Disampaikan : SHAIKH DR HJ JAHID HJ SIDEK AL-KHALIDIProgram : SEMINAR TASAWUF
Anjuran : JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Tarikh/Hari : 12 DISEMBER, 2009 / 25HB ZULHIJJAH 1430H (SABTU)
Masa : 9.00 HINGGA 10.00 PAGI
Tempat : DEWAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
Al-Turuq al-Sufiyyah
Bila kita membicarakan ilmu tasawuf, kita tidak akan dapat melepaskan diri dari menyebut asasnya terpenting iaitu al-turuq al-sufiyyah atau berbagai-bagai tarekat para ulama’ tasawuf. Shaykh Abu Kasim al-Junayd al-Baghdadi (297H) menegaskan dengan katanya yang bermaksud:
“Zikrullah adalah asas yang utama dalam ilmu tasawuf ini, bahkan seseorang itu tidak akan sampai kepada Allah kecuali dia sentiasa berzikrullah”.
Shaykh Abd al-Rauf al-Munawi menegaskan dengan katanya yang bermaksud:
“Asas jalan kepada Allah itu ialah mengakui makna La Ilaha Illa Allah di dalam hati. Sesungguhnya tidak ada jalan yang boleh menyampaikan kepada makrifatullah selagi belum disabitkan wujudnya Allah, pencipta alam seluruhnya Yang Maha Esa dengan UluhiyyahNya, Yang Hidup, Yang berkehendak, Yang berkuasa Yang berilmu, Yang mengutus para rasul, Yang menurunkan kitab-kitab dan sebagainya. Oleh itu, asas jalan kepada Allah ialah kalimah tauhid. Dengan kalimah tauhid itulah wujud alam batin dan alam zahir. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: diasaskan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi di atas qul huwa Allah Ahad. Hadis nabi s.a.w. ini menunjukkan bahawa tauhid adalah asal bagi tiap-tiap sesuatu yang ada di alam ghaib dan alam zahir”. (al-Munawi, al-Jawhar al-Fakhirah, h. 2)
Zikrullah yang dimaksudkan ialah zikir darajat iaitu yang mempunyai kaifiat peraturan dan adab-adabnya, adab sebelum zikir, adab semasa zikir dan adab sesudahya. Zikrullah tersebut mesti ditalkinkan oleh seorang mursyid kepada muridnya seperti yang dilakukan oleh para shaykh dalam berbagai-bagai aliran tarekat. Disebutkan sebagai zikir darajat kerana seseorang yang mengamalkannya rohaninya akan meningkat dari satu darjat ke satu darjat. Misalnya meningkat dari zikir ghaflah (lalai hati) kepada zikir yaqazah (sedar hati), kemudian kepada hudur hati (hati sentiasa ingat Allah) dan akhirnya sampai kepada tingkat ghaybah (yang lain dari Allah lenyap dari ruang hati, hanya Allah sahaja yang diingat).
Biasanya zikir darajat disertai dengan muraqabah atau tafakkur seperti yang diamalkan oleh golongan ulul albab. Kita boleh lihat contohnya dalam ayat 191 surah Ali `Imran. Zikrullah dan muraqabah inilah yang dianggap sebagai aqrab al-Turuq ila Allah (jalan yang terdekat untuk sampai kepada Allah dan keredaanNya). Sebab itulah apabila sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. memohon kepada nabi Muhammad supaya baginda mengajarkan amalan yang paling dekat sampai kepada Allah, paling mudah diamal dan paling afdal, maka nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:
“Wajiblah ke atas engkau sentiasa berzikrullah secara sirr atau jihar.”
Shaykh `Ali Mursafi berkata:
“Salik yang berzikrullah adalah seperti orang yang terbang laju menuju Allah yang begitu hampir, sedang salik yang tidak berzikrullah adalah seperti orang yang mengesok dalam perjalannya yang jauh, mungkin ia telah menemui ajalnya ia tidak sampai ke detinasi yang ditujuinya itu”. (Abd Samad al-Falimbangi, Hidayah al-Salikin, h. 36)
Oleh sebab itu maka ulama’ tasawuf apabila mereka mahu mengasuh dan mendidik orang-orang yang jahat seperti perompak, penzina, peminum arak, penjudi, maka mereka akan menyuruh mereka itu berzikrullah. Misalnya, Shaykh Abd Qadir al-Jilani (w. 562H) apabila didatangi orang-orang jahat yang ingin bertaubat maka beliau menyuruh mereka supaya sentiasa berzikrullah.
Kepimpinan Guru (Suhbah)
Keistimewaan ilmu dan amalan tasawuf selain daripada zikrullah ialah penekanan terhadap kepimpinan guru. Dengan adanya kepimpinan guru maka peranan tasawuf semakin jelas kemampuannya untuk membentuk individu-individu muslim menjadi sebaik-baik hamba Allah, iaitu manusia-manusia yang gemilang di dunia dan di akhirat. Kejayaan para sahabat nabi menjadi golongan umat Islam yang sangat gemilang adalah hasil bimbingan secara bersungguh-sungguh dan berterusan oleh rasulullah s.a.w.. Gelaran sahabat yang diberikan kepada golongan umat Islam yang hidup bersama nabi membuktikan keintiman hubungan antara rasulullah s.a.w. dengan mereka. Pada hemat penulis, jika kita mahu melihat satu bentuk kepimpinan antara guru dengan para murid yang mendekati kepimpinan rasulullah terhadap sahabat, maka kita boleh lihat dalam kepimpinan seorang sufi terhadap murid-murid mereka. Malahan adab-adab yang digunakan dalam hubungan sahabat dengan rasulullah s.a.w. juga digunakan dalam adab-adab seorang guru dengan murid-muridnya dalam tasawuf. Dalam era moden atau suasana pendidikan sekarang, konsep ini mungkin dikenali sebagai pendekatan mentor-menti, padahal ia telah lama wujud dan diamalkan sejak lahirnya Islam. Kerajaan Malaysia juga menekankan pembangunan modal insan di unviersiti-universiti awam berasaskan kepada pendekatan mentor-menti.
Dr. Abdul Halim Mahmud pernah menegaskan tentang pentingnya mursyid ini dengan katanya:
“Syarat penting yang mesti ada dalam tasawuf ialah kesan rohani atau dengan kata yang lebih tepat lagi ialah barakah. Barakah itu tidak akan ada kecuali dengan adanya wasitah (perantaraan) seseorang shaykh yang silsilahnya bersambung-sambung hingga ke rasululllah s.a.w”. (`Abd Halim Mahmud, al-Munqiz Min al-Dalal, h. 237)
Umat Islam Umat Yang Gemilang
Allah menegaskan di dalam Qur’an bahawa umat Islam adalah umat yang paling gemilang. Allah berfirman: Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.
Wujudnya kegemilangan dan keunggulan umat Islam diakui oleh rasulullah s.a.w. sepanjang tiga kurun dari kurun pertama hingga kurun ketiga hijrah berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
خير القرون قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم Maksudnya: “Sebaik-baik kurun ialah kurunku ini, kemudian orang-orang yang berada pada kurun berikut dan berikutnya”. Mereka yang hidup pada kurun pertama hingga kurun ketiga inilah dikenali dalam Islam sebagai al-salaf al-salih yang kegemilangan dan kecemerlangan mereka menjadi rujukan atau ikon umat Islam sepanjang zaman. Golongan tersebut mempunyai ciri-ciri kerohanian, akhlak, ilmu dan pengalaman yang menjadi obor menyuluhi hidup kepada masyarakat Islam sepanjang zaman. Allah telah memerintahkan umat Islam supaya mendapatkan pelbagai kebenaran agama menerusi kepimpinan mereka sebagaimana yang Allah sebut dalam surah al-Fatihah:
Maksudnya: “Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”
Mereka ini walaupun tidak ma`sum, namun mereka tetap berada dalam kebenaran kerana apabila mereka melakukan kesilapan mereka akan sedar kesilapan itu dan mereka akan kembali kepada kebenaran. Mengenai perkara ini Allah menegaskan dengan firmanNya:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).”
Oleh sebab itu dalam ilmu tasawuf, orang-orang yang belajar dan mengamalkannya mesti mengikut salah satu daripada mazhab yang empat dan dalam akidah mestilah mengikut akidah ahli sunnah wal jemaah. Kerana golongan tersebutlah yang dianggap berada di dalam arus perdana Islam yang sebenar. Ijtihad mereka berlangsung dalam kurun yang diakui kebenarannya oleh nabi s.a.w. seperti yang tersebut di atas. Di dalam Qur’an, golongan umat Islam yang unggul dan gemilang mungkin kita boleh tentukan dengan tepat sebagai golongan ulul albab sebagaimana yang disebut dalam Qur’an tidak kurang 16 kali. Ciri-ciri golongan ini ada disebutkan sebahagiannya oleh Allah dalam ayat 18-22 surah al-Ra`dd:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu. Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat). Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” Mereka juga disebut oleh Allah sebagai “golongan hamba-hamba Allah” yang telah diberi berita yang mengembirakan hati mereka bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam Jannah `Adnin. Sebab mereka dapat melakukan suruhan Allah atau meninggalkan laranganNya dengan sebaik-baiknya. Allah berfirman:
Maksudnya: “oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. Mereka berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”
Akhlak dan tingkah laku mereka dipuji oleh Allah dengan firmanNya:
Maksudnya: “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah mengertikan. Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk, dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. dan sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya Dengan sebenar-benar taubat; dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang apabila diberi peringatan Dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang Yang pekak dan buta. dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, mereka kekal di dalam syurga itu; amatlah eloknya syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal”. Golongan umat Islam yang unggul dan gemilang tersebut adalah merupakan hasil atau natijah daripada pimpinan nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang Allah janjikan dalam firmanNya:
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
Sesudah kewafatan rasul s.a.w. mereka telah dipimpin oleh ulama’ yang mewarisi ilmu ,keimanan, sifat-sifat kepimpinan nabi yang sebenar. Para sahabat pernah bertanya kepada nabi s.a.w. orang yang sebaik-baiknya mereka jadikan guru yang memimpin mereka. Rasulullah menjawab dengan sabdanya:
خياركم من ذكركم بالله رؤيته وزاد فى علمكم منطقه ورغبكم فى الآخرة عمله
Maksudnya: “Orang paling baik dalam kalangan kamu ialah orang yang apabila kamu memandangnya mengigatkan kamu kepada Allah, apabila kamu mendengar kata-katanya akan bertambah ilmu kamu dan apabila kamu lihat amal perbuatannya menjadikan kamu sukakan akhirat.” Golongan umat Islam yang unggul dan gemilang tersebut juga disebut Allah sebagai mukmin yang sebenar-benar mukmin sebagaimana dalam firmanNya:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).” Kalau dilihat dari sudut hadis, merkea adalah golongan orang-ornag mukmin yang sampai ke tingkat ihsan seperti yang disebut dalam hadis nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Ihsan ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihatnya. Jika anda tidak melihatnya sesungguhnya Allah melihat anda.”
Menurut Ibn Rajab al-Hanbali orang yang sampai ke tingkat ihsan ini ialah orang yang dikurniakan oleh Allah ma`rifatullah. Menurut beliau orang dikurniakan ma`rifatullah berdasarkan hadis tersebut terbahagi kepada dua golongan . Golongan pertama orang yang diberi makrifatullah tetapi sifat keihklasan mereka belum sempurna. Mereka dikenali sebagai `arif naqis. Merekalah orang yang disebut oleh nabi; orang yang beribadat kepada Allah seolah-olah melihatNya. Golongan kedua ialah orang yang dikurniakan ma`rifatullah dan sifat keihklasannya juga disempurnakan oleh Allah, menjadi orang yang `arif kamil. Golongan kedua inilah yang disebut dalam hadis tersebut; jika anda tidak melihatNya, maka anda (merasa) Allah melihat anda. Mereka digelar oleh Allah sebagai Golongan muhsinin yang dikurniakan oleh Allah rahmat yang lengkap. Allah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya”.
Golongan al-siddiqin, al-shuhada’ dan al-salihin sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 69 adalah merupakan golongan al-muhsinin. Golongan muhsinin adalah orang-orang yang bersungguh-sungguh menjaga syariat Allah dengan sebaik-baiknya kerana Allah sendiri berkehendak golongan tersebut sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah. Allah memelihara mereka, Allah melindungi mereka. Allah berfirman :
Maksudnya: “Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua Yang menolong dan memelihara orang-orang Yang berbuat kebaikan.”
Golongan muhsinin bila beribadat semata-mata mahukan Allah dan keredaanNya. Golongan inilah yang disebut oleh Imam Ghazali sebagai Khawass al-Khawass. Mereka itu adalah golongan al-Muqarrabun yang juga disebut oleh Allah sebagai golongan al-Sabiqun dalam surah al-Waqi`ah:
Maksudnya: “dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah)”