khawuf, raja’, zuhud, tawakkal, redha, mahabbah dan lain-lainnya ada kaitan dengan sunnah Nabi s.a.w.

Dapat disimpulkan bahawa tasawwuf dalam semua aspeknya adalah berkaitan rapat dengan sunnah. Kerana itu, Shaikh Abu Qasim al-Junaidi al-Baghdadi menegaskan bahawa:
"Ilmu kami ini (tasawwuf) adalah erat tercanai dengan al-Qur'an dan Sunnah."

KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN

Di Barat ada anggapan bahawa falsafah adalah merupakan asas atau teras bagi segala ilmu lainnya. Falsafah Yunani yang merangkumi berbagai bidang seperti metafizik, sosiologi, kenegaraan, undang-undang, kemanusiaan dan bidang-bidang lain kehidupan di alam semesta ini, dianggap telah memberikan sumbangan besar terhadap dunia sains. Sebab pemikiran falsafah Yunani itu telah menjelaskan berbagai kebenaran yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia. Manakala sains menyediakan landasan untuk membolehkan matlamat kebaikan dan kesejahteraan manusia itu tercapai. Falsafah dapat membantu membongkar dan menghuraikan berbagai persoalan sains yang tidak dapat dihuraikan secara kajian dan pandangan zahir semata-mata. Akhirnya ahli falsafah menganggap bahawa sains hanya merupakan pelengkap kepada falsafah, kerana falsafahlah yang meletakkan kebenaran sebagai pokok kepada segala-galanya.

Jika Islam tidak lahir ke dunia ini mungkin berbagai anggapan berkait dengan falsafah tersebut masih terus diakui kebenarannya sampai ke hari dan bila-bila masa. Dengan kelahiran Islam maka berbagai kelemahan dan kesalahan anggapan tersebut dapat didedahkan. Apa yang jelas ialah falsafah Yunani tidak berupaya untuk terus membina tamadun yang berterusan dan memberi faedah dan kesejahteraan manusia yang sebenar. Beratus tahun tamadun purba beku kaku. Dengan kelahiran Nabi s.a.w. yang membawa ajaran Islam yang lengkap untuk kesejahteraan manusia seluruhnya, dunia dan akhirat, zahir dan batin maka barulah tamadun purba dapat dibangunkan semula dengan nafas, corak, warna dan bentuk yang baru. Allah berfirman :
Maksudnya :
"Kami tidaklah mengutuskan engkau (ya Muhammad) kecuali sebagai rahmat seluruh alam" (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Kerana rahmat dari Allah yang dibawa oleh nabi s.a.w. dan risalah Islamiyahnya maka kita beranggapan bahawa baginda s.a.w. adalah pengasas dan pembangun tamadun Islam. Tamadun Islamlah yang berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan antara tamadun purba dengan tamadun moden yang wujud pada hari ini.

Dibentangkan dalam SIMPOSIUM PERADABAN ILMU DAN KETAMADUNAN ISLAM (SPIKE '04). 10 – 11hb. Januari, 2004. Anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) Dengan Kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) ALUMNI UTM, Masjid Sultan Islam (MSI)