ISLAM DI AFRIKA SELATAN DIKEMBANGKAN OLEH SHEIKH YUSUF
Syeikh Yusuf yang dilahirkan di Gowa, Sulawesi Selatan pada 1626 adalah ikon dalam sejarah sosial intelektual islam pada abad ke-17 terutama kepada muslim Afrika Selatan.Beliau dibawa ke Cape Town pada 1694 dari Sri Lanka sebagai orang buangan politik kerana perjuangannya menentang penjajahan Belanda.
Perayaan Festival Easter di kalangan muslim Afrika Selatan bermula ketika Syeikh Yusuf dan para pengikutnya diberikan hak hiburan pada hari-hari Easter.Kesempatan itu digunakan untuk menyambutnya dengan cara tersendiri dan akhirnya menjadi tradisi bagi mengenang Syeikh Yusuf sebagai pengasas islam di Afrika Selatan.
Kebiasaanya perayaan Festival Easter disambut pengikut agama Kristian tetapi masyarakat Islam Afrika Selatan memanfaatkannya dengan menziarahi makam Syeikh Yusuf yang dikenali sebagai Keramat Syeikh Yusuf. Beliau meninggal dunia pada 23 Mei 1699.
Sejarah mencatatkan pada usia 18 tahun Syeikh Yusuf mengembara ke Banten dan Aceh.Di Banten, beliau menjalin perhabatan dengan Pangeran Surya (Sultan Ageng Tirtayasa), yang kemudian melantiknya sebagai Mufti Kesultanan Banten.Sementara di Aceh, Syeikh Yusuf bergurau pada Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan mendalami Tarekat Qodiriyah.
Dalam catatan perjuangan melawan penjajah Belanda,nama Syeikh Yusuf,cukup terkenal.Tetapi ketika kesultanan Gowa kalah dalam peperangan menentang Belanda,beliau berhijrah ke Banten dan dilantik menjadi mufti oleh Kesultanan Banten.
Berkat dakwah Syeikh Yusuf,Kesultanan Banten menjadi pusat pendidikan agama islam.Beliau memiliki murid daripada pelbagai daerah,termasuk 400 orang dari Makassar yang dipimpin oleh Ali Kareng Bisai.
Saat pasukan Sultan Ageng ditakluk oleh Belanda pada 1682,Syeikh Yusuf ditangkap dan dibuang ke Sri Lanka pada September 1684.Di tempat pengasingannya,beliau tetap menyebarkan agama islam.Kebanyakan pengikutnya ketika itu adalah penduduk India Selatan.
Akhirnya,Belanda mengambil keputusan memindahkan beliau ke Afrika Selatan.Di Afrika Selatan,nama dan sumbangannya cukup akrab di kalangan warga Afrika Selatan terutama yang beragama islam.
Di Afrika Selatan, beliau memulakan dakwah islamiah kepada penduduk tempatan dengan bantuan ahli keluarganya dan beberapa alim ulama.Antaranya ialah Abdul Salam iaitu seorang hakim yang menulis al-quran dalam bahasa Arab buat pertama kali di Afrika Selatan.Kitab tersebut masih tersimpan hingga kini di dalam masjid pertama yang didirikan di Afrika Selatan.
Walaupun tidak begitu ramai yang memilih agama islam sebagai cara hidup jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Afrika Selatan, tetapi mereka tetap menghormati penduduk yang beragama islam.Mereka menghargai jasa umat islam yang pernah mendamaikan pergelutan antara orang kulit putih dan kulit hitam serta ajaran islam yang menghormati kaum wanita.
Jumlah penduduk islam di Cape Town pada ketika itu dianggarkan 20 peratus daripada populasi dan terdapat juga sejumlah 250 madrsah yang didirikan termasuklah 25 Maahad Tahfiz Al-Quran.
Ajaran islam yang tidak membezakan darjat manusia, merupakan prinsip unik yang membuatkan ia mudah diterima penduduk Afrika Selatan dan berkembang dengan baik. Kemudian mereka berusaha menghancurkan tembok pemisah yang membezakan orang kulit hitam dan putih hingga mencapai kesamarataan.
Bermula dari sinilah mereka tertarik dengan ajaran Islam. Bagaimanapun para ulama tidak terlepas menerima dugaan dalam usaha menyebarkan agama islam. Namun seteruk mana sekalipun ancaman yang diterima,mereka tetap teguh memperjuangkan agama islam hinggalah dietrima oleh penduduk Afrika Selatan.
Nafas kebudayaan dan kuasa emosional berjaya menawan ramai saudara baru khususnya kaum kulit hitam yang tertindas. Mereka menemui konsep persaudaraan islam yang begitu kukuh berbanding agama Kristian.
Institut Belgia melaporkan bahawa pada permulaan abad ke-20,terdapat 4,000 umat islam di salah satu wilayah di Congo,juga negara di Afrika. Pada 1960, jumlah ini telah bertambah kepada 236,000 di Maniyema,Stanleyville dan Kiyu.
Seorang pengkaji islam di Afrika Marcel Corder pernah berkata,"Islam,yang satu ketika pernah menjadi agama utama daerah dan anak-anak raja,kini menjadi pegangan rakyat.Ia umpama banjir yang menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan aman.Banjir ini turut membawa realisme dalam penyebaran islam dari utara hingga ke selatan Afrika dengan kelajuan yang tidak dapat dihalang".
Kristian tidak akan berhenti sama sekali untuk menghancurkan islam.Profesor Muhammad Quthb menulis,perusahaan perkapalan yang berasal dari England telah mengelola perusahaan di Afrika Selatan.Pada satu ketika ia mengambil ramai umat islam Afrika Selatan untuk bekerja di kapalnya,tetapi sebagai sebuah perusahaan Kristian,ia mula berhenti mengambil pekerja yang beragama islam..Untuk mencapai matlamatnya,pekerja dibayar dengan arak dan ini menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan kerana arak diharamkan oleh islam.
Pertambahan
Pada 1990,masyarakat islam di Afrika Selatan mencapai pertambahan memberangsangkan terutama daripada kalangan orang kulit sawo matang yang berasal dari gugusan kepulauan Indonesia (Cape Malay) dan pedagang Asia Selatan yang kemudian bercampur gaul dengan kulit putih di Afrika Selatan.
Sejak Afrika Selatan mencapai demokrasi pada 1994,penduduk muslim berhijrah dari Asia Selatan dan Afrika Utara.Kebanyakkannya adalah penduduk bandar yang tinggal di Cape Town,Durban,Port Elizabeth,East London,Kimberley dan Johannesburg.
Semasa pilihanraya demokrasi yang pertama pada april 1994,dua parti islam muncul iaitu Pati Muslim Afrika (AMP) dan Parti Islam.Pada pilihanraya tersebut,AMP memperoleh 47,690 undi,kurang daripada satu peratus daripada jumlah undi keseluruhan.Orang islam memilih untuk mengundi Parti Nasionalis dan Kongres Nasional Afrika (African National Congres).
Pada pilihanraya 2004,AMP mencuba nasib sekali lagi tetapi hanya mampu meraih 34,446 undi iaitu lebih kurang 0.2 peratus daripada jumlah undi keseluruhannya.Parti islam pula dibubarkan dan ada sebahagian ahlinya menganggotai Parti Keamanan dan Keadilan (Peace and Justice Party) yang juga gagal meraih kemenangan pada pilihanraya tersebut.Kegagalan mereka berpunca daripada ahli teologi muslim yang juga ahli Jamiat ul-Ulama (Persatuan Ahli Teologi Muslim) dan Majlis Kehakiman Muslim menyokong idea agar penduduk islam mengundi Kongres Nasional Afrika.
Ekoran keputusan pilihanraya 2004,terdapat empat menteri islam dilantik menganggotai Kabinet Afrika Selatan iaitu Naledi Pandor dan Enver Surty manakala Dr.Essop Pahad dan Abangnya,Aziz Pahad,dilantik mengetuai kementerian luar.
Cape Utara adalah satu-satunya wilayah yang mempunyai ahli Parlimen beragama islam iaitu Ebrahim Rasool.Apabila Nelson Mandela diangkat sebagai Presiden Afrika Selatan pada 1994 beliau melantik Dullah Omar mengetuai Kementerian Keadilan dan kemudiannya sebagai Menteri Pengangkutan semasa pemerintahan Presiden Thabo Mbeki.Dullah Omar kekal dengan portfolionya hinggalah beliaun meninggal dunia pada awal 2004.Beliau membuktikan penglibatan aktif masyarakat muslim dalam arena politik negara.
Kebanyakan muslim Afrika Selatan adalah ahli Sunni yang lantang bersuara pada lewat 1980-an dan awal 1990 tetapi kemudian memilih untuk menjadi sebahagian daripada muslim minoriti pada abad ke-21.Pertubuhan seperti Jamiat ul-Ulama of Transvaal(ditubuhkan pada 1923),Majlis Kehakiman Muslim (1945) dan Pergerakan Remaja Muslim Afrika Selatan (1970) memperoleh sokongan moral dan bantuan kewangan daripada komuniti islam untuk menjalankan aktiviti kebajikan mereka.
Aktif
Muslim Afrika Selatan juga banyak menyumbangkan dalam pembangunan masyarakat Afrika Selatan secara keseluruhannya.Contohnya Yayasan Mustadafin di Cape Town yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan di kalangan masyarakat berpendapatan rendah turut mendapat sokongan daripada kerajaan Afrika Selatan.Yayasan ini bukan sahaja dapat menyalurkan kerja kebajikan di Afrika Selatan tetapi juga negara-negara Afrika yang lain seperti Somalia dan Mozambique.
Kebanyakkan pertubuhan sosial di Afrika Selatan mendapat sokongan daripada hubungan diplomatik dengan ahli politik negara-negara islam.Kerajaan Iran,Arab Saudi dan Kuwait,misalnya menyumbang kepada pembinaan masjid dan berusaha untuk membangunkan Islam di Afrika Selatan.
Menurut seorang penyelidik dan penulis tentang islam di Afrika,jumlah orang kulit hitam yang memeluk islam semakin bertambah terutama di kalangan wanita dan golongan muda.Beliau percaya ini berpunca daripada pendedahan yang mereka peroleh mengenai senario politik terutama menyentuh dasar Aparteid.
Kedudukan Sosial
Profesor Westermann dalam bukunya,Imperialism and the Gospel, menyatakan agama islam telah meningkatkan kedudukan sosial orang kulit hitam dan meningkatkan harga diri mereka serta menjelaskan hubungan dengan warga Eropah secara terhormat.
Kata beliau,orang kulit hitam yang dulunya menjunjung sampah di atas kepala kini mendapat kemuliaan dalam islam.Mereka memperolehi status yang memberikan penghormatan walaupun mereka berada di antara orang kulit putih.Tetapi orang kulit hitam yang meninggalkan paganisme untuk memeluk kristian akan melihat diri mereka berbeza daripada muslim kulit hitam.
Pada hari ini,hampir 455 masjid,408 institusi pendidikan,kolej,sekolah swasta,pusat pendidikan agama dan Kolej Sains islam didirikan,Tidak kurang juga, universiti menawarkan pengajian Islam dan bahasa Arab sebagai sebahagian daripada kurikulum akademik.
Organisasi yang terlibat dengan aktiviti kebajikan turut bertambah sebanyak 465 pertubuhan.Stesenradio swasta yang berorientasikan islam juga diwujudkan.Antaranya Stesen Radio Al-Zaheer, Fordsburg, Pusat Penyiaran Azaania, Durban dan Radio 786, Cape Town. Cawangan Persatuan Perubatan Islam Afrika Selatan juga terdapat di kebanyakan bandar utama.Kebanyakan orang islam sama ada secara berkumpulan atau perseorangan menerbitkan majalah dan jurnal dalam bahasa Inggeris. Antaranya Muslim Digest,Al-Akhbar (Cape Town),Al-Rasheed (Frodsburg), Muslim Views(CApe Town), Palastine Times (Fordsbug), The Majlis (Port Elzabeth), The Masage (Johannesburg)dan Al-Balaagh (Johannesburg)
Para pelajar islam turut mengambil kesempatan menubuhkan persatuan di institusi pendidikan bagi menguatkan perjuangan menegakkan syiar islam.Begitu juga kaum wanita Afrika yang menubuhkan beberapa organisasi seperti Majlis Wanita di Cape Town,Persatuan Wanita Muslim,Durban dan Jama 'at-un-Nissa,Kimberley.
Golongan remaja sama-sama berganding bahu membangunkan islam melalui perjuangan mereka dalam persatuan,antaranya Pertubuhan Remaja Muslim Fordsburg,Johannesburg,Perpaduan Remaja Muslim dan Saut-us-Shabaab di Cape Town.
Kaum yang terbesar di Afrika Selatan adalah kaum pribumi berkulit hitam iaitu 77 peratus yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan etnik berdasarkan kepada bahasa masing-masing.
Kumpulan terbesar iaitu 50 peratus penduduk Afrika yang berbahasa Nguni termasuk bangsa Ndebele,Swazi,Xhosa dan Zulu.Kumpulan kedua terbesar adalah yang berbahasa Sotho-Tswana,termasuklah beberapa bangsa Sotho,Pedi dan Tswana dan merupakan majoriti di kebanyakkan kawasan Highveld.Dua kumpulan yang terakhir adalah Tsonga atau Shangaan yang tertumpu di Utara dan Wilayah Mpumalanga dan Venda,yang juga tertumpu di wilayah utara Afrika Selatan.
Kaum kulit putih terdiri daripada 11 peratus penduduk yang berbangsa Belanda,Perancis,Inggeris dan Jerman.Kebanyakan orang Eropah di negara itu adalah keturunan peneroka-peneroka awal di koloni cape.Terdapat juga kumpulan minoriti Portugis iaitu kumpulan pertama daripada keturunan peneroka Eropah yang terawal,manakala kumpulan kedua keturunan hamba abdi Belanda yang datang dari Indonesia.
Sembilan peratus penduduk Afrika Selatan pula terdiri daripada bangsa berwarna (coloured) termasuklah kumpulan peranakan dan juga pendatang Asia,termasuk orang Melayu dan Indonesia (dipanggil Cape Malays) yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai kuli di Natal.Tiga peratus lagi adalah berbangsa India yang merupakan pedagang-pedagang India.
Petikan dari Utusan Malaysia